![]() |
| FATIMAH dan Yusof melayan kakitangan meja hiburan Berita Harian menjamu selera. |
EVOLUSI KL DRIFT 2 mungkin filem yang membuat penerbit bersamanya, Datuk Yusof Haslam, tidak senang duduk. Penerbit mana yang tidak risau, jika kos pembikinannya sudah mencecah RM2.5 juta? Mampukah filem terbitan Skop Productions bersama Primeworks Studios itu memungut laba menerusi judul dengan peruntukan setinggi itu?
Namun atas nama mempertingkatkan karya, Yusof membenarkan anak lelakinya, Syamsul, menghasilkan filem susulan itu walaupun dia sendiri tidak pernah mengarahkan filem yang menelan belanja sebanyak itu. "Apatah lagi Syamsul sendiri sudah membuktikan keupayaannya sebagai pengarah yang mampu menghasilkan filem yang baik, serta membawa keuntungan kepada syarikat, menerusi Evolusi KL Drift dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
"Jadi, hendak tak hendak kami lepaskan juga. Apabila kami melihat hasilnya, memang jelas kelihatan ke mana wang yang banyak itu dilaburkan. Lihat saja adegan lasak membabitkan kereta, sehingga ada yang ranap begitu saja," kata Yusof ketika ditemui pada majlis makan malam bersama kakitangan meja hiburan Berita Harian (BH) di Bangsar, baru-baru ini. Hadir sama pada majlis ringkas itu ialah isterinya, Datin Fatimah Ismail; Pengarah Hiburan BH, Hanizam Abdullah; dan Penolong Pengarang Hiburan BH, Zainuri Misfar.
Menurutnya, Evolusi 2 ialah judul paling banyak menggunakan filem sepanjang sejarah penerbitan filem Skop Productions. Berbanding Gerak Khas The Movie 2 yang menggunakan 150 gulung (reel) filem, filem terbaru mereka itu menggunakan 200 gulung filem. Jelas Yusof, banyak juga babak yang dirakam menggunakan sehingga empat kamera sekali gus dan filem itu sendiri menggunakan rakaman yang lebih banyak berbanding filem lain. Faktor berkenaan dengan sendirinya menyebabkan penggunaan filem bertambah.
"Ia bukan sekadar filem yang paling mahal dan paling banyak menggunakan filem, Evolusi 2 juga yang paling tinggi dari segi permintaan. Jika dihitung sekali panggung bebas yang akan menayangkannya, jumlah keseluruhan panggung yang bakal menayangkan Evolusi 2 ialah 68 pawagam kesemuanya," katanya lega apabila Primeworks turut berpuas hati dengan produk kerjasama berkenaan. Filem Evolusi 2 bakal memasuki panggung wayang pada 25 Mac. Selain Syamsul sendiri, filem aksi ini turut dibintangi Scha Alyahya, Aaron Aziz, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.
![]() |
| Syamsul (kiri) dan Scha Alyahya. |
Antara lain, kisah yang dipaparkan kali ini berkisar kepada perlumbaan kehidupan Zack dan Sham yang masih belum berakhir. Zack bukan lagi pelumba haram seperti dulu. Kini dia seorang pelumba drift profesional. Selepas kemalangan yang dialami, Sham tidak lagi mampu berlumba kerana kecederaan yang dialami pada kakinya. Keadaannya yang tempang hingga terpaksa berjalan dengan bantuan tongkat, serta peristiwa lampau banyak menghantui diri lelaki berkenaan.
Dalam kekalutan ini muncul seorang wanita bernama Aleeya yang juga seorang drifter profesional. Dia cemburukan kehebatan Zack di litar lumba. Joe yang terlepas daripada kemalangan maut masih lagi menaruh dendam ke atas Zack. Ketika yang sama, Ery sebagai orang kanan Joe menaruh dendam pada Zack yang dianggapnya penyebab kepada penahanan rakan baiknya, Karl. Selain memburu Zack, Joe juga ingin menguasai perniagaan dadah di ibu kota. Inspektor Kamal mengesyaki beberapa siri kematian penjenayah sebenarnya dilakukan oleh Joe.
Diberikan klasifikasi 13PG, filem terbabit mendapat dua potongan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) membabitkan babak Scha yang kononnya dibelasah lelaki. "Potongan itu tidaklah mencacatkan cerita. Sebagai pengkarya, tentulah Syamsul agak kecewa. Namun dia akur dengan keputusan LPF dan amat memahami kewajaran tindakan mereka," katanya. Ditanya mengenai ramalan kutipan mampu dilakukan filem itu, Yusof memberitahu, dia tidak pernah membuat sebarang ramalan ke atas filem keluaran syarikatnya.
"Sejak dulu, kami tidak meramalkan jumlah tertentu bagi filem keluaran Skop. Begitupun, kami yakin, filem ini juga bakal mendapat tempat di hati penonton, sebagaimana mereka menerima Evolusi KL Drift dan Bohsia, yang masing-masing berjaya memungut RM4.3 juta dan RM4.6 juta (termasuk panggung bebas) ketika diputarkan di pawagam," katanya.
Belumpun Evolusi 2 menjengah pawagam, Syamsul sudah mengarahkan filem keempatnya, Khurafat. Memulakan penggambaran pada 14 Januari, filem itu sekali lagi dibintangi Syamsul, dengan dibantu Mariani, Fauziah Nawi, Liyana Jasmay, Sabrina Ali dan Zarina Zainoordin.
Selain filem seram berkenaan, Skop Productions merancang untuk menerbitkan tiga lagi judul lain sepanjang tahun ini. Sekitar April, Syamsul dan Yusof akan bekerjasama mengarahkan filem Aku Bukan Tomboy yang sekali lagi mengetengahkan bakat lakonan Scha. Tidak ketinggalan membintanginya ialah Datuk Rahim Razali, Remy Ishak dan Syamsul sendiri.
Selepas itu, anak lelakinya itu akan mengarahkan sebuah lagi filem susulan, Jalan Kembali: Bohsia 2, yang dikatakan bakal terisi dengan elemen pengajaran walaupun ia tetap memaparkan babak rempit di kalangan remaja. Filem terbabit bakal menemukan semula watak asal daripada filem pertama. Yusof bagaimanapun lebih suka untuk merahsiakan dulu judul keempat filem terbitannya.
Dato' Yusof Haslam
Syamsul Yusof
Scha
Aaron Aziz
Shaheizy Sam
Farid Kamil
Mariani
Fauziah Nawi
Liyana Jasmay
Sabrina Ali
Zarina Zainoordin (AF2)
Dato' Haji Rahim Razali
Skop Production Sdn. Bhd.
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Evolusi KL Drift
Evolusi KL Drift 2
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Gerak Khas The Movie 2
Artikel Terkini