Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

10 Oktober 2008 : Berita Harian

Punggok Terima Undangan Antarabangsa

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Karya arahan Azharr Rudin buka mata penganjur festival luar negara

PUNGGOK Rindukan Bulan mungkin filem kecil. Namun, ia besar pada mata penganjur festival filem antarabangsa apabila karya arahan Azharr Rudin itu dijemput menyertai Festival Filem Antarabangsa Vancouver, pada 25 September hingga 10 Oktober dan Festival Filem Antarabangsa Pusan (PIFF), pada 2 hingga 10 Oktober. Ketika ini, ada beberapa lagi jemputan menyertai festival serupa diterima filem ini.

Di Malaysia, filem terbitan Da Huang Pictures itu ditayangkan di empat skrin digital Golden Screen Cinemas menerusi siri tayangan filem antarabangsanya. Filem yang dibintangi Saeful Nazhif Satria, Sharonizam Noor dan Maya Karin itu mula ditayangkan pada 25 September lalu.

Penerbitnya, Amir Muhammad berkata, sudah tentulah filem Punggok Rindukan Bulan tidak mendapat kutipan besar berbanding dua filem lain yang ditayangkan pada musim Aidilfitri ini. Biarpun tidak dapat memberikan jumlah pungutan filem itu sehingga kini, namun dia berkata, ia tidak jauh bezanya dengan kutipan filem digital lain yang pernah ditayangkan di negara ini. Selalunya, filem digital yang ditayangkan di tiga atau empat panggung mampu memungut antara RM5,000 hingga RM12,000.

Namun dia bersyukur filem itu membuka mata penganjur festival luar negara, yang berminat mempamerkan filem berkenaan kepada masyarakat setempat. Dihubungi ketika mewakili filem terbabit di Pusan, Amir memberitahu, sambutan terhadap filem Punggok Rindukan Bulan amat membanggakan apabila dewan tayangannya hampir penuh ketika filem itu diputarkan.

Sementara itu, Penerbit Eksekutifnya, Tan Chui Mui berkata, seandainya kutipan baik dicatatkan filem itu, ia lebih berupa bonus kepada krew produksi dan syarikat itu sendiri. Ini kerana tujuan sebenar filem itu dihasilkan bukan untuk mengaut laba yang besar, sebaliknya menghargai bakat dan hasil ilham pengkarya muda, Azharr.

"Kami bersetuju menghasilkan Punggok kerana terpikat dengan hasil tangan Azharr sebelum ini, menerusi koleksi filem pendek The Amber Sexalogy. Apabila kami membaca skrip yang dipersembahkan, nyata ia punya cerita yang menyentuh hati," kata Chui Mui mengenai filem yang dirakam berlatarkan kota Johor Bahru itu.

Menurutnya, filem Punggok Rindukan Bukan juga bukannya diterbitkan semata-mata untuk mengintai peluang menyertai mana-mana festival antarabangsa. Secara kebetulan, apabila pencari filem untuk festival membuat tinjauan, mereka lebih gemarkan karya yang ada kelainan. Kelainan pula biasanya diperoleh menerusi judul bebas seperti yang diterbitkan Chui Mui dan beberapa rakan lain.

"Filem digital atau filem bebas kebanyakannya mempunyai jalan cerita lebih istimewa. Sebahagiannya dilihat sebagai filem seni. Namun, tidak semestinya filem bebas hanya dalam bentuk digital. Sebenarnya, teknologi ini berkembang sejak lebih dua dekad yang lalu. Dulu, banyak filem sedemikian dihasilkan dalam bentuk 35 milimeter.

"Tetapi kini, teknologi digital sudah berkembang. Sekarang, lebih ramai orang mampu menggunakan teknologi perfileman ini. Justeru, lebih banyak filem bebas dihasilkan menggunakan teknologi terbabit. Ia memudahkan kerja pembikinan sesebuah filem apabila pengarah boleh merakam dan menyuntingnya sendiri," katanya.

Chui Mui melihat filem digital hari ini lebih berupa hasil visual berbentuk peribadi sebagaimana yang diinginkan oleh pengarah itu sendiri. Katanya, gaya pemikiran Azharr dan Amir dapat dilihat menerusi filem yang mereka hasilkan. Teknologi hari ini membolehkan pengarah muda berkenaan menyalurkan idea mereka dengan lebih jelas.

Menyentuh sambutan yang agak kurang memberangsang diterima filem sedemikian, Chui Mui berkata, filem seperti Punggok Rindukan Bulan mungkin masih kurang diterima dengan meluas di negara ini. Begitupun, di negara lain, penerimaannya lebih ketara.
"Di negara kita, sokongan dari segi teknikal belum mencapai tahap yang membanggakan apabila berbicara mengenai dunia perfileman bebas," katanya.
Profil Berkaitan

 Punggok Rindukan Bulan    Azharr Rudin    Amir Muhammad    Tan Chui Mui  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD