![]() |
ERMA Fatima dengan trofi kemenangan. |
ERMA FATIMA mengaku, dia datang ke malam Anugerah Skrin 2009 (ASK09) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, 4 Disember lalu, dengan harapan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sebuah trofi daripada drama arahan dan tulisannya, Tersasar Di Jalanmu.
Bagaimanapun, apabila tirai acara dilabuhkan, drama terbitannya itu mencatat lebih daripada apa yang diimpikan wanita berkenaan. Bukan satu, sebaliknya ia gemilang dengan enam trofi kesemuanya. Selain Erma sendiri menggenggam tiga daripadanya, iaitu bagi kategori Drama Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon TV Terbaik, pelakonnya, Rosnah Mat Aris diumumkan Pelakon Wanita Terbaik, manakala Norish Ismail pula Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Melengkapkan kemenangan, drama terbabit turut mengungguli kategori Videografi Terbaik. Sebuah karya yang pernah ditolak sebuah stesen televisyen kerana dianggap sebagai cerita memualkan, Tersasar Di Jalanmu dipandang tinggi oleh juri ASK tahun ini.
Erma sendiri beberapa kali memberitahu, drama berkenaan tidak mempunyai nilai komersial dek ketiadaan pelakon yang lawa serta popular. Begitupun dia tetap berasakan projek terbabit cukup dekat di hati, apatah lagi apabila dia sendiri bertemu dengan ketua samseng di Lorong Haji Taib bagi membolehkan penggambaran dilakukan di kawasan yang dianggap hitam itu. "Drama ini tentu sekali mempunyai kenangan yang menyentuh hati. Bukan daripada babak yang kami rakam, sebaliknya detik pilu itu muncul sepanjang saat kami berada di sana. Apa yang kami saksikan di lorong terbabit amat menyedihkan. "Sahabat saya ketika itu ialah golongan penagih dan ketua gangster. Saya bertemu dengan ketua mereka, bagi mendapatkan kebenaran mengadakan penggambaran," kata Erma sambil memberitahu, Lorong Neraka ialah judul asal drama berkenaan.
![]() |
TROFI ASK09 buktikan Que Haidar dan Liyana Jasmay pelakon berbakat besar. |
Katanya, drama itu dibuat berdasarkan beberapa watak yang dilihatnya di kawasan terbabit, sewaktu mengarahkan sebuah lagi produksi sebelum itu. Namun, ia bukanlah sebuah kisah benar. "Saya sendiri menghantar DVD kepada ketua samseng itu sebelum ia ditayangkan di RTM. Mereka juga tidak membantah kandungan ceritanya. Bahkan, saya sendiri masih lagi berkunjung ke lorong itu kerana warung nasi lemak kegemaran saya masih ada di sana," cerita Erma. Tidak ditunjangi pelakon cantik dan kacak, serta kurang dikenali ramai, namun Tersasar Di Jalanmu nyata membanggakan Erma apabila ia dikatakan antara program dengan rating terbaik apabila disiarkan. Malah, sejak tahun lalu, sudah tiga kali drama itu ditayangkan.
Antara lain, Tersasar Di Jalanmu terbitan Rumah Karya Citra itu mengisahkan sepasang suami isteri yang berkahwin muda dan kini menetap di Lorong Haji Taib. Mereka mempunyai tiga anak, dengan anak pertama bekerja sebagai pengedar dadah, manakala anak kedua pula terbabit dengan gejala sosial sehingga menjadi mangsa rogol. Hanya anak kecil mereka yang mempunyai cita-cita untuk menjadi insan berguna, seterusnya membersihkan kawasan itu daripada segala noda. Ibu bapanya tidak pernah mengendahkan diri dan masa depan kanak-kanak berkenaan, walaupun dia sering mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Apabila dibuang sekolah, anak perempuan mereka menjadi gian akibat ketagihan dadah. Suatu hari, dia ternampak abang kandungnya sendiri terbabit dalam pengedaran, lalu bertindak mencuri dadah berkenaan. Malangnya, dia terbunuh akibat pengambilan dadah berlebihan. Hanya insiden itu menyedarkan pasangan berkenaan yang anak-anak mereka sudah lama terbabit dengan najis dadah. Kata Erma, drama terbabit dihasilkannya sebagai sebahagian Kempen Sosial Remaja yang dianjurkan Yayasan Seni Prihatin Malaysia, kira-kira empat tahun lalu.
"Kejayaan drama ini adalah untuk semua insan yang berada di Lorong Haji Taib. Mereka memberikan kerjasama sepenuhnya ketika kami melakukan penggambaran di sana. Hasil persefahaman, tiada sebarang masalah timbul sepanjang kami menjayakannya. "Drama ini ialah paparan konflik mereka yang berada di kawasan berkenaan. Ia sebuah cerita mengenai kemanusiaan dan kasih sayang, yang sememangnya kita amat perlukan walaupun di mana saja kita berada," kata Erma yang turut menganggap kemenangan itu hasil kerjasama keseluruhan pasukan penerbitan dan pelakonnya.
![]() |
ANTARA pemenang ASK09, dari kiri, Kabir Bhatia, Ahmad Tamimi Siregar dan Jaclyn Victor. |
Komen pemenang ASK09
Pengarah Kabir Bhatia (Drama Rantai Terbaik - Kekasihku Seru)
"SAYA tidak menjangkakan kejayaan ini kerana siri terbabit berada dalam kategori seram. Namun, tentunya ia kejutan yang cukup membanggakan. Kejayaan ini diperoleh hasil kerja cemerlang pasukan penerbitan. Ia adalah gabungan keunggulan kerja teknikal dan jalan ceritanya.
"Ia turut membuktikan, apa saja cerita sekalipun, jika dihasilkan dengan baik, ia boleh mencatat kejayaan. Apatah lagi, Kekasihku Seru mempunyai kalangan pengikut yang ramai. Lebih membanggakan, sebuah lagi siri daripada produksi kami, Front Page, turut dicalonkan sama bagi merebut trofi kategori ini."
Que Haidar (Pelakon Lelaki Terbaik Drama - Terlerai Takbir Kasih)
"SELEPAS memenangi kategori pembantu pada tahun lalu menerusi Tuhan Pun Tahu, nampaknya rezeki menyebelahi saya kali ini untuk kategori pelakon utama pula. Kejayaan ini saya anggap sebagai habuan hasil kerjasama baik dengan pengarahnya, Mohd Heykal Hanifah. Dia memberikan ruang untuk pelakon untuk benar-benar berkarya. Dia menerima pandangan pelakonnya, walaupun inilah kerjasama pertama antara kami berdua.
"Saya melihat karakter saya dalam drama ini cukup istimewa. Apatah lagi ia cukup dekat dengan kejadian yang berlaku pada seorang teman baik. Tanpa disedarinya, saya menjadikan dirinya sebagai rujukan. Drama ini berkisar kepada kehidupan seorang lelaki yang melupakan isteri pertama apabila dia berkahwin dua. Mainan dalaman watak saya mungkin menjadi kekuatan sebenar sehingga membolehkan juri memberi kata sepakat trofi ini dianugerahkan kepada saya."
Liyana Jasmay (Pelakon Wanita Terbaik Filem - Kami The Movie)
"SAYA memang langsung tidak menyangka untuk menang pada malam ini. Mungkin inilah yang dinamakan rezeki untuk Kami The Movie. Pada Festival Filem Malaysia yang lalu, filem ini tidak tercalon pun dalam kedudukan Top 5.
"Saya sendiri berasakan, amat sukar untuk mendapat karakter gadis yang agak kasar, tetapi mempunyai kecenderungan dalam penulisan, sebagaimana disaksikan dalam filem ini. Ia amat berbeza dengan watak saya dalam Papadom, yang dirasakan lebih dekat dengan diri saya sebenar.
"Jika tidak menang trofi sekalipun (pada FFM22 dan ASK09), saya masih lagi berasa takut setiap kali mendapat tawaran berlakon. Saya sentiasa terfikir, apalah agaknya harapan orang pada projek seterusnya? Saya juga tentulah perlu menghasilkan lakonan yang lebih baik setiap kali muncul dengan filem baru.
"Pada masa yang sama, dengan adanya filem daripada pengarah bebas, rasanya lebih banyak filem yang baik dapat ditonton. Insya-Allah, tahun depan lebih banyak filem daripada mereka akan menemui penonton di panggung."
Ahmad Tamimi Siregar (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama - Tak Serupa Tapi Sama)
"KEJAYAAN ini saya anggap sebagai hadiah hari jadi yang ke-60 saya yang terbaik, yang jatuh pada 17 Januari depan. Ia juga hadiah buat isteri dan anak-anak. Kali akhir saya menang anugerah menerusi drama Ana Aishah pada 1992 (Anugerah Sri Angkasa). Drama itu berjaya menggondol lima anugerah.
"Tak Serupa Tapi Sama turut membolehkan saya kembali bekerja dengan Murali Abdullah, selepas melakukannya pada 1992. Ia sebuah teks yang baik, kerana itulah ia mendapat perhatian daripada juri pertandingan. Saya sendiri tidak menyangka, semakin tua, semakin banyak pula tawaran kerja saya terima. Jika tiada aral, tahun depan saya juga akan mengarahkan filem, sama ada filem bikinan semula berjudul Abang atau sebuah karya lain, Lombok."
Jaclyn Victor (Anugerah Yasmin Ahmad)
"KETIKA anugerah ini hendak diumumkan, saya duduk di barisan depan kerana saya sendiri ingin mengetahui siapakah penerimanya. Dalam hati, saya langsung tidak menyangka saya pula akan diumumkan sebagai pemenangnya. Ketika itu, saya menyangka Kak Yan (Azean Irdawaty) ialah bakal penerimanya, tanpa menyedari anugerah berkenaan diwujudkan bagi bakat baru yang dilihat berpotensi dalam dunia seni.
"Jika diikutkan hati, saya masih berkabung dengan pemergian Mak (Yasmin Ahmad). Kerana dialah saya terjun ke dunia lakonan. Saya belajar daripadanya. Maka apabila dia sudah tiada, saya berasakan saya tidak lagi perlu berlakon kerana itu bukannya bidang saya yang sebenar.
"Namun, apabila bertemu dengan Datin Orkid (adik Yasmin) tadi, dia berkata, jika arwah masih hidup sekalipun, tentu dia berasakan tiada calon lain lagi yang layak. Jadi, jika ada tawaran yang bersesuaian, mungkin saya akan terus berlakon demi menyambung hasratnya. Trofi ini penghargaan cukup besar bagi saya. Jauh di sudut hati, saya tidak berasakan saya bersedia untuk diangkat setinggi ini."
Artikel Terkini