Sinemamalaysia.com.my - Artikel
Anda berada di : Utama > Artikel > Berita
Berita
 

25 Mac 2009

SIRI WACANA KARYAWAN MUDA NUSANTARA : RIRI RIZA

Oleh : Noor Zahara Suryani

Sesi temu bual bersama Riri Riza

Sutradara tersohor, Riri Riza bukanlah nama yang asing dalam arena perfileman Indonesia. FIlem-filem karya Riri Riza dikatakan unik, memaparkan secara jujur kehidupan manusia dan begitu dekat di hati penonton. Riri Riza atau nama sebenarnya Mohd. Rivai Riza merupakan seorang pengarah filem, penerbit dan penulis skrip yang telah banyak menempa di peringkat antarabangsa melalui filem-filem karya beliau.

Bersempana sambutan 10 tahun penubuhan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), pihak TEKA bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selaku penganjur bersama telah menganjurkan acara Siri Wacana Karyawan Muda Nusantara – Retrospektif Sutradara Kontemporari Indonesia; Riri Riza yang telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS pada 14 dan 15 Mac 2009 lalu.

Mohd. Rivai Riza seorang pengarah filem, penerbit dan penulis skrip

Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Kristal Azmir Sdn Bhd dan Institut Kajian Media & Kesenian Malaysia (INKEM) diadakan bagi membuka ruang kepada pengamal filem, karyawan, sarjana, dan penuntut perfileman berbincang sambil bertukar pendapat dalam diskusi bersama sutradara tersebut. Acara turut dilengkapi dengan tayangan tiga buah filem arahan Riri Riza iaitu Gie, Eliana Eliana dan 3 Hari untuk Selamanya. Selain tayangan filem, diadakan juga Sesi Apresiasi Filem bagi membuka peluang para hadirin berdiskusi bersama Riri Riza dan panel jemputan iaitu saudara Amir Muhammad, pengarah filem Malaysia dan Prof. Dr. Wan Zawawi Ibrahim, profesor di Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya, serta Cik Maszalida Hamzah, pensyarah UiTM selaku moderator.

Pelbagai isu dikupaskan, tidak saja berkisarkan filem-filem yang dipertontonkan tetapi juga persoalan-persoalan umum dalam bidang perfileman juga turut diutarakan. Sesi apresiasi yang dijalankan berjaya membuka mata dan minda para peserta untuk melihat sesebuah filem secara luas dan subjektif serta menolak persepsi dan pemikiran sempit yang selama ini menghantui mentaliti kalangan penonton tempatan. Penglibatan secara aktif para peserta menghangatkan sesi diskusi yang diadakan. Pada hari kedua pula diadakan bengkel bersama mahasiswa perfileman dari UiTM dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) yang dikendalikan sendiri oleh sutradara dari negara seberang itu.

Mohd. Rivai Riza

Memetik ucapan Dr. Mahadi J. Murat, Koordinator PASCA Siswazah dan Pensyarah Fakulti TEKA, UiTM yang menyatakan dalam ucapannya, “Para pelajar kita amat memerlukan pengisian bermanfaat melalui penganjuran acara ilmiah sebegini bagi menyuntik inspirasi dan bentuk pemikiran yang berbeza, terutamanya di kalangan penuntut dan mahasiswa yang merupakan pelopor dan perintis bagi industri perfileman negara kelak,” ujar beliau.
Sambutan yang diterima oleh pihak penganjur terhadap acara yang diadakan ini amat memberangsangkan. Ia memberi impak positif di kalangan para hadirin yang rata-rata terdiri daripada khalayak pemikir filem, penggiat perfileman dan mahasiswa perfileman tempatan. Melihat pada kredibiliti beliau sebagai seorang pengkarya yang serba boleh berketrampilan, Riri Riza ternyata menjadi ikon perfileman yang wajar dicontohi dari aspek kekreatifan karyanya memaparkan realiti kehidupan manusia secara jujur melalui filem. “Saya melihat filem sebagai cerminan kehidupan yang menyuarakan kegelisahan glokal. Ia harus memperlihatkan situasi persekitaran watak secara nyata namun perlu sarat dengan unsur sentuhan pengarahan yang kreatif,” ujar Riri Riza ketika diwawancara.

Mohd. Rivai Riza

Riri Riza yang dilahirkan pada tahun 1970 di Makasar, Indonesia telah menamatkan pengajiannya dalam bidang pengarahan filem di Institut Kesenian Jakarta pada tahun 1993. Projek filem akhir beliau semasa pengajian adalah Sonata Kampung Bata yang telah memenangi tempat ketiga dalam Festival Filem Pendek Oberhausen pada tahun 1994. Pada tahun berikutnya, beliau mengarahkan dua episod siri dokumentari bertajuk Anak Seribu Pulau. Riri Riza kemudiannya menyambung pengajian di England dalam bidang penulisan skrip. Antara filem lain yang pernah diarahkan oleh Riri Riza termasuklah filem Kuldesak (1998), Petualangan Sherina (2000), Untuk Rena (2005) dan yang terakhir, Laskar Pelangi (2008) yang mencatat kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman Indonesia dengan sejumlah 4.5 juta penonton.

Foto Ehsan: Byxura Photographer

Profil Berkaitan

 Amir Muhammad  

 


Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD