ENAM pengarah, lima cerita pendek bersama 20 pelakon bakal menjawab pelbagai persoalan yang bakal ditonton dalam pementasan teater Tanda terbitan Rumah Anak Teater (Rat) melalui Projek Komuniti Kental (KoKen).
Pengarah Artistik, Nam Ron berkata, sering kali kita mendengar kejadian bencana alam yang kian kerap melanda bumi jadi Tanda adalah persoalan yang cuba dibangkitkan untuk membuatkan penonton memikirkan sesuatu yang bakal berlaku di kemudian hari.
“Baru-baru ini kejadian gempa yang melanda negara Haiti mengorbankan ratusan ribu nyawa, begitu juga pada tahun 2006, gempa dan Tsunami melanda Banda Aceh turut mengorbankan lebih 200,000 orang. “Apakah kejadian gempa ini adalah satu tanda mengenai keuzuran bumi? Apakah akan berlaku bencana maha besar yang akan menghancurkan seluruh bumi dan membawa kepada kepupusan manusia dalam erti kata lain kiamat?
“Adakah kita sedar mengenai tanda yang menunjuk ke arah itu dan mungkinkah kita sendiri adalah tanda itu? Tanda akan membawa kita menyelami kehidupan kita seharian yang penuh dengan tanda yang menanti untuk dibaca,” katanya. Menurut Nam Ron, Tanda yang lahir dari perlakuan manusia itu sendiri hingga mencemarkan alam dan seterusnya memusnahkan bumi. “Semuanya akan kita temui di dalam Tanda, sebuah pementasan yang lahir dari kreativiti enam pengarah bersama 20 orang pelakon.
“Kami akan menyelongkar persoalan isu pencemaran dan bencana yang akan memusnahkan bumi ini suatu hari nanti. Sebanyak lima cerita pendek yang menjadi cerita ranting akan bercantum dengan cerita utama menjadikannya sebuah persembahan yang akan ditonton selama dua jam pementasan. “Di antara pelakon yang menjayakan Tanda seperti Dira Abu Zahar, Beto Kusyairy, Zahiril Adzim, Noris Ali, Nadiyatul Nisaa, Amerul Affendi, Taiyuddin Bakar, Maya Tan dan ramai lagi,” katanya.
Info
Teater: Tanda
Tarikh: 2 hingga 7 Februari 2010 (7 Februari saja pementasan pada jam 3 petang)
Masa: 8.30 malam
Tempat: Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara)
Tiket: RM30 (dewasa), RM15 (pelajar)
Tempahan Tiket: 012-2395209, 012-9193839 atau emel kepada teater.tanda@gmail.com
Pertanyaan: 019-2232002 (Faisal)
Artikel Terkini