Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

12 Disember 2009 : Berita Harian

Tiga Filem Cereka Kita Ke Taiwan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

FILEM Wayang lakonan Zul Huzaimy, Ida Nerina dan Eman Manan mewakili negara ke FFAP ke-53 di Kaohsiung, Taiwan.

FESTIVAL Filem Asia Pasifik (FFAP) kali ke-53 bakal berlangsung di Kaohsiung, Taiwan, pada 17 hingga 20 Disember ini. Festival yang mula diadakan pada 1954 itu kembali semula selepas dua tahun gagal dianjurkan. Pada 2007, Hong Kong atas sebab-sebab tertentu tidak dapat menganjurkannya, lalu cuba diambil alih oleh Bangkok. Begitupun, akibat kemelut politik yang melanda kota berkenaan, ia turut dibatalkan. Setahun kemudian, Jakarta juga terpaksa membatalkan festival terbabit, berikutan kegawatan ekonomi serta masalah kelewatan pengesahan penyertaan.

Namun, menyedari kepentingannya kepada pembangunan industri perfileman rantau terbabit, sekretariat penganjuran festival yang berpangkalan di Taipei cuba menyelamatkan, seterusnya menghidupkan tradisi penganjurannya dengan membawa festival ini ke sebuah bandar di selatan negara itu, Kaohsiung. Kuala Lumpur, sebagaimana selalu, tidak lupa menghantar delegasi terdiri daripada penerbit, pengarah, pelakon serta wakil media ke acara berkenaan. Kali ini, seramai 15 anggota rombongan yang diketuai Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah akan menghadirinya. Menurut Puad, bersesuaian dengan usaha penjimatan kos, penganjur mengehad kepada hanya 20 anggota delegasi bagi setiap ibu kota yang mengambil bahagian.

"Kita juga pada mulanya mempunyai 20 wakil yang sepatutnya menghadiri festival berkenaan. Namun, ramai di kalangan produser terbabit terikat dengan jadual produksi mereka di sini," katanya ketika dihubungi Rabu lalu. Selain Puad, rombongan dari Kuala Lumpur antara lain disertai pengarah yang juga Bendahari PFM, Pansha; penerbit Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai; pengarah, pelakon dan penerbit, Afdlin Shauki serta Hans Isaac; dan beberapa pelakon seperti Liyana Jasmay, Mohd Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor dan Mas Muharni.

PAPADOM dinobat Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22.

Setiap ibu kota hanya dibenarkan menghantar tiga filem cereka untuk dipertandingkan pada festival itu kali ini. Di samping itu, filem dokumentari dan filem pendek pula perlulah dihantar dalam bentuk filem 35mm atau 16mm. "Sayangnya, kita tidak mempunyai dokumentari atau filem pendek yang dihasilkan dalam bentuk filem. Jadi, pada FFAP kali ini, Kuala Lumpur hanya diwakili tiga filem cereka," ujar Puad. Filem berkenaan ialah Wayang yang diterbitkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Papadom (Tayangan Unggul) dan Talentime (Primeworks Studios dan Chilli Pepper Film).

Filem Wayang arahan Prof Hatta Azad Khan dipilih mewakili negara ini berikutan paparan budaya dan adat resam Melayu yang kuat yang dapat disaksikan menerusinya. Wayang yang baru saja dinobatkan Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2009 anjuran TV3 itu dibintangi Eman Manan, Zul Huzaimy, Ida Nerina dan Mas Muharni . Papadom pula terpilih berikutan kejayaannya untuk muncul sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22, dengan bintang utamanya, Afdlin dan Liyana masing-masing pulang bersama trofi Pelakon Terbaik. Filem komedi kekeluargaan ini ialah hasil arahan Afdlin.

Manakala Talentime yang muncul karya terakhir Yasmin Ahmad, turut layak ke Kaohsiung berikutan kekuatan elemen pengarahannya, yang membolehkan Yasmin sendiri diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik pada FFM22, berserta beberapa kejayaan lain dicapai filem terbabit. "Kami berasakan, filem yang terpilih itu bukan saja mewakili filem yang membanggakan dari segi kualiti, bahkan sebahagiannya ialah judul yang amat popular di kalangan penonton. Jadi, tiga judul berkenaan mencerminkan kepelbagaian bentuk filem yang dihasilkan di negara ini, serta paparan wajah Malaysia itu sendiri," kata Puad.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD