Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Paling ketara selepas menjayakan watak Phim dalam filem Castello di sisi pelakon terkenal seperti Rosyam Nor dan pengarah, Bade Azmi lima tahun lalu. Kejayaan menampilkan lakonan cemerlang dalam filem Papadom turut mencatat sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) lalu. Biarpun meraih anugerah, Nana masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya itu malah menganggap karier seni masih dalam proses pendakian. Nana yang ditemui pada majlis kenduri kesyukuran dan berbuka puasa meraikan penghuni Rumah Amal Belaian Kasih (Rabeka), Ukay Perdana di kediamannya di Tropika Kemensah Height berkata, di samping lakonan dia turut menyimpan impian untuk terbabit dalam pelbagai cabang seni.
“Pada usia yang masih muda saya cuba menimba pengalaman sebanyak mungkin dalam dunia seni. Ia sebagai bekalan untuk meneruskan kesinambungan bagi generasi muda seperti saya pada masa akan datang. “Sejak kanak-kanak lagi saya sudah terbabit dalam lakonan. Malah pengalaman berkerja sama dengan ramai pelakon hebat seperti Rosyam dan Bade ternyata banyak membantu memantapkan lakonan. “Jika tiada aral saya mahu mencuba bidang pengarahan dan penulisan skrip pula pada usia 24 tahun,” katanya. Selain lakonan, Nana mempertaruhkan bakat nyanyian apabila tampil dengan lagu single Aku Tak Percaya. Malah mini albumnya dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.
Nana tidak terkecuali berkongsi kejayaan dalam bidang seni disamping golongan yang kurang bernasib baik menerusi penganjuran majlis kenduri kesyukuran dan berbuka puasa di kediamannya itu.“Sudah lama saya merancang untuk menganjurkan majlis seperti ini. Biasanya membabitkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Begitupun, majlis seperti itu kadang kala kurang sesuai kerana kanak-kanak ini tidak mendapat perhatian yang penuh. Bukan saja golongan anak yatim malah mereka yang datang daripada keluarga yang miskin turut diraikan.“Sekurang-kurangnya penganjuran majlis ini membuatkan saya lebih rapat dengan golongan yang kurang bernasib baik. Majlis ringkas dan kenduri kesyukuran ini juga diadakan sebagai meraikan kemenangan di FFM22,” kata Nana yang masih menuntut di tahun akhir Diploma Seni Persembahan, Kolej Universiti Sunway.Pembabitan dalam dunia seni turut mendapat sokongan penuh daripada keluarga yang sentiasa memantau selain menguruskan perjalanan seni anak bongsu daripada empat beradik itu.
Bapanya, Jasmay Shah, 56, ketika ditemui mengakui anak bongsunya itu seorang yang berdikari dan pandai membawa diri kerana sudah terbabit dalam dunia seni sejak kecil lagi. “Setakat ini, Nana ada ibu (Habsah) dan kakak (Adriana) yang menjaga dan menguruskan perjalanan seninya. Sejak kanak-kanak lagi dia sudah menunjukkan disiplin yang tinggi ketika terbabit dalam lakonan. Ketika itu juga dia sudah tahu membawa diri dan mengemas semua pakaian sendiri. “Sejak kecil lagi dia menunjukkan peribadi baik dan sikap pemurah dengan semua orang. Saya ingat lagi ketika dia kecil selepas selesai penggambaran dia mahu meminjam RM100 untuk belanja kru produksi makanan KFC. Saya bangga melihat sikapnya yang pemurah dan berdisiplin.
“Sejak dia kecil lagi saya tidak pernah melarang pembabitannya dalam dunia seni. Soal dia terbabit dengan gosip atau cerita yang tidak benar bagaikan sudah lali pada kami. Yang penting saya tahu perkembangannya,” katanya.Biarpun kadangkala Nana mengadu kepenatan disebabkan terikat dengan aktiviti seni yang padat namun ia tidak sedikitpun melunturkan semangat anak gadisnya itu. Jasmay sentiasa memberi galakan kepada apa saja bidang yang ingin diceburi anaknya turut memaklumkan merancang menghantar Nana melanjutkan pengajian dalam bidang seni di London pada masa depan.
Mengenai majlis berbuka puasa dan meraikan anak yatim itu semuanya diilhamkan oleh Nana yang merancang dan mengeluarkan wang sendiri. Begitupun sebagai bapa dia hanya memastikan majlis berkenaan berjalan lancar. Selain Nana, adik-beradik lain ialah Juzali, 32, Faradilla, 29, dan Adriana, 27.Bagi ibu Nana, Habsah Sipon, 52, pula dia sentiasa memberi galakan dan memberi sokongan penuh pembabitan anaknya dalam dunia seni. Di samping berkongsi minat dalam dunia seni dia juga mahu memastikan karier anaknya itu berada pada tahap yang sepatutnya.
“Saya sentiasa menemani Nana menghadiri majlis rasmi, sesi fotografi dan di lokasi penggambaran sehingga ada ketika pulang jam 4 pagi. Saya memberi sokongan penuh kepadanya untuk terbabit dalam dunia seni. Mungkin disebabkan mempunyai minat yang sama dalam bidang seni. “Hendak diikutkan sesiapa saja pengarah atau kru yang mengenalinya akan mudah mesra dengan sikapnya walaupun agak aktif. Dia juga sangat manja dalam keluarga memandangkan jarak umur dengan kakaknya beza enam tahun,” katanya.
Artikel Terkini