Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
HARI ini, (Rabu, 30 Disember 2009) pada pukul 11 pagi bertempat di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang akan berlangsung Mesyuarat Agung ke-14 Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), sebuah persatuan yang bermatlamat untuk memartabatkan profesionalisme sutradara negara.
Ditubuhkan pada 1990, mesyuarat kali ini juga menjadi penentu kepada siapakah yang bakal menerajui persatuan yang telah wujud hampir dua dekad itu. Ketika ini, FDAM diketuai Presidennya iaitu Ahmad Ibrahim yang memegang jawatan tersebut sejak 2007. Namun, tatkala ramai yang mula mencongak atau membuat ramalan mengenai kedudukan jawatan di dalam FDAM, sutradara bernama Mamat Khalid antara yang tampil mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden.
Siapa yang tidak kenal dengan Mamat Khalid, pengarah yang pernah mengarahkan beberapa filem antaranya Estet, Lang Buana, Rock, Man Laksa, Tipah Tertipu The Movie , Zombie Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang dan Puteri Gunung Ledang (pengarah bersama). Untuk bertanding sebagai Presiden FDAM, Mamat tidak keseorangan apabila sudah pun membentuk pasukannya sendiri yang dianggotai khalayak pengarah ternama bagi bertanding jawatan-jawatan tertentu. Mereka adalah Erma Fatima yang akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Afdlin Shauki (Setiausaha Kehormat) dan Saw Tiong Hin (Bendahari).
Pasukan ini turut disertai Aziz M. Osman, Amir Muhammad, Kabir Bhatia, Profesor Madya A. Razak Mohaideen, Murali Abdullah, M. Subash, Fauziah Nawi, Hans Issac dan Bernard Chauly yang mengumumkan untuk bertanding sebagai ahli jawatankuasa (AJK). Bagi jawatan penasihat pula, Mamat turut mengumumkan bahawa dirinya mendapat sokongan U-Wei Haji Saari, Datin Paduka Shuhaimi Baba serta Datuk Rahim Razali jika menang jawatan berkenaan. Menurut Mamat, 44, dia rasa terpanggil untuk 'merebut' jawatan Presiden FDAM selepas melihat sekian lama perjalanan persatuan itu yang boleh diperbaiki.
"FDAM sudah lari daripada piagam penubuhannya dahulu. Jurang hubungan antara persatuan dengan ahli, pengarah-pengarah indie dan persatuan-persatuan lain juga agak terlalu jauh. "Kita mahu rapatkan kembali jurang-jurang ini. Bila tidak rapat, yang lama enggan memahami pengarah muda dan begitulah sebaliknya,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Jelas Mamat, bersamanya juga, dia turut mengimpikan untuk berusaha membawa tahap karya negara serta 'pasukan' pengkarya ke tahap elit. "Sekarang adalah masanya untuk kita memikirkan tentang segala hasil kerja dan karya kita di mata dunia.
"Apabila kita tidak didedahkan dengan 'dunia luar', maka kita akan tetap duduk di bawah tempurung,'' katanya yang enggan memburuk-burukkan kepimpinan FDAM sedia ada. Ketika ditanya mengenai pasukan yang ada di belakangnya, Mamat menjelaskan bahawa kesemua mereka telah berjanji untuk bekerja dengan lebih keras dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. Katanya, setiap daripada mereka juga turut melaungkan kesanggupan memikul tanggungjawab andai diberikan peluang memegang sesuatu jawatan.
Sementara itu, Erma pula berkata, FDAM seharusnya memiliki premisnya sendiri yang selesa bagi membolehkan fungsi FDAM dapat dilaksanakan dengan baik. Bukan itu sahaja, dengan adanya premis sendiri, individu selaku pengarah mampu untuk menggerakkan percambahan idea dalam menghasilkan karya bermutu tinggi. "Inilah yang akan saya perjuangkan. Kita (FDAM) perlu ada premis sendiri dan bukannya seperti sekarang. "Kita perlu keluar dari situ (pejabat sedia ada). Kami sudah pun memikirkan sebuah kawasan di Bukit Antarabangsa yang sesuai untuk dijadikan premis FDAM.
"Tempat lebih selesa adalah penting agar pengarah ada mood untuk bekerja,'' kata Erma, pengarah yang baru sahaja menggondol kejayaan besar di dalam Anugerah Skrin 2009 menerusi drama Tersasar Di Jalanmu, baru-baru ini. Menurutnya, selain merancang untuk memindahkan pejabat FDAM yang sedia ada, apa yang penting untuk diperjuangkan adalah mengenai soal kebajikan dan kepentingan dalam memastikan suara FDAM dapat didengar.
Jelasnya, individu bernama pengarah adalah seorang pemikir dan tidak perlu mengikut telunjuk sesiapa secara melulu. "Sebab itu, mereka (pengarah) seharusnya diberikan ruang yang lebih untuk bersuara,'' ujarnya. Kata Erma, pengarah juga harus ada ruang untuk sentiasa tampil berdiskusi ke arah menghasilkan karya yang baik. "Apabila ada pertemuan yang kerap, kita mampu memberikan apa jua ulasan, kritikan dan komen untuk memperbaiki kelemahan,'' katanya penuh semangat.
Matt London
Mamat Khalid
Aziz M.Osman
Amir Muhammad
Kabir Bhatia
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Murali Abdullah
M. Subash Abdullah
Fauziah Nawi
Hans Isaac
Bernard Chauly
U-Wei
Datuk Paduka Shuhaimi Baba
Dato' Haji Rahim Razali
Estet
Lang Buana
Rock
Man Laksa
Tipah Tertipu The Movie
Zombie Kampung Pisang
Kala Malam Bulan Mengambang
Puteri Gunung Ledang
Artikel Terkini