SEMUA yang menjadi persoalan di kalangan pencinta industri hiburan bakal terjawab apabila Anugerah Skrin (ASK) 2008 mendekati kemuncaknya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 9 malam ini.
Terus memainkan peranan proaktif dalam memajukan industri drama dan perfileman tempatan, TV3 menghadirkan ASK 2008 menyajikan produksi televisyen yang menerima jumlah tontonan tertinggi di pelbagai saluran untuk dinilai panel juri profesional sebelum diangkat sebagai yang terbaik.
Membawakan tema Berlian, acara gemilang yang memberi simbolik penghargaan terhadap sumbangan karyawan dan penggiat seni hiburan atas jasa membangunkan industri dapat dilihat menerusi pengiktirafan tahunan yang diperkenalkan sejak 1995
Kilauan bintang bakal menerangi langit Dewan Merdeka, namun siapa yang menyerlah sekali gus mengukuhkan profil seni dengan pengiktirafan daripada juri profesional tanpa secalit pun didasari elemen populariti?
Mempertandingkan 22 kategori, ASK 2008 menyediakan sembilan kategori khusus kepada penggiat drama, termasuk kategori khas - Drama Rantaian Terbaik dan Drama Komedi Terbaik.
Tujuh kategori diperuntukkan untuk produksi filem, tambahan dua kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik berbanding ASK 2007 memperlihatkan kepekaan penganjur dalam meluaskan lagi pengiktirafan sebagai menghargai jasa anak seni.
Langsung tidak memberikan bayangan produksi yang berjaya menembusi senarai Top 5 untuk setiap kategori, namun beberapa drama dan filem dijangka mampu memberi saingan pada malam ASK 2008.
Menyorot pencalonan bagi kategori drama, daripada 22 penerbitan yang layak untuk dipertandingkan kelebihan terletak kepada produksi seperti Kehangatan Lantana, Suara Saleha, Tuhan Pun Tahu dan Ihsan.
Kehangatan Lantana arahan sutradara, Feroz Ab Kader dijangka memberi saingan hebat kepada produksi lain berdasarkan garapan jalan cerita menarik, dikemaskan lakonan berkesan dua teraju utamanya, Ady Putra dan Fasha Sandha.
Berkisar mengenai kekejaman seorang isteri yang mengenakan ilmu hitam untuk menundukkan suaminya, Kehangatan Lantana walaupun tidak mengetengahkan tema baru kerana bentuk cerita seperti itu pernah dipersembahkan sebelum ini namun ada sesuatu yang berani dalam produksi itu.
Kehangatan Lantana bergerak kemas dan mengesankan. Bagaimanapun, laluan mudah Feroz mungkin dicantas sutradara yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik ASK 2007, Azman Yahya atau Jinggo.
Jika tahun lalu, Jinggo menerusi produksi Sebuah Ijtihad membuahkan pengiktirafan besar apabila turut memenangi Drama Terbaik, ASK 2008 menyandarkan harapan kepada Tuhan Pun Tahu.
Barangkali tema yang dibawakan Tuhan Pun Tahu tidak sekuat Sebuah Ijtihad, Jinggo mampu memberi kejutan kerana drama ini masih ada elemen yang dapat membuka mata juri.
Keberkesanan lakonan teraju utamanya, Sheila Rusly dan Que Haidar dibantu aktres berpengalaman, Normah Damanhuri, Tuhan Pun Tahu turut menyelitkan aliran sentuhan baru daripada Jinggo yang menggerakkan jalan cerita drama ini agak perlahan pada permulaan namun memberikan impak dari segi mesej serta penyampaian.
Suara Saleha yang menemukan dua anak seni berkaliber, Zamarul Hisham dan Fauziah Ahmad Daud juga mampu memberi saingan apa lagi ditangani pengarah berpengalaman, Murali Abdullah.
Potensi untuk membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik barangkali lebih berpihak kepada Ady Putra, Que Haidar dan Zamarul Hisham apabila masing-masing menunjukkan persembahan membanggakan dalam produksi Kehangatan Lantana, Tuhan Pun Tahu dan Ihsan.
Bagaimanapun, tuah juga mungkin berpihak kepada dramatis berpengalaman, Idris Md Diah kerana sejarah pernah membuktikan nama kurang komersial namun punya wibawa tetap dijulang seperti yang dilakar Tamam Idris dan Jalil Hamid, sedikit masa lalu.
Saingan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik barangkali lebih mencuri perhatian jika Fasha yang sebelum ini menyerlah dari sudut populariti memberikan lakonan mengesankan dalam Kehangatan Lantana.
Membawakan watak sebagai isteri yang menderita menanti saat ketibaan ajal kerana menundukkan suami menggunakan ilmu hitam, Kehangatan Lantana adalah lakonan terbaik Fasha sepanjang bergelumang dalam bidang seni.
Seperti Ady, cabaran Fasha juga besar kerana saingan yang bakal diterimanya bukan calang-calang pelakon. Sheila Rusly mampu menidakkan kelebihan Fasha, begitu juga Fauziah Ahmad Daud yang memberikan emosi hebat serta lakonan terkawal dalam Suara Saleha sebagai anak dara tua yang berkorban untuk kebahagiaan insan lain.
Naluri kemanusiaan yang ditunjukkan Jasmin Hamid dalam Relung Kasih barangkali memberi kelebihan ketika memainkan peranan sebagai kakak sulung yang berkorban untuk masa depan adik beradiknya.
Jasmin berjaya keluar daripada watak komedi yang selama ini sinonim dengan dirinya, malah dia juga mengumpan emosi untuk khalayak bersimpati dengannya apabila dia mengenepikan kepentingan diri untuk melihat adik beradiknya mencatat kejayaan.
Beralih kepada filem, andai Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) menjadi ukuran, kelebihan pastinya akan berpihak kepada garapan Mamat Khalid yang menjulang Filem Terbaik pada malam itu.
Bagaimanapun, andai aspek lain yang dilihat juri untuk ASK 2008 tuah berkemungkinan menjadi milik Anak Halal arahan Osman Ali yang cuba keluar daripada norma biasa filem Melayu.
Sepi garapan Kabir Bhatia juga berpeluang untuk mengungguli Filem Terbaik, malah memperlihatkan pengarah itu mengulangi kejayaan yang pernah dilakar pada malam ASK 2007.
Saingan Pelakon Lelaki Terbaik dilihat sengit antara Rosyam Nor yang mengungguli kategori itu pada malam FFM21 lalu menerusi Kala Malam Bulan Mengambang dan Farid Kamil untuk Anak Halal.
Namun, jangan dinafikan kelebihan Kamarulzaman Taib yang meraih Pelakon Harapan Lelaki FFM21 menerusi 1957: Hati Malaya kerana dia juga berpotensi mengulangi kejayaannya.
Beralih kepada Pelakon Filem Wanita, Maya Karin mungkin mempunyai peluang lebih cerah menerusi watak anak jalanan dalam Anak Halal jika dibandingkan dengan Ida Nerina dan Vanidah Imran yang masing-masing memberi kekuatan kepada Anak dan Akhirat.
Menerusi Anak Halal, Maya berjaya menyerlahkan sisi baru dalam persembahannya dan memperlihatkan kematangan untuk membawakan watak yang menuntutnya bermain pelbagai emosi.
ASK 2008 diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Noryn Aziz dan Nikki selain menyatukan Adlin Aman Ramlie dan Nurul Syuhada sebagai pengacara.
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3)
Feroz
Adyputra
Fasha Sandha
Jinggo
Sheila Rusly
Que Haidar
Normah Damanhuri
Zamarul Hisham
Ogy Ahmad Daud
Jalil Hamid
Jasmin Hamid
Mamat Khalid
Anak Halal
Osman Ali
Sepi
Kabir Bhatia
Rosyam Nor
Kala Malam Bulan Mengambang
Farid Kamil
Che Kem
1957: Hati Malaya
Maya Karin
Ida Nerina
Vanidah Imran
Akhirat
Datuk Siti Nurhaliza
Adibah Noor
Adlin Aman Ramlie