Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

16 Disember 2009 : Utusan Malaysia

Semuanya Berteraskan Fakta - Erma

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

BABAK persidangan di mahkamah yang menyaksikan Natrah diserahkan kembali kepada keluarga asalnya sehingga mencetuskan Rusuhan Natrah di Singapura.

DIPENTASKAN di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 30 November dan berakhir 13 Disember lalu, teater Natrah yang berkisar kisah benar seorang wanita Belanda bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh mencipta kejayaan membanggakan. Ditonton oleh lebih 18,000 orang penonton dengan tiket yang habis dijual sepanjang 14 hari pementasan, Natrah berjaya 'membunuh' persepsi awal ramai pihak yang menjangkakan naskhah berat itu akan berhadapan dengan kegagalan untuk menarik perhatian ramai.

Pada masa yang sama, kupasan naskhah itu turut mencetus reaksi pelbagai. Majoriti audiens yang menonton Natrah berpendapat, naskhah berkenaan jelas memperlihatkan mesej bersandarkan kepada kisah benar. Namun, dalam pada itu, ada juga segelintir yang kurang berkenan dengan pendekatan sutradaranya, Erma Fatima menggarap konflik khususnya berhubung pertembungan antara agama Islam dan Kristian.

Mengulas isu berkenaan, Erma yang bekerja keras untuk memastikan pementasan itu diterima ramai, bersikap terbuka atas kritikan mereka yang tidak gembira dengan karyanya itu. Bahkan, awal-awal lagi Erma sudah bersedia dengan asakan khususnya mengenai pelbagai elemen dalam naskhah berkenaan termasuk replika salib yang ditonjolkan dalam pementasan Natrah baru-baru ini. Dalam hal itu, Erma menegaskan, apa yang dipaparkan dalam naskhah berkenaan merupakan fakta dalam sejarah konflik hidup Natrah yang tidak boleh diubah.

"Kita (orang Islam) kena terima hakikat bahawa kita telah hilang Natrah. Kenapa perlu takut dengan salib? "Bagi saya, ia (salib) tidak menggugat iman. Bukan untuk memujanya tetapi ia sebagai perlambangan yang harus difikirkan terutama tentang kekalahan Islam mengenai isu Natrah,'' jelasnya mengenai pertanyaan banyak pihak. Sebagai seorang karyawan, Erma sedar kedudukannya sebagai penggiat seni menuntut tahap kejujuran serta tanggungjawab yang besar dan kerana itu apa yang diterjemahkan dalam naskhah teater bersandarkan kebenaran semata-mata.

"Kebenaran, fakta dan realiti Natrah saya terjemahkan dalam bentuk kreativiti mengikut sudut pandang seni. "Saya tidak memanipulasikan fakta. Apa yang anda semua tonton dalam teater Natrah disampaikan dalam bentuk seni. Semua itu dilakukan dengan harapan audiens memperoleh mesej yang jelas terhadap kesudahan hidup Natrah," ujarnya menjelaskan harapannya terhadap pementasan itu. Pada masa yang sama, Erma memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kehebatan rekod yang dicatatkan Natrah berkata, perjuangan seninya tidak akan terhenti begitu sahaja.

Melihat kejayaan yang diperoleh sebagai hikmah, Erma bagaimanapun melahirkan harapan agar rekod tersebut perlu dipandang sebagai satu lonjakan untuk bersama membawa produk tempatan ke pentas antarabangsa."Saya harap agar ia (Natrah) tidak dibanggakan di sini sahaja. Natrah boleh diperbaiki lagi untuk dibawa ke luar. "Sudah sampai masanya seni kita keluar daripada kepompong untuk tonjolkan kekuatan agama dan bangsa kita,'' katanya. Mengenai kritikan yang diterimanya terhadap pementasan Natrah, Erma menegaskan, semua itu sudah sebati dalam jiwanya selaku insan seni.

"Sebelum ini pun saya sudah banyak dan lebih teruk dikritik. Saya tidak kisah apa orang hendak kata. "Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang,'' jelasnya yang menambah pementasan Natrah bukanlah pentas untuknya mengutuk atau memburukkan agama lain. Mengenai persoalan dan ura-ura Natrah yang bakal dipentaskan untuk musim kedua, Erma dengan nada bangga berkata, beliau secara peribadi bersedia untuk mementaskan Natrah pada masa depan daripada perspektif yang berbeza. Dengan harapan untuk mengekalkan pelakon sedia ada, menurut Erma, pementasan untuk musim kedua perlu ada perubahan kerana khalayak sudah maklum dengan naskhah pertama.

"Untuk Natrah 2, khalayak penonton yang hadir pastinya sama. Justeru, kisah hidup Natrah boleh dilihat daripada sudut Mansor Adabi lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya, kisah cinta dan boleh juga difokuskan kepada perjuangan para pejuang. "Jika itu berlaku, Natrah akan menjadi sub plot sahaja manakala penceritaan lain dikembangkan,'' katanya. Sementara itu, bagi pengurusan IB pula, sambutan memberangsangkan yang diterima oleh Natrah sekali gus melakar sejarah serta rekod kecemerlangan buat pementasan teater bukan muzikal sejak panggung berkenaan ditubuhkan sedekad lalu.

"Sebelum ini, sambutan seumpama itu pernah diterima untuk pementasan teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang dan P. Ramlee The Musical. "Tetapi, Natrah berjaya mencatat rekod sebagai pementasan teater bukan muzikal paling berjaya untuk tempoh 10 tahun ini. Bukan sahaja tiket habis dijual dan jumlah penonton yang tinggi, Natrah turut mencatat rekod sebagai teater paling lama dipentaskan iaitu 14 hari. "Kebiasaannya 10 hari dan dilanjutkan sehari tetapi Natrah dilanjutkan sebanyak empat hari atas saranan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim,'' kata Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani tatkala ditemui sejurus selepas berakhirnya pementasan Natrah malam Ahad lalu.

Jelas Mohamed Juhari, selain rekod yang dicipta teater terbitan IB itu sendiri, apa yang membuatkannya rasa terharu adalah semangat yang diperlihatkan oleh setiap pelakon. Ini kerana, ujarnya, Natrah telah dipentaskan selama 14 hari tanpa henti dan ia sememangnya mencabar stamina pelakon. "Kalau mengikut 'adat' sebelum ini, selepas tujuh hari dipentaskan, mereka akan berhenti rehat pada hari kelapan sebelum meneruskan semula pementasan. "Tetapi Natrah tidak. Pementasan diteruskan selama 14 hari. Ini yang membuatkan saya rasa bangga terutama semangat yang diperlihatkan oleh pelakon dan seluruh warga kerjanya,'' katanya.

Menurut beliau, Natrah juga berjaya membuka persepsi baru terhadap mana-mana produksi untuk tidak gentar memulakan persembahan pada hari biasa dan bukannya seperti kebiasaan iaitu di hujung minggu. "Teater sudah ada khalayak peminat dan penontonnya yang tersendiri. Kalau ada produk yang bagus, pasti penonton akan memberikan sokongan. "Untuk itu, tidak perlu gentar untuk memulakan pementasan pada hari biasa atau hari bekerja seperti yang dilakukan Natrah iaitu di hari Isnin,'' tegasnya. Pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima mendapat sokongan daripada Kumpulan Utusan selaku media rasmi di samping stesen radio Sinar FM sebagai radio rasmi.

Dibintangi Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, pelakon lain adalah Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofea Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline). Selain barisan pelakon utama, teater Natrah turut melibatkan hampir 100 pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak. Ia menceritakan kisah benar seorang wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.

Menyambung bicara, Mohamed Juhari berkata, dengan kejayaan yang ditempa oleh Natrah, IB selaku sebuah panggung bertaraf dunia harus mencari formula baru untuk menarik lebih ramai khalayak penonton. Ditanya apakah Natrah bakal dipentaskan untuk musim seterusnya, beliau menjelaskan bahawa kemungkinan itu adalah besar jika mendapat sokongan ramai pihak serta kerajaan. "Syukur dengan kejayaan Natrah. Untuk tahun ini, Natrah boleh dikatakan sebagai 'theater of the year'. "Syukur juga kerana kami dapat menyangkal persepsi awal ramai pihak yang mempertikaikan kemampuan pementasan Natrah untuk menarik perhatian penonton,'' tambahnya.

Profil Berkaitan

 Erma Fatima    Remy Ishak    Sofea Jane    Maya Karin    Umie Aida    Tan Sri P. Ramlee    Puteri Gunung Ledang  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD