BIARPUN berdepan tiga filem hebat dari Hollywood, The Twilight Saga New Moon, Ninja Assasin dan 2012, KRU Studios tetap berpuas hati dengan kutipan filem kelima keluaran syarikatnya, My Spy yang menjengah panggung 3 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim ketika dihubungi berkata, dalam tempoh lima hari tayangan, nilai kutipan filem arahan Afdlin Shauki itu hampir mencecah RM1 juta. Selain saingan filem Hollywood, My Spy yang ditunjangi AC Mizal dan Harun Salim Bachik juga berdepan dua filem tempatan yang menjenguk panggung pada 19 November lalu iaitu Senario The Movie Episod 2: Beach Boys dan filem terbitan De Baron Sdn Bhd, Jalang pada 26 November. Norman berkata, KRU Studios tidak meletakkan sasaran tinggi sebaliknya mensasarkan nilai kutipan antara RM2 juta hingga RM3 juta untuk filem terbarunya itu. Namun sekiranya My Spy berjaya mengutip RM3 juta, ia adalah satu pencapaian terbaik memandangkan My Spy berdepan persaingan sengit pada musim cuti sekolah.
“Sasaran kami untuk filem ini RM2 juta tetapi kalau My Spy berjaya mengutip RM3 juta, ia adalah satu angka terbaik yang dicapai pada penggal terakhir. Saya membuat kajian sejak 2007, kutipan filem lazimnya tinggi pada penggal pertama setiap tahun. Pada 2007, Jangan Pandang Belakang mencatat kutipan yang tinggi diikuti Duyung pada 2008 dan filem animasi Geng Pengembaraan Bermula sudah pun mendominasi pada awal tahun ini. “Oleh itu, kutipan filem tempatan yang menjengah pawagam pada penghujung tahun lazimnya tidak dapat mengatasi kutipan pada penggal pertama. Dengan saingan filem Melayu yang masuk panggung setiap minggu menyebabkan kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi bukan kerana kami memandang rendah kepada kemampuan filem terbitan sendiri,” katanya yang berpuas hati dengan kolaborasi AC Mizal dan Harun Salim Bachik.
Kata Norman, walaupun nama AC Mizal dan Harun dalam arena komedi tidak segah Senario, namun mereka mempunyai tarikan tersendiri, malah banyak maklum balas positif diterima daripada mereka yang sudah pun menonton filem berkenaan yang nyata terhibur dengan lawak bersahaja dua pelakon berkenaan serta kemunculan pelakon Adlin Aman Ramlie dalam filem itu. Biarpun pada mulanya ada yang skeptikal dengan gabungan AC dan Harun, Norman berpendapat, KRU perlu memberi peluang kepada mereka untuk memegang watak utama bagi mewujudkan kelainan kepada filem My Spy.
“My Spy bukan filem Afdlin Shauki semata-mata. Lawak yang ditonjolkan dalam filem ini turut digabungkan dengan idea KRU Studio. Kami memang sentiasa mencari kelainan dalam setiap filem yang dihasilkan, malah kami juga mengambil langkah berani apabila menampilkan AC dan Harun yang sebelum ini tidak pernah diberi peluang memegang watak utama. Jika inginkan keuntungan mudah, kami boleh mengambil pelakon komedi yang terkenal untuk menarik orang ke pawagam tetapi KRU bukan begitu kerana kami mahu memberi peluang kepada pelakon lain.
“Sekiranya KRU tidak memberi peluang kepada mereka untuk mempertaruhkan bakat yang dimiliki, kita tidak akan tahu sejauh mana kemampuan mereka sebagai seorang pelakon komedi. Disebabkan itu KRU bagi peluang di samping untuk mencari satu kelainan,” katanya lagi. Filem aksi komedi yang turut dibintangi Ridzuan Hashim, Daphne Iking, Carmen Soo, Hannah Tan dan Maria Farida ini mengisahkan dua penyiasat persendirian iaitu AJ dan Salleh yang membenci satu sama lain tetapi terpaksa bergabung tenaga untuk menyelesaikan kes terbesar mereka berhubung seorang Datuk.
Norman KRU
AC Mizal
Harun Salim Bachik
Afdlin Shauki
Ridzuan Hashim
Daphne Iking
Carmen Soo
Hannah Tan
Maria Farida
KRU Studios Sdn. Bhd.
My Spy
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys
Jangan Pandang Belakang Congkak
Geng: Pengembaraan Bermula
Duyung
KRU Studios Sdn. Bhd.
De Baron
Artikel Terkini