Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

06 April 2008 : Utusan Malaysia

Proses Mencari Kesempurnaan

Bersama:KU SEMAN KU HUSSAIN

Saya selalu percaya bahawa orang menonton filem bukanlah untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Filem juga bukan untuk mendidik. Tetapi filem menghamparkan suatu untuk menjadi renungan, kemudian menghayatinya. Bagaimanapun kita tidak semestinya bersetuju dengan filem itu. Menonton filem lebih kepada riadah minda yang mampu memberikan satu dimensi berbeza terhadap suatu perkara yang sama.

Kerana itu jugalah saya mengambil masa agak lama untuk menyusuri filem Akhirat arahan Syed Mohamad Syed Hassan. Judulnya mengundangkan persepsi, seolah-olah filem ini berbaur agama. Tetapi memang benar, apalah yang ada pada judul kerana yang pentingnya isi.

Saya tidak terpengaruh dengan mana-mana tulisan mengenai sesebuah filem sebelum menontonnya. Sama juga saya tidak terpengaruh banyak tulisan tentang Akhirat sebelum ini. Maka saya juga percaya orang lain juga tidak terpengaruh atau bersetuju dengan saya selepas membaca tulisan ini. Sesiapa saja boleh mempunyai pandangan berbeza disokong dengan kewajarannya.

Banyak yang mempersoalkan kewajaran beberapa adegan yang berbaur seks murahan, tetapi saya tidak melihat di sudut yang sama. Soal “adegan berbaur seks” diketepikan dulu, yang cuba ditinjau adalah sejauh manakah subjek diolah menjadi karya yang mantap?

Salah satu cabaran membuat filem adalah untuk mengolah sesuatu subjek untuk menjadi teras kepada sesebuah filem. Dalam hidup ini kita melihat, mengalami atau mendengar seribu satu cerita. Semua cerita itu ada potensi untuk dijadikan teras dalam sesebuah filem. Tetapi kita tidak boleh berpuas hati apabila mendapat subjek yang baik. Ini kerana sudah banyak terbukti subjek yang baik bukan tiket untuk menjadi filem yang baik.

Subjek tentang mangsa HIV adalah salah satu yang banyak kita lihat atau dengar. Malah sudah banyak kali didramakan di televisyen dan sudah banyak air mata yang tumpah dek kerana melodrama begini.

Akhirat memilih subjek tentang HIV. Bagus, sekurang-kurang itu satu tanggungjawab sosial pengarahnya Syed Mohamad dan penulis lakon layar oleh Ikhzal Azfarel. Tetapi Akhirat perlulah membawa subjek HIV menjadi lebih baru dan segar. Akhirat sepatutnya keluar dari polarisasi cerita klise.

Watak malang HIV atau AIDS selalu diletakkan kepada wanita, ini memang berpotensi untuk dieksploitasi bagi meraih simpati penonton, sekali gus menjadi melodrama yang membuai perasaan. Akhirat mengulangi ini tetapi agak malang apabila melo- drama ini tidak dibentuk dengan bersungguh-sungguh.

Subjek HIV memang ada potensi untuk meraih perhatian cuma Akhirat berdepan dengan keupayaan menyuntik kelainan dan kesegaran kepada subjek yang sudah banyak kali sampai kepada penonton. Bagaimana cerita tentang mangsa AIDS atau HIV itu di-bangunkan itulah yang menjadi persoalannya. Adakah ia memberikan laluan baru kepada penonton atau mengulangi laluan lama yang sudah banyak dibuat sebelum ini?

Ceritanya tentang Amira (lakonan Vanidah Imran) yang dijangkiti HIV selepas diperkosa oleh penagih dadah yang membawa HIV. Ini menjadikan rumah tangga Amira dengan Amran (lakonan Tony Eusoff) bergoncang akibat prasangka buruk. Kemudian muncul pula Noni (lakonan Nabila Huda) yang mempunyai hubungan cinta dengan Ari (Adi Putra) seorang anggota sindiket curi kereta mewah dan pengedar dadah. Kenapa harus wujud Ari dan wataknya seorang pencuri kereta mewah? Watak Ari langsung tidak membantu Akhirat yang bercakap tentang trauma mangsa HIV. Kemunculan pelakon Jalaluddin Hassan sebagai ketua sindiket berimej korporat sangat kabur. Apa sumbangan watak ini? Ah! Kasihan Jalaluddin kerana beliau tidak boleh menyumbangkan apa-apa kecuali gangster yang klise.

Akhirat akan menjadi lebih mantap sekiranya memberi tumpuan kepada Mira dan Amra. Ini dua watak yang menjadi kunci kepada Akhirat. Watak-watak ini seharusnya tidak diabaikan. Akhirat tidak perlu membawa penonton mengekori Noni, Ari dan gangster “fotostat” seperti banyak filem kita sebelum ini. Akhirat juga agak terganggu dengan muzik latar yang sesetengahnya tidak ada kesesuaian dengan situasi dan adegan. Kita kena faham bahawa muzik mesti menjadi sebahagian daripada karakter sesebuah filem. Muzik bukan saja berbunyi, senyap juga sebahagian daripada muzik.

Ada orang bertanya, mestikah filem mempunyai dialog? Sebenarnya bukan keperluan kalau pada bahagian tertentu bahasa filem menyampaikan maksud kepada penonton. Maknanya dialog yang hadir dalam sesebuah filem bukanlah “kata-kata biasa” walaupun seolah-olah percakapan harian. Dialog mesti mantap dan bukan sekadar memberi peluang pelakon untuk bercakap. Dialog mesti membawa suara dari dalam sukma.

Tetapi nampaknya dialog dalam Akhirat terlalu “mewah” dan dihamburkan tidak kira masa tanpa mengambil kira kesesuaian. Kerana itu dalam beberapa adegan, penuturan dialog menjadi sedikit kelakar walaupun situasinya serius.

Kalau lakonan kelihatan janggal kerana dialog begini, itu bukan kelemahan pelakon. Pelakon yang baik tidak akan mengubah dialog sesuka hati. Pelakon-pelakon dalam Akhirat mengikut dialog yang ditulis dan mereka menjadi mangsa di mata penonton.

Sesebuah novel berhubung dengan khalayaknya dengan kekuatan teks. Ini termasuklah kekuatan bahasa, istilah dan keupayaan menyusuri jiwa dengan lenggok dan rentak tulisannya. Tetapi berbeza dengan filem yang berhubung khalayak dengan kekuatan sinematografi. Dalam sinematografi ini terangkumlah kerja kamera, suntingan dan pengcahayaan.

Kerana itu saya selalu percaya bahawa filem yang baik akan sampai kepada penonton sekalipun tanpa adanya pertuturan antara watak-watak. Dalam kata lain, untuk menghayati filem, dialog bukanlah faktor utama yang menghubungkan medium itu dengan penonton. Filem harus menjulang bahasa filem. Tentunya sinematografi yang baik boleh memberi tempat kepada bahasa filem.

Saya percaya Syed Mohamad boleh melakukannya. Akhirat ibarat langkah pertama yang tentunya mencari kesempurnaan pada langkah seterusnya. Akhirat bukan cacat atau gagal, cuma filem ini dalam proses mencari kesempurnaan.

 

Profil Berkaitan

 Akhirat    Syed Mohamed  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD