BANYAK yang perlu dikorbankan produser dan pengarah kreatif Aziz M Osman demi merealisasikan filem Azura versi terbaru. Demi kejayaan filem Azura juga, bukan saja masa, tenaga dan air mata, malah Aziz dan isterinya, Puteri Lily Lokman, selaku rakan kongsi turut berhabis dari segi wang ringgit. “Saya sudah buat yang terbaik dan sekarang terserahkan pada takdir sama ada filem ini berjaya atau tidak di pawagam nanti. Saya juga tidak mahu terlalu yakin dengan filem ini. Tapi ia bukan bermaksud saya tidak yakin dengan filem ini pula.
“Bagi saya tidak perlulah kita takbur untuk beritahu filem ini pasti berjaya kerana semuanya bergantung kepada ketentuan Tuhan. “Allah SWT bagi kudrat kepada saya menghasilkan filem ini dan ia memang hasil ‘air tangan’ saya dan isteri saya 100 peratus. “Sebagai rakan kongsi sudah pasti isteri saya mengharap pulangan yang terbaik daripada filem ini nanti. Cuma saya tidak sasarkan kutipan yang terlalu besar,” katanya.
Aziz turut berdepan dengan cabaran besar untuk menerbitkan filem Azura itu. “Cabaran paling besar adalah dari segi kewangan kerana saya dan isteri ingin menghasilkan karya yang terbaik. Saya juga tidak takut dari segi untung atau rugi kerana menghasilkan filem juga adalah tanggungjawab saya kepada masyarakat. “Mungkin orang tak tahu, saya simpan filem ini selama lima tahun selepas dapat hak mengadaptasi filem ini dari produser asal Deddy M Borhan. Saya kekalkan nama Azura sebagai judul filem ini kerana ia bukan filem yang baru tapi sebaliknya adaptasi daripada filem Azura yang asal,” katanya.
Dari segi kekuatan Azura pula kata Aziz, filem itu menampilkan watak Azura sebagai ikon wanita dalam masyarakat. “Watak Azura menggambarkan wanita dari generasi muda yang mengejar cita-cita dan berani menempuhi cabaran dan tidak takut dengan cita-cita. Kalau mereka jatuh dengan tiba-tiba, bangunlah cepat,” katanya.
Diminta komennya berani menampilkan muka baru dalam filem Azura ujar Aziz, dia yakin untuk mengetengahkan mereka dalam filemnya. “Saya pertaruhkan muka baru kerana orang ingin menonton wajah segar untuk watak Azura. Contohnya, kalau saya pilih pelakon Lisa Surihani untuk pegang watak Azura ternyata dia masih dibayangi filem Ombak Rindu.
“Justeru, pemilihan juara Dewi Remaja 2010, Neelofa Md Noor memang tepat sebab dia muka baru dan Azura adalah filem pertamanya. Saya mahu orang tonton filem Azura sebab watak itu sendiri,” katanya. Mengimbas pertemuannya dengan Neelofa, kata Aziz, dia pernah berjumpa dengan pelakon itu yang juga kawan isterinya, Lily.
“Saya tak fikir Neelofa minat dalam bidang seni ketika itu. Sebenarnya, Neelofa pernah datang uji bakat filem Azura tapi ketika itu pembantu saya yang kendalikan uji bakat itu. “Tapi waktu itu Lofa tak berjaya dalam uji bakat itu sebab dia cakap laju sangat. Namun Lily tetap minta saya panggil Neelofa sekali lagi untuk buat uji bakat watak Azura dan beberapa bulan selepas itu, saya cuba lagi.
“Namun, apabila saya lihat wajah Lofa di monitor, saya nampak dia lain apabila berlakon di TV. Saya nampak Neelofa ada X-Factor dan dari setiap sudut, dia nampak timbul. “Saya juga beritahu Neelofa, kalau dia yakin, saya jamin Azura bakal mengubah hidupnya nanti. Nampaknya, dia sudah popular sebelum Azura ditayangkan lagi di pawagam,” kata Aziz.
Mengenai pemilihan Shahz Jaszle pula, kata Aziz, pelakon itu memang pilihan pertamanya, sejak awal lagi. “Sebelum Gambit Saifullah, saya memang pilih Shahz Jaszle untuk watak Zack. Sebenarnya, Shahz Jaszle dan saya pernah bekerjasama dalam drama untuk Internet terbitan gua.com tapi dia belum dikenali seperti hari ini. “Apabila produksi beritahu ada pelakon bernama Shah Jaszle datang buat uji bakat Azura, saya terus beritahu dialah pilihan awal saya untuk watak Zack,” katanya.
Kata Aziz lagi, dia nampak penonton tempatan suka dengan pelakon yang ada muka macho seperti Awie. “Dalam sejarah filem Melayu, Tan Sri P Ramlee dan Nordin Ahmad juga tidak kacak sebaliknya ada aura macho. Pada masa sama, saya melihat Lofa dan Shahz Jaszle tidak ada masalah mencari keserasian kerana hubungan mereka rapat. Mereka asyik ketawa saja di lokasi penggambaran. “Untuk babak romantik seperti bercinta pun mereka tidak ada masalah,” katanya.