Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

13 Mac 2008 : Berita Harian

Sedia Hadapi Kontroversi Babak Ranjang

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

BERANI: Adi sanggup meyahut cabaran untuk memantapkan tahap lakonannya.

Adi Putra akui berdebar lakon adegan panas dalam Akhirat

KATA pelakon Adi Putra, dia sudah bersedia untuk berdepan dengan segala macam soalan wartawan serta kontroversi yang mungkin melanda dirinya apabila menerima tawaran melakonkan babak ranjang dalam filem terbaru, Akhirat.

Dia mempunyai alasan sendiri apabila melakonkan babak panas bersama aktres muda, Nabila Huda, dalam filem arahan Syed Mohamed Benyahya itu. Kesungguhan untuk menonjolkan sebuah lakonan berkesan, sebagaimana tanggungjawab yang diletakkan di bahunya, menyebabkan dia sanggup berhadapan dengan pelbagai tindak balas kurang enak, yang mungkin datang sebaik saja filem itu ditayangkan, 20 Mac ini.

Apatah lagi watak Ari yang diserahkan kepadanya belum pernah dilakonkan oleh Adi sebelum ini. Menerusi Akhirat, pelakon kelahiran Kota Singa ini diberikan peranan pemuda 20-an yang bersikap negatif. Walaupun karakter jahat pernah dijayakannya melalui drama bersiri Mya Zara, tetapi kejahatan dalam siri itu tidak dizahirkan menerusi fizikalnya.

Berkongsi sedikit pengalaman sewaktu melakonkan babak ranjang berkenaan, pelakon ini mengaku, sememangnya dia agak berdebar sewaktu adegan bersama Nabila itu mula-mula hendak dirakam.

"Namun begitu, sebagai pelakon, kita harus memberikan penekanan kepada perwatakan dan penceritaan. Lalu, apabila mengetahui babak terbabit lebih mengukuhkan kedua-dua aspek ini, maka saya lakukan juga walaupun jauh di sudut hati, ia mungkin mencetuskan kontroversi," katanya yang berasakan tidak ramai pelakon berani berbuat demikian atas nama lakonan.

Antara babak panas yang perlu dilakukannya termasuk adegan bercium serta adegan romantik yang memerlukan badannya menghempap tubuh pelakon genit berkenaan.

"Saya tahu, adegan sebegitu rasanya belum wujud dalam filem Melayu setakat ini. Namun, kami cuba melakukannya dengan sebaik mungkin supaya ia tidak kelihatan keterlaluan. Ia juga dijayakan dengan bantuan helah kamera," cerita Adi yang sebelum ini menarik perhatian ramai menerusi filem Anak Halal.

Kata Adi juga, sebagai Ari, wataknya itu melihat wanita sebagai sesuatu yang mudah datang dan mudah juga pergi. Walaupun Noni (Nabila) menyintai dan menaruh harapan padanya, Ari tidak mempunyai keikhlasan dalam perhubungannya bersama wanita ini.

"Akhirat cuba menyampaikan pengajaran, sebaik-baiknya kita mengenali lebih dulu orang yang ingin kita jadikan pasangan hidup, sebelum musibah menimpa pada kemudian hari," kata pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim ini.

Langkah pelakon ini juga nampaknya semakin panjang di persada seni negara ini apabila satu demi satu filem dilakonkannya. Sesudah Anak Halal dan Akhirat, dia disambar pula Tayangan Unggul untuk membintangi filem Histeria. Mei ini, dia sekali lagi bakal turun ke lokasi filem terbitan Sri Saheb berjudul Dajal.

Adi juga memegang watak utama dalam siri KL Menjerit, drama aksi 27 episod yang mula ditayangkan hujung Februari lalu di Astro Ria. Pada 10 Mac lalu pula, dia mula ke lokasi drama bersiri Abadinya Cinta untuk slot Samarinda TV3 bersama Umie Aida dan Faizal Hussein.

Adi, Aaron tiada sengketa

KETIKA diminta ulasannya berhubung khabar angin yang mengatakan hubungannya dengan seorang lagi pelakon dari seberang tambak, Aaron Aziz, yang dikatakan agak panas, Adi mengaku tidak ada masalah dalam hubungan mereka berdua.

Sebelum ini, Aaron turut melahirkan kenyataan lebih kurang serupa ketika bintang Emil Emilda itu ditemui pada majlis pelancaran filem Dia Datang, di Menara Kuala Lumpur.

Jelas Adi, mungkin cerita begitu timbul apabila kedua-duanya datang daripada negara yang sama dan kini masing-masing mula mencipta nama dalam arena lakonan di Malaysia. Kedua-duanya juga memulakan langkah di bawah drama arahan Erma Fatima.

Begitupun, Aaron kembali semula ke Singapura selepas terbabit dengan drama Sumayyah sekitar 2004 berikutan isterinya sarat mengandungkan anak pertama, manakala Adi yang berlakon dalam Haryati 2 dan ketika itu masih bujang, terus mencari rezeki di negara ini.

"Saya menghormati Aaron kerana dia pelakon yang cukup popular di Singapura, manakala saya pula tidak sampai setahun berlakon di sana sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Saya juga bermula sebagai krew, bukannya pelakon," kata Adi yang menganggap, antara pelakon Singapura yang disegani dirinya ialah Hasnul Rahmat, yang cukup mementingkan kualiti dalam setiap produk dijayakannya.

 

Profil Berkaitan

 Akhirat    Adyputra  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD