Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

11 Oktober 2009 : Harian Metro

Tak Puas Hati 60 Peratus

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

Barangkali berita ini melegakan barisan pelakon, pengarah dan penerbit. Begitupun ketika menyaksikan pratonton filem yang mengisahkan legenda dari Johor mengenai tragedi cinta berdarah yang mengorbankan 99 nyawa itu, jelas ketara riak hampa di wajah Zul Huzaimy.Ketika bertemunya, aktor ini merungkaikan isi hati dengan ayat yang berlapik. Terbukti dia kurang puas hati dengan watak yang dibawa sebagai Panglima Bachok, jejaka yang cuba merampas Dayang daripada Awang.

“Jujur, 60 peratus saya tidak puas hati dengan watak ini. Saya percaya dengan kata-kata guru saya, Ahmad Yatim, kebijaksanaan seseorang pelakon itu berlakon terpancar pada wajahnya sebagaimana dia banyak membaca.“Mungkin ketika itu saya kurang membaca dan melakukan rujukan. Apa pun sebagai patung bernyawa, saya melaksanakan tugas diberi pengarah ketika itu sebaik mungkin.“Jika boleh dilakukan sekali lagi, saya akan buat dengan lebih baik. Filem ini antara produksi terawal saya, sebelum itu saya membintangi filem Embun dan disusuli KL Menjerit,” katanya.

Meskipun filem terbitan Dayang Digital Sdn Bhd ini berdepan banyak kemelut, bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan ini pantang berundur, apatah lagi bukan sesuatu yang lazim baginya lari daripada tanggungjawab yang digalas.“Saya terima watak Bachok kerana Imril Nasution. Dia yang mula-mula mengarah filem ini dan saya tahu kerjanya bagus. Kami kenal ketika masih menuntut dan pernah terbabit dalam beberapa projek.

“Saya serba salah apabila namanya digugurkan daripada produksi tetapi tetap teruskan sebab terikat dengan kontrak selain percaya kata-kata Khir Rahman dan Adlin Aman Ramlie.“Lagipun saya tidak pernah lari daripada kerja. Walau apa pun ‘rupanya’, saya akan buat hingga selesai. “Tidak dinafikan saya rasa sukar bila filem ini berdepan banyak masalah sehingga terbengkalai. Lima tahun menanti, puas bila ia dipertontonkan kepada umum.

“Selepas menontonnya, yang boleh saya katakan, bukan gagal tapi ini yang terbaik dapat kami paparkan kepada penonton dan berharap biar filem ini menjadi perintis cerita hikayat dan legenda Malaysia. “Saya selalu ingatkan diri masuk ke bidang ini kerana ini yang saya belajar dan suka. Saya akan terus mengekalkan kerjaya sebagai pelakon dan tidak akan beralih ke kerjaya lain. Inilah sumber rezeki dan saya sentiasa belajar daripada kelemahan,” katanya.

Selain Zulhuzaimy, filem arahan Majed Salleh ini turut dibintangi Farid Kamil, Siti Elizad, Mei Ling, Kuswadinata dan Rosnani Jamil.Mengulas perkembangan terkini, aktor ini bersedia memahat namanya sebagai sutradara, malah baru selesai menyunting telefilem pertama arahannya berjudul Rambong.Menerusi drama yang konspirasi itu, Zul bukan saja mengarah tetapi turut berlakon di samping beberapa nama besar antaranya, Eman Manan, Zulkifli Zain dan Sofi Jikan.

“Cikgu saya, Marlia Musa, pernah pesan, berhenti sekejap berlakon dan lihat daripada kaca mata pengarah. Bila duduk di kerusi pengarah, baru saya sedar ia bukan kerja mudah, terutama ketika melakukan suntingan. Ketika itu baru tahu lakonan kita bagus atau tidak dan saya nampak di mana kelemahannya.“Ramai pelakon bagus pernah mengarah, termasuk Datuk Rahim Razali. Tidak hairan mengapa lakonan mereka mantap, beri apa saja watak, mereka tahu macam mana letak diri depan kamera sebab mereka melihat daripada kaca mata pengarah. Saya mahu menjadi seperti mereka dan sangat berterima kasih dengan nasihat cikgu Marlia.

“Rambong yang akan ditayangkan di RTM nanti menjadi permulaan baik buat saya,” katanya.Pencinta budaya ini cenderung mengangkat seni persembahan tradisional dalam karyanya selepas membintangi filem Wayang. Banyak yang dipelajari ketika menjayakan filem berkenaan, malah terdetik dalam hatinya untuk memartabatkan keindahan budaya Malaysia ke tahap lebih tinggi menerusi visual yang dipaparkan sama ada menerusi layar kaca atau perak.

“Kita kaya dengan budaya dan tidak salah rasanya jika saya perbesarkan ia dan masukkan sebagai elemen penceritaan. Dengan cara ini orang ramai, khususnya golongan muda, akan tahu dan lebih kenal dengan budaya yang sebelum ini mungkin tidak pernah mereka dengar.“Rambong contohnya, tidak semua orang tahu ia sejenis tarian dan popular di kalangan masyarakat Siam. Insya-Allah selepas ini saya akan hasilkan telefilem mengenai Kuda Kepang pula.“Saya belajar budaya dan seni persembahan, jadi ada baiknya jika saya gunakan ilmu dan kekuatan yang ada pada saya untuk divisualkan,” katanya.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD