![]() |
HISTERIA... Debaran teraju utama menantikan sambutan penonton. |
Teruja berlakon di bawah arahan James Lee yang dikenali sebagai pengarah angkatan baru
FAHAMAN dan pendekatan berbeza daripada James Lee sebagai pengarah filem angkatan baru yang kini mengorak langkah ke arus perdana menerusi filem Histeria, menyuntik semangat buat seperti Liyana Jasmay, Ainul Aishah, Yana dan Talya yang sama-sama terbabit menghidupkan watak di dalam filem ini.
Debaran kian memuncak buat mereka kala menanti permulaan tayangan filem lakonan mereka itu yang bermula hari ini (18 Disember).
Mampukah filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu yang dikategorikan sebagai filem seram versi Hollywood yang popular di era 80-an seperti Evil Dead dan Friday 13th ini menambat perhatian penggemar filem tempatan?
Ketepikan isu adegan lesbian yang dipaparkan di dalam filem Histeria yang dihasilkan dengan kos RM1.4 juta ini, kerana ramuan pelakon baru dan senior seperti Vanidah Imran, Ady Putra, Adlin Aman Ramli, Liyana Jasmay, Scha dan ramai lagi mampu menjadi daya tarikan tersendiri mengundang penonton ke pawagam.
Agak sukar menggandingkan enam pelakon utama filem ini untuk sesi fotografi, namun kehadiran Liyana, Ainul, Talya dan Yana sedikit sebanyak memberi keceriaan. Ketika fotografi ini berlangsung, Scha masih terikat dengan jadual penggambaran drama Awan Dania manakala dua lagi pelakon sibuk dengan urusan peribadi.
Sementara itu, menurut Liyana, James Lee ialah pengarah yang pengalaman dan mempunyai caranya tersendiri dalam mengarahkan filem. Ini dapat dilihat sendiri apabila pengarah itu tidak membazirkan gulungan filem sepanjang penggambaran Histeria dilakukan.
Katanya, dia pernah melihat Lee di kolej pengajiannya dan tidak menyangka mendapat peluang berlakon dalam filem di bawah arahannya pula.
James Lee juga, tambah Lyana, pernah menjadi antara tenaga pengajar dalam subjek filem dan lakonan di kolej itu.
“Saya bangga dan bertuah dapat bekerja dengannya. Dia pengarah pertama berbangsa Cina yang saya pernah bekerja di bawahnya. Saya suka orang yang ada idea berbeza dari yang lain. Dia menukar hampir 50 peratus olahan skrip secara spontan berdasarkan apa yang dia rasa patut dilakukan pada satu-satu masa.
“Saya sudah berlakon enam filem dan saya nilai kembali satu cara terbaik bagi sesebuah hasil filem atau produksi berkait rapat kepada kerja pasukan. Bukan saja pelakon dan pengarah, sebaliknya orang di belakang tabir juga memainkan peranan yang penting.
“Pelakon tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya perlu tahu soal teknik pencahayaan, kamera dan corak pengarahan pengarah,” katanya yang juga sedang menanti tayangan filem Maut (15 Januari depan), Papadom (Jun 2009), Pisau Cukur dan Duhai Si Pari-Pari.
Keluar daripada imej pelakon komedi
BAGI Ainul Aishah, 23, peluang berlakon di bawah arahan James Lee memberi satu ruang baru bagi dirinya untuk keluar daripada kepompong pengarah Prof A Razak Mohaideen menerusi tiga filem komedi arahannya iaitu Nana Tanjung 1, Nana Tanjung 2 dan Otai.
Katanya, Histeri memberikan kelainan dan peluang bagi pelakon dirinya untuk mempamerkan lakonan yang lebih segar kerana bekerja di bawah pengarah yang berbeza.
Mengakui bekerja dengan James Lee amat menyeronokkan dan hanya bercakap apabila perlu, hakikatnya Ainul mengakui saat sukar untuk menambat rentak perangainya pada peringkat permulaan. Menurut Ainul atau Ain, James Lee yang dikenali pada peringkat awalnya ialah seorang yang sangat pemalu.
“Dia banyak memberi nasihat dan pada mulanya memang dia tidak banyak bercakap. Dia bercakap apabila perlu saja. Tidak suka marah di set penggambaran. Dia tahu apa yang diingininya dan tidak sukar bekerja dengannya kerana daripada arahannya kita tahu apa yang diimpikannya.
“Pada masa sama, Liyana sendiri mengakui amat sukar untuk memahami isi hatinya dan lama kelamaan apabila sudah mula serasi, dia boleh menerima usikan kami,” kata Ainul yang mula berlakon sejak 2006 dan akan muncul dalam drama 13 episod berjudul Keliwon arahan Rashid Sibir.
Menggeletar dengan Histeria
FILEM Histeria menjadi percubaan pertama Talya atau nama sebenarnya Nurul Aqilah Faiqah Md Noor, 19, ke layar perak.
Mula berlakon sejak tiga tahun lalu menerusi drama Misi XX Ray tetapi nama Talya mula mendapat perhatian sejak menjadi antara barisan utama drama keluarga bersiri Bong di TV9. Drama Bong bakal memasuki musim kelima dan penggambaran dijalankan pada Januari depan.
Debaran dan getar rasa paling memuncak bagi Talya apatah lagi Histeria adalah filem pertama lakonannya. Perasaannya kini bercampur baur, tetapi peluang berlakon di bawah arahan James Lee di sisi Liyana Jasmay dan idolanya, Vanidah Imran sangat membanggakan diri gadis kelahiran Brunei ini.
“Takut pun ada, gementar pun juga menanti maklum balas filem ini. Bagaimanapun, saya seronok dapat bimbingan James Lee, biarpun sudah mereka watak kepada setiap pelakon tetapi kami bebas untuk mewarna serta meluaskan watak yang diberi. Dia boleh dibawa berbincang dengan mudah dan sangat ringkas orangnya.
“Peluang berlakon dengan nama yang sudah kukuh membuatkan saya gementar . Namun, Liyana dan kak Vee (Vanidah Imran) sebagai contoh, mereka sangat merendah diri dan membuatkan kita selesa. Mereka tidak wujudkan perbezaan pelakon baru atau lama. Ini membuatkan saya tidak tertekan di set penggambaran,” kata Talya.
Jangan jadikan lesbian isu besar
Yana atau Reanna, 24, mula membabitkan diri di dalam arena seni sejak 2002 dan turut dikenali sebagai pelakon tambahan dan penyanyi lagu runut bunyi filem terbitan Metrowealth.
Filem Histeria menjadi filem pertama yang menampilkannya sebagai penggerak watak penting. Paling mencabar dia memegang watak gadis lesbian bernama Zeta yang menaruh perasaan terhadap Alissa (lakonan Scha).
Berlakon di bawah arahan James Lee juga memberi kelebihan kepada Reanna untuk menimba pengalaman apatah dirinya juga bergelar pengarah. Katanya, cara pengarahannya lebih mudah walaupun pindaan sering dilakukan pada saat akhir mengikut kesesuaian situasi.
“Watak dan lakonan dalam filem ini ternyata amat mencabar. Apabila berlakon dalam filem Histeria, saya menganggap masih baru biarpun sudah agak lama berada di dalam dunia lakonan.
“Harapan saya semoga hal lesbian ini tidak menjadi isu. Penonton boleh membezakan ia hanyalah tuntutan watak yang perlu disesuaikan serta jauh sekali bukan personaliti diri saya yang sebenar.
“Bermula sebagai pengarah indie, James Lee tidak kisah status itu. Dia tidak suka melihat monitor utama sebaliknya seperti pembantu pengarah saja. Saya akui banyak berinteraksi dengannya dan teruja menunggu hasilnya,” katanya.