![]() |
Cabaran Syurga Cinta: Dilarang bersentuhan tetapi itu tidak menghalang Awal Shaari dan Heliza membina keserasian.
AWALNYA, dia berasa kekok apabila diberikan peranan watak utama sebuah filem romantik yang tidak membenarkan dia menyentuh pasangannya, Heliza. Tetapi, mengenangkan Syurga Cinta ialah filem yang berunsur dakwah dan keagamaan, maka dia terima juga, sebagai cabaran baru dalam karier lakonan.
Awal Ashaari memahami, syarat yang diberikan agar dirinya dan Heliza tidak bersentuhan cukup sesuai dengan tema dan konsep filem itu sendiri. Syurga Cinta antara lain bercerita mengenai seorang pemuda yang tidak mendapat didikan agama secukupnya. Dicabar rakan, akhirnya dia ditemukan dengan seorang guru sekolah yang membawa dirinya ke arah kebaikan.
"Memang pada mulanya saya berasa janggal kerana filem ini memerlukan kami bercinta, tetapi langsung tidak ada adegan pegangan tangan atau bersentuhan. Tetapi, ia memang masuk akal sebab ini filem yang berunsur dakwah," ujar Awal ketika ditemui di lokasi penggambaran filem arahan Ahmad Idham, terbitan Metrowealth Movies Production itu di Petaling Jaya baru-baru ini.
Kata bintang yang kian mencipta nama ini, mungkin imej bertudung yang dikenakan Heliza sendiri membuatkan adegan sebegitu ditiadakan.
"Saya mengerti, dia perlu menjaga imejnya juga. Takkan dengan tudung di kepala, dia perlu melakukan sesuatu yang dirasakan bertentangan dengan prinsip diri dan pegangannya pula. Pada masa yang sama, apa pula kata masyarakat dan peminatnya?" kata Awal yang mengaku, mereka juga tidak akan bersentuh kulit walaupun pada waktu sesi fotografi.
![]() |
| BEGINI: Ahmad Idham memberi arahan untuk babak belajar mengaji. |
Namun, keadaan itu tidak menghalang Awal dan Heliza membina keserasian sebelum mahupun sewaktu penggambaran dilangsungkan.
"Heliza pernah memberitahu saya, dia amat takut dan risau kerana inilah filem pertama lakonannya. Dengan pengalaman di depan kamera yang langsung tiada, dia bimbang akan melakukan kesilapan sewaktu penggambaran.
"Mungkin apa yang dirasakannya ketika ini, sama dengan apa yang saya rasa sewaktu mula-mula berlakon dulu. Musuh Heliza ketika ini hanyalah rasa gementarnya. Apabila dia membuang rasa takut itu, saya percaya dia akan dapat melakukannya dengan baik.
"Kami turut berbual panjang sebelum penggambaran dimulakan. Malah, saya juga mahukan dia datang ke lokasi ketika adegan membabitkan saya dan orang lain dirakam. Dia setuju untuk hadir sama di lokasi kerana ingin belajar. Saya tahu dia boleh berlakon kerana Heliza mempunyai nada pengucapan yang baik. Pengucapan dialognya tidak mendatar," tegas lelaki ini.
![]() |
Menyentuh mengenai watak Irham, pelakon yang juga pengacara popular ini berasakan, peranan itu tidak jauh bezanya dengan beberapa watak yang pernah dipegangnya sebelum ini.
"Saya memang sering diberikan watak pemuda kota yang suka berfoya-foya. Kali ini, saya perlu menjadi lelaki yang mendapat pendidikan Barat dan sering kali berjaya memikat hati perempuan. Dia juga lelaki yang pantang dicabar. Jadi, rakan-rakannya mencabar dia memikat gadis bertudung kerana Irham memang tidak menyukai wanita sedemikian.
"Dalam masa sebulan, dia mengenali hati budi Syuhadah, sehinggalah masing-masing saling menyukai. Namun, apabila tempoh pertaruhan tamat, Irham harus mendedahkan perkara sebenar kepada wanita berkenaan," kata anak muda yang juga membintangi I’m Not Single, Diva dan Apa Kata Hati? ini.
Menurut Awal, menerusi filem itu, wataknya akan melalui beberapa perubahan, secara perlahan-lahan. Penonton akan dapat melihat transformasi diri wataknya daripada seorang pemuda kebaratan, yang sedikit demi sedikit beralih kepada lelaki yang kembali ke pangkal jalan.
Sukar jiwai babak romantik
SEMENTARA itu, Heliza yang memegang watak Syuhadah tidak menafikan dia diserang perasaan takut apabila tiba ke lokasi filem pertamanya itu.
"Ketika menyanyi, saya tidaklah berasa gementar seperti ini, walaupun ada ribuan khalayak di depan saya. Namun, berlakon agak sukar, apatah lagi untuk menjayakan watak seorang gadis yang berlemah lembut. Apatah lagi untuk menjayakan babak romantik, ia memang menyukarkan sekali. Saya pula bukannya ada pengalaman bercinta dan kami sekeluarga bukanlah orang yang romantik," akui Heliza.
Meskipun begitu, tawaran secara mengejut daripada produser David Teo memang diibaratkan pucuk dicita ulam mendatang buat penyanyi kelahiran Akademi Fantasi musim kelima ini.
"Sejak dulu saya memang menyimpan impian untuk mencuba bidang lakonan. Tidak sangka pula, impian itu tercapai dalam masa yang cukup singkat. Kini, saya mesti membuktikan, saya mampu melakukannya," ujar wanita muda ini yang ingin terus mengasah bakat dalam bidang lakonan andainya berpeluang.
Heliza berasa cukup bertuah apabila pengarah dan pelakon lain memberikan kerjasama sepenuhnya sewaktu di lokasi. Dia boleh merujuk kepada mereka seandainya ada sesuatu yang sukar difahami. Dia dan Awal sendiri banyak melakukan latihan, sebelum sesuatu adegan mula dirakam.
Mengenai ‘pantang larang’ yang dikenakan, pemilik lagu Cinta Di Lautan Lalang ini mengaku, antara faktor dia menerima tawaran berlakon Syurga Cinta ialah kerana wataknya tidak memerlukan dia bersentuh dengan Awal, pasangannya dalam filem terbabit.
"Insya-Allah, bagi filem seterusnya juga saya akan mengekalkan prinsip ini. Lagipun, saya tidak berasakan, faktor sentuhan itulah yang akan membuatkan sesebuah filem cinta berjaya. Filem romantik tidak semestinya memerlukan pasangan yang digambarkan bercinta saling berpegangan tangan.
"Di luar sana pun saya percaya, masih banyak pasangan yang berkasih sayang tanpa berpegangan tangan, sebelum berkahwin. Cuma, selama ini kita banyak didedahkan dengan filem yang memaparkan pasangan bersentuhan apabila bercinta. Lalu, pemahaman kita hanya setakat itu saja sedangkan banyak lagi faktor lain yang membuatkan sesebuah filem itu berjaya, bukan kerana sentuhan semata-mata," kata penyanyi yang akan merakamkan single terbaru sedikit masa lagi.
Awal Ashaari
Ahmad Idham
David Teo
Syurga Cinta
I'm Not Single
Diva
Apa Kata Hati
Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd.