Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

13 April 2008 : Utusan Malaysia

Saya Berjaya - Syed Mohamed

Bagaimana reaksi yang anda terima selepas filem pertama arahan anda ini ditayangkan kepada umum?

Maklum balas daripada orang ramai yang saya terima setakat ini adalah baik. Tidak menjadi masalah kepada saya sama ada ia positif ataupun negatif kerana ia tidak menghalang saya untuk berkarya. Segala teguran orang ramai akan saya jadikan sebagai panduan.

Bagaimana anda mendepani reaksi yang tidak baik mengenai karya anda?

Mungkin apa yang diperkatakan oleh seseorang itu bersifat peribadi. Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana ramai penonton yang berpuas hati dengan apa yang mereka dapat selepas menonton Akhirat. Yang penting selepas ini saya akan terus berkarya secara jujur. Apa yang kita saksikan dalam Akhirat adalah kejujuran saya menggambarkan sesuatu di dalam filem.

Anda merasakan anda berjaya walaupun ramai yang menganggap filem ini gagal?

Saya berpuas hati dengan reaksi penonton. Ini merupakan sebuah kejayaan saya dalam Akhirat walaupun dikritik. Sebelum ini orang tidak pernah bercakap tentang saya tetapi selepas mereka menonton Akhirat, mereka mula memperkatakan tentang saya. Ia sebuah kejayaan bagi pengarah seperti saya. Saya tak kisah, orang ramai berhak berkata apa saja kerana ia merupakan pendangan peribadi mereka. Walau apa pun saya tidak menjadikan pandangan itu untuk mengundurkan diri sebaliknya lebih aktif untuk berkarya.

Dari judulnya, Akhirat seperti sebuah cerita keagamaan tetapi inti patinya tidak seperti itu. Apa komen saudara?

Walaupun ramai orang bercerita tentang adegan itu tetapi ia merupakan satu keperluan untuk diceritakan di dalam filem. Saya menggunakan adegan itu untuk menceritakan kepada umum dalam bentuk visual. Saya tidak menyembunyikan perkara itu dengan menggunakan teknik lain. Saya terjemahkan kejujuran saya mengikut acuan saya sendiri. Selama ini kita berada di dalam kotak dan tidak berani (menonjolkan adegan seks secara jelas). Saya mahu keluar dari kepompong itu. Secara realitinya pun ramai orang yang berbuat seperti itu di luar sana. Dalam filem kita jelaskan kebenaran cerita itu.

Tapi budaya kita tidak semacam itu. Orang Melayu masih ada sifat malu apatah lagi jika adegan cium dipertontonkan?

Kita jangan fikir adegan cium itu sangat. Apa yang saya mahu, mesejnya sampai kepada penonton. Saya tekankan, adegan itu bukanlah sesuatu yang perlu dipersoalkan sebaliknya kita fikir, mesej itu sampai atau tidak supaya orang mengelak daripada HIV. Adegan panas hanya sebahagian daripada penceritaan dan bukannya kita wujudkan adegan itu untuk dibahaskan oleh orang ramai.

Maknanya adegan itu "tidak keterlaluan" dan diwajarkan?

Selama ini kita suka menyorok atau tunjukkan sesuatu adegan itu sebagai simbolik sahaja. Tapi perlu ingat, adegan panas saya itu diluluskan oleh Finas selepas melalui proses tapisan. Jika Finas dah lulus, ia bermakna tidak keterlaluan. Mesejnya seks terlarang itu hendaklah dijauhi. Itu sepatutnya yang harus kita lihat, bukannya adegan seks itu.

Adakah masyarakat kita sudah terbuka untuk menerima adegan seperti itu?

Cium dalam Akhirat berlaku secara spontan. Ia tidak dipaksa. Orang muda sekarang pun kalau berdua-duaan, sesetengahnya buat perkara itu (cium) juga. Dalam Internet, surat khabar pun ada menceritakan macam-macam skandal. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita menunjukkan kebaikan dan keburukan yang harus dinilai oleh orang lain. Saya buat apa yang saya lihat kerana saya jujur dengan karya saya dan mahu orang melihat di sebalik apa yang saya perkatakan itu.

Penyakit AIDS yang dihidapi Mira tidak digambarkan dengan jelas kerana tanda-tandanya tidak seperti yang dialami pesakit itu yang sebenar. Apa komen saudara?

Kita buat penyelidikan terlebih dahulu. Saya tak perlu tunjuk macam orang buat drama apabila pesakit AIDS perlu ada kudis dan sebagainya. Saya tidak menggambarkan seperti tu. Tidak semestinya orang yang ada HIV positif perlu digambarkan dengan kudis di badannya.

Ramai yang bercakap Akhirat adalah taktik saudara untuk meraih keuntungan!

Saya tak fikir seperti itu pun. Semasa mengarahkan Akhirat, tak terlintas langsung nak meraih keuntungan dengan cara sedemikian. Cuma saya mahu mesej itu sampai kepada penonton iaitu kalau kita melanggar telahan agama, kita akan menerima hukumannya. Dalam filem ini kita seharus mendapat pengajaran.

Ditayangkan ketika sambutan Maulidur Rasul seperti ada kaitan dengan tema agama. Tetapi ia sebaliknya. Apa komen anda?

Kita dapat tarikh yang dikeluarkan oleh Syarat Wajib Tayang selain daripada strategi pemasaran kami. Kebetulan hari itu adalah hari cuti Maulidur Rasul. Itu saja. Ia tiada apa-apa kaitan lain.

Bagaimana dengan perjalanan kerjaya pengarahan anda selepas ini?

Mungkin selepas ini saya akan mengarahkan filem cinta ataupun menyentuh moral yang lain. Sebagai orang seni saya tak serik kerana ini adalah rezeki saya. Saya dilahirkan untuk berkarya dan menerima sesuatu itu dengan baik kerana apa juga yang kita buat, ia datang daripada Allah.

Apa tamparan yang anda terima setakat ini?

Tak nafikan kadangkala tidur malam sedikit terganggu kerana orang tak dapat mesej yang hendak saya sampaikan apabila penonton tidak melihat keperluan cerita itu. Dalam filem Melayu dulu-dulu pun ada babak yang lebih daring dari itu. Jadi adegan yang saya sampaikan dalam Akhirat ini bukanlah baru sebaliknya kita pernah menonton dalam filem-filem hitam putih dahulu.

Profil Berkaitan

 Akhirat    Syed Mohamed  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD