ARAH dan air mata mengiringi perjuangan peneroka awal Felda untuk memperoleh kehidupan lebih selesa di hutan belantara yang dihuni hidupan liar seperti harimau dan gajah. Tanpa jiwa kental, pasti mudah mengalah.
Jika tidak kerana pengorbanan mereka terdahulu generasi Felda hari ini tidak akan mengecapi kesenangan hidup seperti sekarang.
Justeru, sempena ulang tahun Felda ke-50 tahun ini, segala jerih perih peneroka paling awal itu dipaparkan kepada masyarakat menerusi filem Bilut. Filem arahan terbaru Bade itu diilhamkan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor.
Terlalu mahal harga yang perlu dibayar oleh generasi awal Felda. Mereka bergelut dengan perasaan sendiri, bersaing dengan alam dan pergolakan antara peneroka. Rabu lalu diadakan pratonton Bilut di GSC, Midvalley.
Rosyam Nor selaku teraju utama filem itu, mewakili pengarah Bilut juga rakan baiknya, Bade, berkata sukar sekali untuk merealisasikan impian Dr Yusof yang mahu menggambarkan suasana Felda sebenar.
Menurutnya, tapak penerokaan awal Felda Bilut itu dibuat di kawasan hutan yang kemudian diterangkan menjadi tapak asal Felda Bilut. Turut didirikan rumah peneroka dan pejabat Felda.
"Paling getir ialah adegan banjir yang mengambil masa seminggu untuk memenuhi kawasan itu yang ditambak sekeliling.
"Ketelitian Bade membuat filem itu dengan pembabitan ramai pelakon termasuk 300 peneroka sebenar, Bilut akan menjadi sejarah. Ini kerana konsep yang diperkenalkan Felda menjadi ikutan negara Asean dan di seluruh dunia.
"Sekalipun saya hanya melakonkan watak peneroka, namun dari situ saya faham keperitan yang mereka lalui. Bilut seharusnya ditonton generasi baru kita, apatah lagi anak-anak Felda," katanya.
Bilut adalah filem sulung terbitan Mega Waja Sinar Sdn Bhd yang ditaja sepenuhnya oleh Felda. Filem itu menelan belanja RM3.6 juta, menjalani penggambaran di sekitar Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, Felda Serting, Bahau dan beberapa lokasi terkemuka seperti di Tasik Cruise Putrajaya serta Brussels, Belgium.
Keseluruhan penggambaran selama dua bulan. Bilut akan ditayangkan pada 24 Oktober ini serentak perayaan Aidilfitri.
Selain Rosyam selaku Yazid, Bilut dibintangi Siti Shahrizah (Aishah), Que Haidar (Yusof), Rusdi Ramli (Hassan), Ezlynn (Asman), Adlin Aman Ramlie (Tuan Kassim), Khir Rahman (Wan Mat), Khatijah Abu Hassan (Aspah), Aqasha (Hamzah), Celina (Mazuin), Sharifah Shahora (Som) dan Amran Tompel (Mat Ya) dan Jericho Rosales (Gabriel).
Tidak lengkap kemunculan Bilut di pawagam tanpa album runut bunyi. Untuk itu, EMI Music Malaysia dengan kerjasama Mega Waja Sinar mengeluarkan album runut bunyi, Bilut - OSK.
Semalam Hari Iniku menjadi lagu tema Bilut nyanyian Asmawi Ani (Mawi). Lagu sama juga dinyanyikan Ezlynn dalam versi pop dengan gayanya yang tersendiri.
Serba ringkas, Bilut mengisahkan Yazid, antara peneroka awal Felda Bilut terpaksa berusaha keras untuk membangunkan kawasan itu bersama peneroka lain. Dalam kehidupan yang sukar itu dia kehilangan anak bongsu akibat dibaham harimau dan isterinya, Aishah meninggal dunia kerana keguguran.
Dalam serba kepayahan itu, anak sulungnya, Yusof berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan pentadbiran di Brussels, Jerman. Yusof adalah lambang kejayaan dan kebanggaan peneroka Felda. Selepas pulang ke tanah air, Yusof bekerja sebagai eksekutif kanan Felda.
Pada 2006, pembuat filem dokumentari dari Australia, Gabriel yang juga bekas rakan universiti Yusof tiba di Malaysia. Dia ke negara ini dalam usahanya mengumpul maklumat sambil melihat dan mengalami sendiri perkembangan serta kemajuan dilakukan Felda sejak penubuhannya 50 tahun lalu.
Di Kuala Lumpur, Gabriel bertemu Yusof dan minta izin sahabatnya itu untuk merakamkan sejarah hidup keluarga Yazid dan Felda Bilut.