![]() |
MAJLIS pelancaran kad insurans SeniCare dan Skim Persaraan 1Malaysia KWSP oleh Seniman berlangsung di PWTC, baru-baru ini. |
KINI masa depan bagi warga seni tanah air akan lebih terjamin dengan wujudnya Skim Persaraan 1Malaysia KWSP dan kad insuran SeniCare yang dilancarkan pada 14 Januari lalu. Skim KWSP yang diusahakan sejak dua tahun lalu oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akhirnya berjaya direalisasikan bagi menjamin kebajikan jangka masa panjang warga seni.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, Skim Persaraan 1Malaysia KWSP dan SeniCare yang diperkenalkan itu diharap dapat mendidik warga seni untuk sentiasa beringat di hari tua. “Dengan pelancaran skim ini, kita berharap warga seni akan lebih terdidik untuk mula menabung demi masa depan mereka. Seperti warga seni, persaraan mereka tidak pernah dijangka. Semuanya tidak tahu bila berakhirnya kerjaya mereka. “Tidak dinafikan industri seni kita memainkan peranan yang penting di dalam perkembangan sesebuah negara, namun kerja seni mereka selama ini tidak pernah terjamin dan sentiasa berhadapan dengan risiko.
“Biasanya generasi muda kurang memikirkan betapa pentingnya memasuki skim KWSP, namun dengan adanya Biro Seniman Muda dengan kerjasama Rakan Muda ia mampu menarik lebih ramai generasi muda untuk memikirkan masa depan mereka,” katanya pada majlis pelancaran Skim Persaraan 1Malaysia KWSP dan kad insuran SeniCare di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hadir sama Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, Pengerusi CBS Group, Dr Kasmani Abd Kadir dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat KWSP, Ahmad Fauzi Kamarudin. Skim yang diperkenalkan ini terbuka kepada sesiapa saja yang terbabit di dalam industri hiburan tanpa kadar bayaran yang ditentukan dan paksaan. Sementara itu, Harun berkata, Seniman membuka tawaran menyertai skim ini mengikut sukarela yang tidak hanya tertumpu kepada ahli persatuan saja.
“Sesiapa saja boleh mengambil skim ini walaupun bukan berdaftar di bawah Seniman tetapi kita menawarkan kepada mereka yang bergiat di dalam industri seni saja termasuk pelakon, pekerja filem, penyanyi, penari dan sebagainya. “Skim Persaraan 1Malaysia KWSP memberi gambaran yang jelas bahawa pencarum dalam KWSP sangat penting untuk hari tua terutama setelah tidak keupayaan untuk meneruskan pekerjaan kelak. “Selain itu juga, kami turut melancarkan Kad SeniCare iaitu insuran sebagai pelindung semasa menjalankan kerja seni dengan faedah yang banyak. Kita mendapat kerjasama dengan syarikat insuran CBS Group,” katanya.
Antara faedah yang bakal diperoleh warga seni yang memiliki kad SeniCare ini seperti perlindungan jengka panjang seperti Takaful, Kemalangan Diri, Persaraan, Hospital dan Pembedahan, Pendidikan, Perjalanan, Aset, kenderaan dan pelbagai faedah yang boleh ditambah mengikut kesesuaian masing-masing. Pada majlis itu juga, CBS Group turut menyumbangkan RM3,000 untuk disalurkan ke Tabung Dana Kebajikan Seniman yang dilancarkan bertujuan membantu ahli seniman yang tidak berkemampuan menampung kos perubatan di hospital. Setiausaha Kehormat Seniman, Yusof Kelana berkata, Tabung Dana Kebajikan sebenarnya sudah lama diwujudkan bertujuan membantu ahli yang sakit.
“Perlu diingat, sebenarnya Seniman bukanlah sebuah persatuan kebajikan semata, namun dengan adanya dana menerusi tabung ini kita sedaya upaya membantu ahli kita yang sakit. “Dana ini sebenarnya khas untuk ahli seniman veteran yang berusia 60 tahun ke atas. Memandangkan ahli veteran kita tidak layak untuk mengambil skim KWSP kerana usianya, dana ini boleh menampung mereka. “Kini kita mempunyai seramai 145 orang ahli Seniman veteran yang berdaftar dengan kita. Hingga kini, sebanyak RM76,000 dana yang masih berbaki di dalam tabung itu,” katanya.