INDUSTRI perfileman Malaysia menunjukkan perkembangan lebih baik dari tahun ke tahun. Pada ketika industri muzik seakan-akan berdepan suasana suram, pembikin filem pula semakin laju menghasilkan judul demi judul untuk ditayangkan di pawagam.
Seandainya sedekad yang lalu, penonton hanya menonton enam judul filem Melayu setahun, kini jumlahnya bertambah hampir lima kali ganda. Pada 2009 saja, 26 filem tempatan menemui penonton, bermula dengan Histeria pada 15 Januari, diakhiri dengan Duhai Si Pari-Pari pada 31 Disember. Lebih membanggakan, penonton mempunyai pilihan untuk menonton genre kesukaan mereka berikutan penghasilan filem di tanah air bukan lagi berpaksi kepada komedi semata-mata.
Kini, selain daripada filem seram yang kian mendapat perhatian peminat selepas kelonggaran mula diberikan kepada penerbitan filem berkenaan sejak tujuh atau lapan tahun lalu, filem animasi juga turut menunjukkan belang. Ia dibuktikan dengan sambutan hangat diterima Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’ Copaque yang memungut kira-kira RM6.2 juta apabila filem itu ditayangkan pada Februari lalu. Ia diputarkan lebih sebulan di pawagam, seterusnya muncul antara filem tempatan paling lama bertahan.
Bukan sekadar jumlah filem yang bertambah, pungutan yang dilakukan filem tempatan tahun ini juga dikira memberangsangkan dengan dua judul berjaya melepasi paras RM6 juta. Selain Geng, filem komedi seram terbitan MIG, Jangan Pandang Belakang Congkak, turut mengaut kira-kira RM6.1 juta apabila ia menjengah panggung wayang pertengahan tahun ini. Manakala Bohsia: Jangan Pilihan Jalan Hitam dari Skop Productions pula membanggakan dengan pungutan melepasi RM4 juta.
Filem Papadom terbitan Tayangan Unggul dan sebuah lagi produk MIG, Jangan tegur, turut melakar kejayaan tersendiri apabila masing-masing memungut lebih RM3 juta. Kira-kira tujuh judul lain memberikan sedikit keuntungan kepada produser apabila mereka berjaya mengaut lebih RM2 juta sewaktu tayangan. Secara kasar, pungutan keseluruhan bagi tahun ini, tidak termasuk beberapa filem terakhir yang ditayangkan selang seminggu sepanjang Disember, berjumlah hampir RM50 juta. Jumlah itu mengatasi catatan RM43.93 juta yang dilakukan pada 2008.
Pada tahun hadapan, dengan jumlah judul hampir sama bakal menemui penonton, pungutan lebih baik dijangka mampu dicapai apabila lebih banyak panggung dibuka. Pembukaan kira-kira enam lagi panggung wayang terutama di kawasan Pantai Timur yang selama ini ketandusan hiburan dalam bentuk filem, pasti menambah jumlah penonton filem.
Penambahan kerusi di pawagam secara tidak langsung membantu pertambahan jumlah penonton yang akan membeli tiket menonton filem kita. Sehingga Oktober lalu, sebanyak 98 pawagam beroperasi di negara ini, yang menyediakan 489 skrin serta 96,700 kerusi buat penggemar filem. Seandainya industri perfileman tidak mencatat laba, pastinya pengusaha panggung juga enggan menambah jumlah pawagam. Masa depan lebih cerah juga diramalkan bagi tahun-tahun berikutnya, yang wajib digunakan sebaik mungkin oleh pembikin filem tempatan, untuk sama-sama bersaing dengan judul antarabangsa.
Untuk mengatasi judul hebat berbajet ratusan juta ringgit seperti 2012, Transformers dan Avatar mungkin masih menjadi mimpi buat kita. Tetapi, dengan hidangan judul lebih baik, dari segi cerita, kerja teknikal dan genrenya, maka tidak mustahil peluang untuk mencuri perhatian penggemar filem masih ada. Jika Geng dan Jangan Pandang Belakang Congkak mampu melakukannya, tiada alasan untuk filem tempatan lain menyerah kalah.
Kerjasama lebih erat perlu diperbanyakkan antara pelabur dengan pembikin filem supaya judul lebih menyerlah dapat dihasilkan. Sesetengah daripada pelabur yang beriya-iya ingin membabitkan diri dalam dunia perfileman, sepatutnya mencari pembikin yang bagus dan bervisi. Dalam sesetengah kes, duit yang dilabur tidak ke mana apabila filem gagal di pasaran dek ketidakupayaan pembikin, yang datang entah dari mana, merealisasikan impian mereka.
Sesetengah pembikin filem pula mempunyai impian menggunung, tetapi tidak mempunyai dana yang cukup. Lalu, projek filem yang dimulakan akhirnya tersadai. Dalam hal ini, pandangan Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah harus diberikan perhatian. Katanya, sebaik-baiknya, seorang produser filem mempunyai modal pusingan yang banyak untuk hidup dalam industri terbabit. Mengharapkan wang pinjaman skim yang disediakan kerajaan bukan satu-satunya cara untuk mencipta kejayaan dalam bidang berkenaan.
Berbalik kepada perkembangan filem kita, paling penting ketika ini, usaha ke arah meningkatkan mutu penghasilan filem tempatan terus dilakukan. Antara syarikat yang giat berusaha ke arah itu ialah KRU Studios yang tidak serik tampil bersama judul di luar kebiasaan. Mungkin mereka berdepan dengan risiko kegagalan apabila tampil bersama sesuatu yang baru. Tetapi, jika mereka tidak mencuba, selama-lamanya penggiat seni itu tidak mengetahui hasilnya.
Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, sendiri melihat masa depan lebih gemilang bakal dikecapi industri perfileman tempatan berdasarkan perkembangan dari segi jumlah, kutipan mahupun panggung yang menayangkan filem berkenaan. Katanya, 2010 mungkin menyaksikan sehingga 30 judul filem tempatan ditayangkan kepada penonton, manakala penambahan jumlah panggung terutama di Pantai Timur akan menyemarakkan lagi sambutan orang ramai terhadap filem keluaran syarikat tempatan.
INFO: Jumlah penerbitan filem tempatan:
Puad Onah
Mohd Mahyidin Mustakim
KRU Studios Sdn. Bhd.
Les' Copaque Production Sdn. Bhd.
MIG Production Sdn. Bhd.
Skop Production Sdn. Bhd.
Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Histeria
Duhai Si Pari-pari
Geng: Pengembaraan Bermula
Jangan Pandang Belakang Congkak
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Papadom
Artikel Terkini