Oleh Ramlah Zainal
Isu itu menjadi semakin hangat apabila produser filem, Lembing Awang Pulang Ke Dayang (LAPKD) menyatakan kutipan filem mereka yang mula ditayangkan di pawagam pada 22 Oktober lalu dikatakan mencecah M800,000 dalam tempoh lima hari sebagaimana disiarkan Harian Metro, Khamis lalu, sedangkan kutipan sebenar filem itu yang dikeluarkan Skim Wajib tayang, Finas hanya RM30,000 untuk tempoh seminggu. Apabila diminta mengulas percanggahan jumlah kutipan filemnya dengan pihak Finas, produser filem (LAPKD), Noor Azman Yusof berkata, pihaknya mendapat jumlah kutipan filem itu dari kakitangan syarikatnya sendiri.
“Saya juga bertanya kepada kakitangan saya dan diberitahu kutipan filem itu belum mencecah kutipan sejuta lagi dan saya menganggarkan kutipan filem itu sudah mencecah RM800,000 ketika itu.“Saya memang tidak berniat mereka cerita atau menipu orang dengan jumlah kutipan itu kepada pihak media. Saya juga minta maaf jika kutipan itu mengelirukan pembaca dan pihak media di luar sana,” katanya.Justeru, kata Noor Azman, dia terus berhubung dengan pihak Finas untuk mendapat kesahihan kutipan filem LAPKD seperti dilaporkan pihak media, baru-baru ini.“Saya sedar ada percanggahan jumlah kutipan yang diberitahu kakitangan saya dan Finas itu. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila percanggahan jumlah kutipan filem ini berlaku kerana saya memang tidak merujuk kepada pihak Finas lagi ketika itu,” katanya.
Melalui RAP, Harian Metro, semalam, Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah berkata, sejauh mana betulnya jumlah kutipan dicatat itu bergantung pada ketelusan penerbit untuk memaklumkan kebenaran pada media.Menurutnya, dalam industri sekarang ini masih belum ada kaedah sistematik mengetahui jumlah jualan tiket sebenar.“Bagi mendapat jumlah kutipan yang tepat itu agak sukar. Sehubungan itu, PFM bercadang menyambung talian komputer di pawagam terus kepada kami untuk mendapatkan jumlah kutipan sebenar. Contoh jika empat tiket dijual, ia terus dikemas kini. Apapun cadangan ini, akan dibincang dengan pihak pawagam dalam tempoh dua tiga minggu lagi,” katanya.
Menurut Noor Azman, dia juga tidak tidak ingin memanjangkan lagi isu kutipan filemnya itu kepada pihak media selepas ini. “Saya juga tidak akan beritahu berapa jumlah keseluruhan kutipan filem ini sekarang kerana tidak ingin ia menimbulkan sebarang isu lagi selepas ini.“Saya memang mensasarkan kutipan filem ini mencecah sejuta tapi sayangnya kutipannya itu tidak seperti diharapkan,” katanya.Apapun, kata Noor Azman, dia tidak akan berputus asa untuk menerbitkan filem lagi pada masa depan.“Selaku produser yang baru kali pertama menerbitkan filem saya anggap ia pengalaman yang berharga buat saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mahyidin Mustakim berkata, pihaknya menasihatkan produser filem LAPKD itu supaya tidak meletakkan sesuka hati berdasarkan jumlah kutipan filem mereka, selepas ini.“Ini kesalahan pertama mereka dan sebab itu kami hanya menghantar surat kepada produser filem LAPKD bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.Mahyidin berkata, semua produser filem boleh mendapatkan maklumat mengenai kutipan filem mereka dengan pihak Finas sehari selepas filem mereka berada di pawagam.“Finas memandang serius isu kerana memang ada satu atau dua kes membabitkan produser filem yang meletakkan jumlah kutipan mereka sesuka hati sebelum ini,” katanya.
Artikel Terkini