Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

17 September 2009 : Harian Metro

Tuntut Baki Jam Siaran TV

Oleh Elrafaei Sapi

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof, berkata aktiviti sebegini bukan hanya merapatkan silaturahim antara barisan pemimpin persatuan dengan ahli, malah membantu dalam memperjuangkan nasib artis yang bernaung di bawahnya. Pada majlis itu, beliau menyatakan hasrat Seniman untuk meminta kembali baki jam siaran yang diperuntukkan kerajaan kepada produser TV sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sejak awal Seniman memperoleh 308 jam untuk jumlah keseluruhan yang diberikan kerajaan menerusi Kementerian Penerangan ketika itu. Bagaimanapun, ketika Datuk Zainuddin Maidin dilantik sebagai Menteri Penerangan pada 2006 menggantikan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzil, baki jam siaran yang tidak digunakan kemudian ditarik balik."Ahli Seniman sudah menggunakan sebanyak 145 jam siaran. Ini bermakna Seniman sepatutnya masih mempunyai separuh baki jam siaran yang masih belum digunakan.

"Namun, ketika Zainuddin menjadi Menteri Penerangan, baki siaran itu ditarik balik. Atas sebab itu, saya merayu pada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim untuk memberikan kembali baki jam siaran itu kepada kami."Berdasarkan rekod sebelum ini, ahli Seniman mempunyai kerjasama yang baik dengan kerajaan dan RTM. Bagi Seniman, peruntukan jam siaran ini satu amanah yang memberikan pendapatan kepada ahli dan persatuan."Daripada jam siaran itu, Seniman kini mempunyai pendapatan sebanyak RM800,000 yang dimasukkan ke dalam tabung persatuan manakala RM200,000 tunai," katanya.

Dalam perkara lain, Mustapha berkata, Seniman turut merancang mahu mengadakan Kembara Seniman Jelajah 1Malaysia yang dijangka bermula pada penghujung Oktober nanti. Katanya, acara ini bermatlamat menyatakan sokongan artis bersama masyarakat untuk menjayakan kempen 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.Katanya, kertas cadangan acara itu sudah dihantar kepada Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Rais, baru-baru ini. Acara ini masih dalam proses memilih lokasi yang sesuai dan berusaha mendapatkan kerjasama kerajaan negeri.

"Sepatutnya Seniman merancang acara ini diadakan selama 11 hari di pelbagai lokasi di seluruh negara. Bagaimanapun, Rais berkata, tempoh itu agak lama dan dipendekkan kepada lima hari."Ini bermakna 10 acara akan diadakan iaitu lima acara di sebelah siang. Untuk pengisian, setiap artis yang terbabit diminta untuk buat persembahan diikuti aktiviti lain seperti tandatangan orang ramai untuk menyokong 1Malaysia. "Dalam pada itu, Seniman juga berbincang dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim) untuk membawa promosi filem baru bersama pelakon turun padang. Aktiviti lain turut menyaksikan artis bersajak.

"Bagi Seniman, sebelum ini kerajaan banyak membantu dan kini tiba masa Seniman untuk membantu menyokong kempen kerajaan. Seniman berharap acara ini mendapat kerjasama Kerajaan Negeri untuk membantu menaja penginapan."Atas sokongan pihak media cetak dan elektronik, saya yakin acara ini mendapat kerjasama yang baik daripada kalangan artis. Penyertaan artis adalah terhad, dijangka seramai 52 artis simbolik kepada kemerdekaan negara ke-52."Menariknya, acara ini disertai sama artis berbilang bangsa dan menjadi harapan Seniman, syarikat korporat juga tampil membantu," katanya.

Pada majlis itu, seramai 58 artis veteran menerima sumbangan Aidilfitri Seniman sebanyak RM500 setiap seorang. Antara yang hadir, Kuswadinata, Karim Latif, Hamid Gurkha, Mariani Ismail, Aspalela Abdullah, Ruminah Sidek dan Zaiton Sameon.Seniman turut mengagihkan sumbangan 550 kain pelekat dan 150 kampit beras tajaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada artis veteran dan tetamu. Hadir sama, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hong dan Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyiddin Mustakim.

Profil Berkaitan

 Dato' Mustapha Maarof    Mariani    Kuswadinata    Karim Latif    Hamid Gurkha    Ruminah Sidek    Mohd Mahyidin Mustakim  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD