Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

01 Februari 2010 : Berita Harian

Penghormatan Buat Normadiah

SELEPAS melihat kejayaan program Imbauan menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim yang diadakan pada musim 2008/09, sebuah lagi persembahan serupa akan dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur pada 13 dan Februari ini.

Persembahan yang menggunakan konsep membawa semula lagu malar segar dalam bentuk orkestra itu kali ini sedikit berbeza apabila Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) memilih untuk memberikan penghormatan kepada tokoh seni, Normadiah, menerusi acara berkenaan. Imbauan 2 bakal menampilkan himpunan lagu penuh nostalgia nyanyian seniwati terbabit secara solo mahupun bersama suami, seniman Aziz Jaafar, petikan albumnya serta lagu yang dinyanyi seniwati itu di filem sekitar tahun 50-an dan 60-an.

Bagi menyemarakkan lagi acara terbabit, dua anak seniwati dan seniman berkenaan, Azlina serta Liza Aziz diundang untuk mengalunkan lagu penuh kenangan nyanyian orang tua mereka. Tidak ketinggalan diketengahkan pada persembahan itu ialah penyanyi yang memiliki suara mirip Tan Sri P Ramlee, Musly Ramlee. Menurut Penerbit KSPP, Hartini Abdullah, tidak banyak acara kesenian yang memberikan penghormatan kepada seniwati Normadiah diadakan di negara ini. Justeru, KSPP berasakan inilah saat terbaik untuk mereka memperdengarkan kembali lagu nyanyian seniwati yang meninggal dunia pada 8 Ogos 2000 itu kepada peminat, seterusnya membolehkan generasi baru turut mengenali serta menghayati irama klasik yang pernah dilagukan olehnya.

"Menerusi Imbauan 2 nanti, kami bukan hanya akan menampilkan lagu dendangan beliau, sebaliknya kami cuba menonjolkan Normadiah dari perspektif yang jarang dilihat peminat. Tidak ramai yang mengetahui beliau juga seorang pereka tari yang terkenal pada zamannya. "Kami mempunyai perancangan untuk mempersembahkan lagu instrumental nyanyiannya, dengan iringan persembahan tarian. Selain itu, kami juga akan menyediakan sudut pameran yang mempamerkan foto Normadiah serta beberapa aksinya dalam filem," kata Hartini yang berkeyakinan, persembahan itu bakal menarik peminat pelbagai peringkat, sama ada kelompok yang sentiasa mengikuti persembahan KSPP mahupun peminat seniwati itu sendiri.

Ketika yang sama Hartini berasakan, pemilihan Azlina dan Liza bagi menjayakan Imbauan 2 cukup bertepatan dan mereka mampu menarik perhatian peminat untuk sama-sama berkongsi nostalgia di DFP pada dua hari persembahan. Katanya, siapa lagi yang lebih layak menyanyikan lagu seniwati itu selain warisnya sendiri. Sementara itu, konduktor orkestra yang turut bertindak sebagai penggubah lagu, Ahmad Muriz Che Rose memberitahu, daripada 39 lagu yang disenaraikan pada peringkat awal, mereka akhirnya memilih kira-kira 13 lagu terbaik, termasuk lagu duet, yang difikirkan layak mewakili perjuangan seni seniwati terbabit.

"Kami akan menyusun semula lagu berkenaan supaya kedengaran lebih kontemporari. Ketika yang sama, kami tidak akan menghilangkan melodi atau kelunakan asal lagu terbabit. Penonton mungkin tidak akan mendengar susunan sama sebagaimana didengar daripada album atau filem, sebaliknya lagu itu bakal dipersembahkan bersama muzik orkestra dalam bentuk lebih segar lagi," ujarnya. Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Penggodaan, Dewa Dewi, Seri Dewi Malam, Mengapa Riang Ria, Jangan Merajok, Itulah Sayang, Selendang Sayang, Janji Diikat dan Bulan San Juga Angin.

Azlina yang sering mengadakan persembahan adiknya, Liza, mengaku, Imbauan 2 muncul persembahan julung kali kedua-duanya menyanyikan sepenuhnya lagu dendangan ibu mereka. "Pemilihan ibu untuk ditampilkan sebagai tokoh menerusi persembahan ini sudah tentu cukup membanggakan dan mengharukan kami. Ia penghormatan tidak terhingga buat ibu yang sememangnya dilahirkan ke dunia untuk bergelar anak seni. Bukanlah kami meminta penghormatan sebegini untuk ibu, tetapi sudah semestinya lebih baik kita memberikan penghormatan itu sekarang sebelum langsung tidak terlaksana.

"Kami berdua juga amat berbesar hati apabila diundang KSPP untuk menjayakan program Imbauan 2. Sebagai penyanyi, pasti kami turut menyimpan angan-angan mengadakan persembahan di DFP. Lalu, peluang yang diberikan ini tentunya kenangan begitu manis buat kami. Lebih-lebih lagi, kami diberikan pula ruang untuk menyanyikan lagu arwah ibu," kata Azlina. Penyanyi yang kini berusia 48 tahun itu berkata, jika ibunya masih hidup, tentunya dia akan turut berasa bangga apabila sebuah persembahan khas diadakan bagi memberikan penghormatan buat dirinya.

"Ketika hayatnya ada, ibu memang suka menghiburkan peminat walaupun pada saat dia kurang sihat. Walau uzur sekalipun, sebaik saja menaiki pentas, dia seakan lupa keadaan dirinya. Dia memang lahir ke dunia untuk bergelar penghibur. Atas alasan itu juga arwah ibu pernah ke Congo (1960-1963), bersama-sama Hamzah Dolmat, Tan Sri SM Salim dan Hashimah Yon, bagi menghibur dan membangkitkan semangat pejuang dalam Misi Pengaman PBB di sana," kata Azlina. Menyentuh karier seninya pula, Azlina berkata, seandainya persembahannya di DFP nanti membuka lebih banyak peluang untuknya tampil ke depan, pastinya dia akan menerima dengan tangan terbuka.

Dia juga memberitahu betapa tahun 2010 bakal menyaksikan kemunculan lebih kerap dirinya di khalayak ramai berikutan penghasilan projek album yang memuatkan beberapa lagu solo nyanyiannya, serta kemungkinan album duet bersama Liza, 47. "Walaupun peminat mungkin tidak banyak mengetahui perkembangan kami berdua, tetapi kami sebenarnya masih aktif menyanyi dan menerima undangan pelbagai persembahan majlis tertutup di sana-sini," kata Azlina yang banyak berbicara, sekali gus mewakili adiknya.

INFO:

  • Acara: Imbauan 2
  • Tarikh: 13 dan 14 Februari 2010
  • Waktu: 8.30 Malam
  • Tempat: Dewan Filharmonik Petronas KLCC
  • Artis: Kumpulan Seni Persembahan Petronas, Ahmad Muriz Che Rose (konduktor), Azlina Aziz (penyanyi), Liza Aziz (penyanyi), Musly Amir (penyanyi).
  • Harga Tiket: RM60, RM50, RM30, RM15
  • Tempahan Tiket: 03-20517007 (telefon), 03-20517077 (faks), dfp_boxoffice@petronas.com.my (e-mel)
Profil Berkaitan

 Khatijah Ibrahim    Normadiah    Aziz Jaafar    Tan Sri P. Ramlee    Musly Ramlee    Tan Sri Dato SM Salim    Hashimah Yon  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD