Oleh Esme Johari Wahab
Anugerah diterima bukan sekadar sebagai pengiktirafan, malah membuatkannya lebih matang menghadapi dunia lakonan yang lebih mencabar di masa depan. Menurut Liyana, pencapaian seni depan kamera buka peluang mengorak langkah lebih jauh terhadap kerjaya diminati itu. Apatah lagi kejayaan bukan mudah dicapai tanpa kerja keras sejak terbabit dalam bidang lakonan secara serius dua tahun lalu.
"Dua pengiktirafan selang tempoh empat bulan mencetus semangat baru. Apapun, masih banyak perlu ditingkatkan kerana teknologi filem berkembang dan watak lakonan berubah. Banyak aspek baru perlu dipelajari supaya tidak ketinggalan. "Kejayaan itu membuatkan ada pihak mengatakan saya jadi sombong, tetapi hakikatnya saya tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Saya fokus mahu meningkatkan kualiti lakonan untuk peminat. Saya akan buat apa yang termampu," katanya. Lakonan Liyana menerusi Papadom melonjak namanya selaku Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), Ogos lalu.
Pada 4 Disember lalu, Liyana dijulang Pelakon Wanita Terbaik Filem melalui Kami The Movie di Anugerah Skrin (ASK2009). "Kejayaan itu amat manis. Saya diberi peluang mewakili Malaysia dan ini juga satu penghormatan. Saya dapat bertemu ramai pelakon dan pengarah terbaik dari Indonesia, Hong Kong, Iran pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP53) diadakan di Kaohsiung, Taiwan. "Saya pernah ke sana dua tahun lalu. Saya harap kehadiran kali ini membawa pulang banyak ilmu baru dan memperbaiki hubungan pengarah dan pelakon terbaik dari kalangan negara Asia Pasifik," kata Liyana yang berhasrat menyambung pelajaran tahun depan.
Filem terbaru dibintangi Liyana, Duhai Si Pari Pari akan ditayangkan pada 31 Disember ini dan Niang Rapik The Movie pada Februari 2010. Mengenai desas-desus hubungan Liyana dengan vokalis/gitaris, Aizat, pelakon kelahiran Kuantan itu berkata: "Saya rasa ia terlalu peribadi. Saya ada ramai rakan baik terutamanya anggota kumpulan indie. Kami mesra dan suka bertukar tukar pendapat. "Saya banyak belajar perkara baru mengenai muzik daripada gitaris Hujan, AG Coco, komposer moden, Ajai dan Aizat sendiri. Mereka mempunyai kekuatan serta kelebihan dalam bidang masing masing dan secara tidak langsung, saya dapat menimba ilmu.
"Gabungan mereka menghasilkan lima lagu dimuatkan dalam album saya, Liyana Jasmay, dilancarkan pada 18 November lalu. "Meningkatkan kualiti nyanyian salah satu matlamat dalam cabang seni selain berlakon. Saya seronok dapat belajar dengan orang berpengalaman dan tahu apa dilakukan. "Dapat bekerjasama dengan orang yang mampu beri inspirasi boleh meningkatkan motivasi. Ini bermakna jika kru atau orang lain mampu memberi pandangan baru atau semangat baru, saya anggap ia positif. "Faktor seperti itu bagus untuk pembangunan karier masa depan," kata Liyana yang akan menjalani penggambaran Papadom The Movie 2 pada pertengahan tahun depan.
Artikel Terkini