![]() |
RAZAK memberikan arahan terakhir sebelum penggambaran babak kembar siam ditolak masuk ke bilik bedah dilakukan. |
BERMULA dengan filem Gemerlapan pada 1997, Prof A Razak Mohaideen terus mengatur langkah panjang dalam industri perfileman negara apabila satu demi satu filemnya menggamit perhatian peminat. Sehingga kini, hampir 30 filem sudah pun diarahkan Razak, dengan majoriti filemnya mendapat sambutan cukup hangat.
Pada 28 Januari ini, sebuah lagi filem arahannya, 2 Hati 1 Jiwa, akan memasuki pawagam. Dihasilkan untuk Primeworks Studios Sdn Bhd (Grand Brilliance), filem terbabit dibintangi nama baru dan lama seperti Fouziah Gous, Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Siti Hajar Ismail, Ros Ramona Qadira, Irma Hasmie, Ziela Jalil dan Mustapha Kamal.
Kali ini, Razak cuba membawa kelainan menerusi penghasilannya, dengan mengetengahkan kisah sepasang kembar siam. Ia dihasilkan dengan berilhamkan kisah benar pasangan kembar siam Iran yang pernah menggegarkan dunia, Ladan dan Laleh. Pasangan itu menemui ajal akibat kesanggupan menanggung risiko menjalani pembedahan untuk memisahkan mereka berdua. Bukan untuk menangisi kembali pemergian saudara kembar siam terbabit, tetapi garapan Razak kali ini adalah untuk mengajak penonton mengenali kehidupan sepasang kembar siam, memahami kesenangan dan kepayahan mereka untuk terus hidup di samping memupuk sikap prihatin rakyat Malaysia terhadap golongan kurang bernasib baik seperti mereka.
Filem yang bercorak kekeluargaan ini diselitkan dengan unsur komedi agar pembawaan jalan ceritanya seiring dengan mesej yang ingin disampaikan. Filem 2 Hati 1 Jiwa mengisahkan kehidupan sepasang kembar siam yang hidup bercantum selama hampir 21 tahun. Kembar berkenaan membuat keputusan untuk berpisah kerana kedua-duanya berasakan kehidupan mereka sudah berubah sejak memasuki universiti. Lana yang dilakonkan Fauziah Gous mengambil jurusan muzik, manakala kembarnya Lina, lakonan Yasmi Hani pula mengambil jurusan komunikasi.
Lana dan Lina berjumpa dengan pakar bedah (Fahrin Ahmad) untuk memisahkan mereka walaupun tidak dipersetujui oleh kedua ibu bapa mereka (Ziela Jalil dan Mustapha Kamal). Bukan sekadar berdepan konflik keinginan mereka ditentang orang tua, keadaan bertambah keruh apabila kedua-dua kembar berkenaan meminati pakar bedah yang sama. Bagi Razak, pendedahan terhadap pasangan kembar jarang sekali dimuatkan dalam filem. Justeru dia menggunakan kesempatan ini untuk mengetengahkan isu kehidupan pasangan kembar siam sebagai paparan yang dikira berlainan dan cukup menarik buat penggemar filem tanah air.
Razak sendiri sentiasa mahukan kelainan untuk setiap filem garapannya. Sebuah lagi filem kerjasama antara Primeworks Studios dengan Lineclear Motion Pictures arahan Razak pada tahun lalu, Sifu dan Tongga, yang ditayangkan pada 29 Januari mencapai kutipan RM2.7 juta dan turut mencatat rating tertinggi apabila ditayangkan di TV3 pada musim perayaan baru-baru ini. Selain itu filem terbabit dicalonkan pada Festival Filem Malaysia ke-22 bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki, Pereka Kostum/Busana dan Filem Komedi Terbaik.
Begitu juga dengan dua filem seram arahannya iaitu Rasukan Ablasa dan Skrip 7707 yang tidak kurang menyengat sewaktu ditayangkan. Rasukan Ablasa ditayangkan pada 26 Februari 2009 dan Skrip 7707 pula pada 16 Julai tahun yang sama. Filem Rasukan Ablasa turut dicalonkan dalam FFM22 di Sabah bagi kategori Poster Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik. Antara tarikan lain dalam filemnya kali ini ialah solekan khas yang menelan belanja RM150,000. Jurusolek profesional yang bertanggungjawab ke atas penciptaan ‘kembar siam’ itu diterbangkan dari Bangkok, Thailand dan pernah mencipta keajaiban menerusi filem Duyung, sebuah lagi karya Razak yang berjaya di pasaran.
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Fouziah Ghous
Yasmin Hani
Fahrin Ahmad
Irma Hasmie
Ziela Jalil
Mustapha Kamal
Rasukan Ablasa
Skrip 7707
Sifu & Tongga
Gemerlapan
2 Hati 1 Jiwa
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd.
Artikel Terkini