Oleh Ramlah Zainal
Selaku penerbit, Noor Azman Yusof, berkata pihaknya juga tidak mengharapkan filem itu mencecah kutipan filem 'box office' mahupun untuk tayangan di festival filem di luar negara. "Jika filem ini mencecah kutipan lebih sejutapun, ia sudah cukup baik. Terus terang, filem ini dihasilkan bukan untuk projek dokumentari sejarah, sebaliknya untuk memberi pendedahan kepada generasi muda hari ini mengenai legenda yang berasal dari Johor itu. Pada masa sama, ia juga untuk menghiburkan masyarakat. "Apabila orang bertanya kenapa saya berminat untuk menerbitkan filem ini, saya akan menjawab, kenapa tidak? Seperti mana yang kita tahu, negara kita mempunyai banyak 'harta karun' yang tidak didedahkan seperti kisah Puteri Santubong, Naga Tasik Chini dan Puteri Saadong.
"Cuba kita bertanya pada generasi muda sekarang, saya percaya, ramai yang tidak tahu mengenai kisah legenda yang diilhamkan daripada novel tulisan sasterawan Allahyarham Cikgu Shaharom Husain pada 1957 ini."Justeru, saya berharap, lebih ramai orang tahu mengenai legenda yang menceritakan tragedi cinta berdarah membabitkan sepasang lembing sakti ini apabila ia menjengah pawagam," katanya.Bagaimanapun, kata Noor Azman, dia mengakui berhadapan dengan banyak cabaran untuk merealisasikan filem itu."Sebenarnya, ramai pihak yang meragui kemampuan genre filem ini sejak awal lagi. Akhirnya, ia berjaya juga ke layar perak. Kami pula tidak serik atau patah semangat untuk menerbitkan filem sedemikian pada masa depan.
"Apa yang penting, filem ini berjaya menyampaikan mesejnya pada masyarakat iaitu menyampaikan nilai murni dalam masyarakat Melayu iaitu janji itu penting dan kata itu kota. Apakah kita berpegang kuat pada nilai itu hari ini ?" katanya. Noor Azman ditemui selepas tayangan perdana filem itu di Cathay Cineleisure, Damansara, baru-baru ini. Hadir sama, pelakon lain seperti Siti Elizad, Zul Huzaimi, Hattan dan Mei Lin. Filem itu turut dibintangi Datuk Mustapha Maarof, Datin Rosnani Jamil, M. Rajoli, Aziz M Osman, Kuswadinata, Khir Rahman dan Uji Rashid.Apapun, kata Noor Azman, sebagai penerbit baru, banyak yang dipelajarinya daripada penerbitan filem legenda itu.
"Maklumlah, ini filem pertama terbitan produksi kami dan ia membabitkan kos RM1.6 juta. Secara peribadi, saya juga kurang berpuas hati dengan aspek teknikal dan bunyi filem ini dan bagi saya, ia boleh diperbaiki lagi. Setakat ini, saya tidak dapat komen dari segi mesej dan jalan cerita filem ini lagi. "Selepas tayangan perdana filem ini, saya juga mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan masing-masing terhibur terutama pada klimaks dan penghujung cerita ini. Semuanya bagaikan tidak sabar untuk mengetahui kesudahan cerita ini."Saya juga belajar daripada produser berpengalaman seperti penerbit MIG Production Sdn Bhd (MIG), David Teo dan penerbit Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengenai pengalaman mereka ketika menerbitkan filem pertama dulu."Menurut David, dia juga menanggung kerugian yang banyak pada penerbitan filemnya yang pertama sebelum ini," katanya.
Noor Azman berkata, ramai pihak yang berminat untuk menayangkan filemnya itu dalam kumpulan yang kecil selepas ini."Pelakon veteran juga ramai berminat untuk menonton filem ini. Maklumlah, pelakon veteran yang berlakon dalam filem ini hebat seperti Datuk Mustapha Maarof, Datin Rosnani Jamil, Kuswadinata dan Uji Rashid," katanya. Ditanya pandangannya mengenai pengarah filem itu, Majed Salleh, Noor Azman berkata, dia mempunyai cara dan sentuhannya sendiri."Majed juga berusaha menghasilkan filem yang ringan sedikit kerana filem ini agak berat dengan sentuhan CGI sebanyak 10 peratus," katanya.
Sementara itu, Majed yang sudah hampir 20 tahun mengarah filem berkata, dia sudah lama menanti peluang untuk buat filem purba dan sejarah seperti itu.
"Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk buat filem sejarah Melaka dan Mat Kilau tapi ia tidak kesampaian kerana ditangguhkan atas sebab bajet. Justeru, apabila ditawarkan buat filem ini, saya tidak menolaknya kerana peluang sudah depan mata. Saya mula penggambaran filem ini pada 2005 dan filem ini tamat penggambaran pada 2006."Sebanyak 90 peratus babak dalam filem ini, saya terpaksa buat semula kerana hanya kira-kira lima babak saja yang boleh dipakai daripada penggambaran sebelum ini.
"Selaku pengarah, saya sudah buat yang terbaik mengikut bajet dan masa yang diberikan produser filem ini. Saya juga buat penggambaran dalam hujan dan berjaya menyiapkan penggambaran filem ini dalam tempoh 23 hari seperti ditetapkan produser," katanya.Majed berkata, dia juga yakin filem itu mampu mencecah kutipan sebanyak RM1.2 juta sehingga tempoh tayangannya berakhir nanti."Masalah teknikal yang berlaku dalam filem ini memang mengecewakan tetapi perkara itu sudah berlaku. Pada pandangan saya, jika kutipan filem genre legenda ini mampu mencecah sebanyak RM800,000 dalam tempoh seminggu dengan kos sebanyak RM1.6 juta, ia sudah cukup bagus.
"Apapun komen negatif orang, saya tetap bersemangat selepas ini," katanya. Filem ini menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 22 Januari lalu. Cerita Lembing Awang Pulang Ke Dayang mengisahkan Awang yang perlu mengembara selama tiga tahun untuk memenuhi ilmu di dada dan mencari barang hantaran seperti diminta keluarga Dayang selaras dengan amalan adat sebelum menyunting bunga di taman di kampung halamannya. Ketiadaan Awang, Bachok berusaha memikat Dayang dan pada masa sama, Panglima Merah menggunakan Bachok untuk mencapai cita-citanya berkuasa di Padang.
Lembing Awang Pulang Ke Dayang
Majed Salleh
N Azman
Zul Huzaimy
Farid Kamil
Ejad
Hattan
Lynette Ludi
Dato' Mustapha Maarof
Datin Hajah Rosnani Jamil
M.Rajoli
Aziz M.Osman
Kuswadinata
Khir Rahman
Uji Rashid
David Teo
Dato' Yusof Haslam
Shahroom Husain
Artikel Terkini