HUBUNGAN cinta mereka bukan lagi rahsia. Pelakon Titi Kamal dan Christian Sugiono tidak berselindung di sebalik kisah cinta mereka daripada pengetahuan media dan peminat. Sembilan tahun lalu, Titi hanya model majalah manakala Christian bermain gitar.
Namun, selepas berkenalan dalam satu acara, hubungan mereka menjadi rapat hingga keluar bersama menonton filem Never Been Kissed lakonan Drew Barrymore.
Filem itu menjadi kenangan cinta pertama mereka. Biarpun mereka kini sama-sama berkecimpung dalam bidang lakonan tetapi kisah cinta mereka hanya berlaku di luar lokasi.
Dalam set penggambaran, masing-masing memainkan watak kekasih atau suami isteri orang lain. Lalu, idea untuk menggandingkan mereka berdua dalam drama atau filem sebelum ini tidak menjadi kenyataan hingga filem tempatan Tipu Kanan Tipu Kiri (TKTK) merealisasikan impian itu.
Titi menyatakan watak Wulan dalam filem ini menarik perhatiannya kerana karakter yang dibawa berbeza daripada karakter sebenar. Menjadi Wulan iaitu penyanyi terkenal di Indonesia dan isteri kepada Rudy (lakonan Christian), Titi perlu bersikap lebih agresif dan bermain emosi.
Katanya, Wulan terpaksa berbohong mengenai kehadiran Rudy kerana perjanjian kontrak bersama syarikat rakaman melarangnya untuk berkahwin. Dalam usaha menyembunyikan status sebenar, Wulan dan Rudy kemudian berpindah ke Malaysia.
Keadaan menjadi sebaliknya apabila Rudy menjadi rebutan wanita di pejabatnya yang menyangka lelaki itu masih bujang. Suatu hari, apabila Rudy secara tidak sengaja mengaku kepada bosnya dia sudah berkahwin, dia diminta untuk memperkenalkan isteri dalam satu majlis.
“Watak Wulan memainkan karakter seperti diva popular yang berjaya dari aspek karier dan mempunyai ramai peminat. Ia memberi cabaran kepada saya dan berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini.
“Malah, melakonkan watak ini, saya perlu melontarkan nada suara berbeza selain perlu menari seperti penyanyi antarabangsa Britney Spears dan Christina Aguilera. Walaupun nampak mudah, sebenarnya ia tetap sukar.
“Beraksi dalam filem ini, saya juga perlu menampilkan pakaian pelbagai warna dan gaya rambut yang berbeza hingga solekan pada muka nampak jelas. Tentunya, personaliti Wulan berbeza dengan saya yang lebih selesa tanpa solekan tebal,” katanya.
Secara peribadi Titi yang pertama kali berlakon filem di Malaysia berpendapat pengalaman kerja di sini menyenangkan. Filem itu membuka peluang kepadanya untuk menimba ilmu lakonan daripada pengarah India, Sharad Sharan termasuk bertukar fikiran dengan pelakon tempatan seperti Hans Isaac, Natasha Hudson, Azwan Ali, Sazzy Falak dan Fauzi Nawawi yang turut terbabit.
Katanya, cara kerja kru produksi filem itu begitu profesional hingga mengambil kira segala aspek lakonan dengan terperinci termasuk watak pelakon tambahan. Melihat lakonan filem ini sebagai pengalaman baru, Titi juga gembira apabila kekasihnya berlakon sama.
“Sebelum ini kami pernah ditawarkan untuk berlakon sama dalam drama tetapi menolak kerana watak diberikan kurang sesuai. Sebagai pelakon, kami rasa perlu memilih watak yang sesuai memberi impak positif kepada penonton.
“Lantas, apabila melihat watak dalam filem ini, saya dan Christian tertarik untuk berlakon sama dan saya berpandangan ia adalah peluang terbaik kami mempromosikan diri di Malaysia,” katanya.
Bagi Christian, pembikinan filem ini dilihat mampu mengeratkan dua budaya antara Malaysia dan Indonesia. Melakukan perbincangan antara pengarah dan pelakon, dia berpendapat filem ini mempunyai standard antarabangsa yang dijangka menarik perhatian penonton kelak.
“Jika dirujuk kembali penggambaran filem ini yang dijalankan pertengahan tahun lalu, saya berasa puas hati dengan lakonan saya. Walaupun pada mulanya, saya fikir lakonan saya agak keterlaluan dengan pakaian yang ditukar beberapa kali tetapi sebaik menonton hasilnya, persepsi saya berbeza.
“Filem ini mempunyai kekuatan dari aspek lakonan dan latar belakang muzik yang menghiburkan. Saya percaya ia suatu yang menarik untuk ditonton,” katanya.
Memikirkan soal sambutan, Christian akui gandingannya bersama Titi dianggap tarikan filem ini selain kemunculan pelakon Malaysia serta plot penceritaan yang menampilkan genre komedi. Christian berpendapat kerjasama antara pelakon dua negara dalam filem ini sangat dialu-alukan walaupun menggunakan bahasa Indonesia sebanyak 75 peratus.
Meskipun membawa watak utama, Christian tetap mengambil kesempatan berbincang dengan pelakon Malaysia untuk menjiwai karakter dan adegan dengan lebih berkesan. Katanya, banyak mesej yang ingin disampaikan menerusi filem ini seperti menjaga perhubungan baik antara suami isteri.
“Dalam filem ini, Rudy terpaksa meminjam Sarah (lakonan Natasha) untuk berpura-pura sebagai isteri ketika bertemu bosnya. Akibat sikapnya itu, ia menimbulkan rasa cemburu isteri sebenarnya iaitu Wulan hingga pergaduhan antara mereka tercetus.
“Lalu, mesej yang ingin disampaikan, setiap perhubungan tidak seharusnya mempunyai pembohongan kerana perkara kecil boleh menjadi besar jika kita terus menipu orang lain. Apa pun, saya dan Titi berasa gembira dengan pembabitan kami dalam filem ini.
“Sebenarnya, soal berlakon sama atau tidak, ia terpulang pada cerita dan watak yang ditawarkan kepada kami. Saya berpandangan walaupun kami bekerja dalam bidang sama tetapi tidak semestinya berlakon sama.
“Ada ketika kami juga berpisah untuk berlakon dalam tawaran berbeza. Itu tidak menjadi masalah kepada kami. Sebelum ini kami enggan terima kerana tawaran yang diberikan tidak menarik,” katanya.
Antara drama atau filem, pasangan ini bersependapat memilih filem untuk mendapat kepuasan dalam lakonan. Titi pula berkata, filem membuka peluang lebih banyak untuk dia bekerja dalam tempoh singkat berbanding drama bersiri mengambil masa berbulan-bulan hingga berasa bosan dengan lakonan yang dibawa.
Titi menyatakan pelakon filem dan drama di sana mempunyai standard berbeza, malah ada antara mereka hanya meminati drama saja. Di samping kisah terbaru mereka beraksi dalam filem TKTK, Christian mahupun Titi tidak pula mendedahkan tarikh perkahwinan mereka.
Christian berkata, persiapan barang perkahwinan sudah dibeli sejak beberapa bulan lalu tetapi hanya menjangkakan kemungkinan mereka akan bernikah pada penghujung tahun ini.
Tipu Kanan Tipu Kiri
Sharad Sharan
Hans Isaac
Hans Isaac
Datin Natasha Hudson
Azwan Ali
Sazzy Falak
Fauzi Nawawi
Artikel Terkini