Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

14 Oktober 2009 : Berita Harian

Tak Lupa Kerusi Pengarah

Oleh Zaidi Mohamad

MINATNYA untuk kembali ke gelanggang pengarahan filem tidak pernah berkubur. Malahan keterujaan dan kecintaan pelakon yang juga pengarah bernama Datuk Yusof Haslam ini untuk duduk kembali di 'kerusi pengarah' masih belum padam.

Mujur juga darah dagingnya turut mengikuti jejak yang sama sekali gus menjadi generasi pewaris di atas legasi yang dibina pengarah berusia 55 tahun itu.Cuma katanya kerana begitu memberi tumpuan kepada produksi penerbitan drama di saluran RTM seperti drama Gerak Khas yang sudah menerjah tahun ke-11, Roda-Roda Kuala Lumpur dan Si Capek terutama kebelakangan ini, fokusnya terhadap pengarahan filem dilupakan seketika. Tahun depan pula, Skop Productions akan kembali menghasilkan produk untuk TV3.

Biarpun tidak mengarah filem, beliau tidak perlu gusar kerana anaknya Syamsul Yusof memilih untuk terbabit di belakang tabir sebagai pengarah filem di samping berlakon. Atas kesungguhan anaknya itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan anaknya mengarahkan filem yang membabitkan usaha sama generasi lama dan baru di kalangan pelakon dan juga cetusan idea.

“Filem itu besar kemungkinan akan diarahkan kami bersama pada 2010. Paling kurang pun syarikat saya perlu menerbitkan dua ke tiga buah filem dalam setahun. Saya pun nak Syamsul menghasilkan filem sekurang-kurangnya dua filem setahun. Tak guna mengarahkan banyak filem dan terlalu produktif sampai boleh mengabaikan aspek kualiti.“Biarpun sebelum ini Syamsul pernah mengeluarkan kenyataan yang dia tidak selesa saya ‘mengganggu’ hasil kerjanya, dia perlu ingat kombinasi idea dan saranan itu perlu ada terutama daripada mereka yang lebih dulu makan garam. Malah untuk kolaborasi kami kelak, saya tidak akan ganggu kreativitinya kerana separuh babak diarahkannya dan selebihnya saya.

ANTARA mereka yang memeriahkan majlis di Darul Haslam, Melawati.

“Apa yang saya lakukan ini sebenarnya sebagai menyuntik kembali semangat jiwa mudanya yang mungkin cepat luntur gara-gara situasi tertentu contohnya perpisahannya dengan Diana Danielle. Kita guna psikologi untuk ambil hatinya. Saya pun bukan tua sangat dan tidak semestinya idea saya tidak boleh diserap dengan kreativitinya,” katanya yang ditemui Hip Sabtu lalu sewaktu mengadakan rumah terbuka di kediaman mewahnya di Darul Haslam, Melawati yang didiami sejak 12 tahun lalu.

Selain menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anaknya untuk duduk di kerusi pengarah, Hip difahamkan pengarah itu sedang mengintai beberapa pengarah generasi baru untuk diberi mandat seterusnya. Khabarnya, pengarah itu turut berminat untuk menawarkan ‘jawatan’ itu kepada Pierre Andre. Hip difahamkan persamaan potensi dan sikap yang ada pada Pierre dengan anaknya, Syamsul antara sebab mengapa pengarah itu berminat. “Saya sentiasa terbuka memberi peluang kepada pelapis untuk diberi peranan sebagai pengarah. Selain Syamsul, anak saya, Faizal Yusof pun turut mengarah drama. Selain itu, adik mereka, Mohd Syafik yang masih menuntut di Lim Kok Wing pun saya yakin boleh diberi peluang. Mungkin tiga tahun lagi,” katanya.

DITANYA mengenai perkembangan filem sekuel Evolusi KL Drift yang dijangka menemui peminat filem tempatan awal 2010, Yusof menjelaskan setakat ini filem terbabit tidak berdepan dengan masalah dan sebarang kemungkinan seperti yang terjadi kepada filem arahan sulung Farid Kamil, Rempit V3. Seperti yang diketahui, filem arahan Farid dibekukan tayangannya hingga sekarang atas beberapa masalah kerana dianggap memaparkan budaya yang tidak molek termasuk isu rempit. Menurut Datuk Yusof, selepas dipanggil Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk sesi perbincangan, filem ini akan ditayang seperti yang dijadualkan.

TETAMU yang bertali arus ke rumah terbuka Yusof Haslam.

“Saya pernah berurusan dengan LPF dan badan ini sebenarnya agak liberal. Saya tidak menyifatkan mereka terlalu ketat dan mengongkong. Badan ini masih boleh diajak berbincang dan sebenarnya mereka tidak terlalu ekstrim mengawal. Saya pernah katakan kepada pihak mereka jika semata-mata mahu memikirkan aspek positif, maka tidak akan jadi cerita.

“Perihal negatif itu perlu ada dan apa yang penting ialah penamatnya dengan menerapkan unsur pengajaran dan penyelesaian yang boleh membuatkan masyarakat berfikir dengan baik. Saya sendiri pun tidak setuju jika ada penggiat filem yang mahu mengeksploitasi sisi hitam secara berlebihan tanpa ada nilai positif pada pengakhirannya,” katanya sambil memberitahu sekuel filem Bohsia akan menyusul tidak lama lagi dengan menggunakan tagline, Jalan Kembali.

Mengalih bicara kepada minat terbaru Syamsul yang turut menyanyikan lagu bagi runut bunyi Evolusi KL Drift 2, beliau yang pernah mendapat jolokan The Six Million Dollar Man tidak menghalang minat anaknya itu. Sebaliknya, kata pengarah itu, sebaiknya Syamsul perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pengarahan dan lakonan saja.

“Tak salah kalau dia nak menyanyi sekalipun. Afdlin Shauki pun pernah memiliki album kerana minatnya terhadap bidang nyanyian. Lagipun, dia (Syamsul) masih muda, berbakat dan ada suara. Pada mulanya saya sendiri tak bersetuju dengan perkara ini tapi mujur ibunya menyokong hasrat si anak. Dia nyanyi pun bukan nak jadi penyanyi profesional yang sedia ada tetapi tak lebih daripada sekadar mencuba. Sekadar suka-suka,” katanya yang sudah mempunyai tiga orang cucu selepas 26 tahun berkahwin.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD