Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

08 Oktober 2009 : Utusan Malaysia

Pasaran Digital Catat Trend Peningkatan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

NORMAN ABDUL HALIM

SABAN tahun, industri muzik tanah air malah dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya cabaran di era digital. Memasuki ke era berkenaan, kaedah aplikasi 'lapuk' bagaikan tidak dipandang lagi dengan industri kini lebih terarah kepada penyerapan penggunaan teknologi.

Salah satu contoh yang paling ketara untuk melihat perubahan dimensi itu ialah 'perang' pasaran antara jualan album dalam bentuk fizikal iaitu kaset, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) serta cakera padat digital (DVD) dengan pasaran digital.Pasaran digital antara lain mudah diakses melalui telefon bimbit mahupun internet.Bagi Malaysia, jualan album atau lagu dalam bentuk digital pada ketika ini memainkan peranan penting untuk industri muzik.

Ia juga sudah mula berupaya menyumbang kepada pendapatan yang lebih lumayan terutama untuk aplikasi muat turun lagu-lagu hangat.Menurut Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim, sekitar 2004, penjualan album berbentuk fizikal mencecah angka RM111 juta namun ia menyaksikan penurunan kepada RM56 juta pada tahun lalu.Jumlah itu, jelasnya, dianggarkan akan menurun lagi pada tahun ini dan tahun depan dengan masing-masing sekadar memungut antara RM50 juta ke RM45 juta sahaja.''Trend penurunan tersebut bagaimanapun memperlihatkan trend sebaliknya kepada penjualan muzik dalam bentuk digital.

''Daripada hanya RM5 juta yang dicatatkan pada 2005, ia semakin meningkat setiap tahun kepada RM15.5 juta (2006), RM16.2 juta (2007) dan RM20 juta pada tahun lalu.''Pada tahun ini, kita menganggarkan jumlah tersebut akan mencatatkan peningkatan sebanyak RM30 juta dan 2010 (RM40 juta),'' katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri RIM di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.Rumah terbuka itu turut diserikan dengan persembahan artis antaranya Nubhan, Nikki, Aizat, Adam, Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Dafi, Marsha dan Alif Satar.Ujar Norman, pengurangan jumlah penjualan album berbentuk fizikal merupakan sesuatu yang tidak perlu dirisaukan kerana peranannya kini diambil alih secara digital.

''Cara pembelian sudah berubah. Kalau dahulu zaman piring hitam, ia berubah kepada kaset, katrij dan seterusnya CD, VCD dan DVD.''Memasuki era digital, aplikasi digital mula mengambil alih segalanya. Muat turun digital merujuk kepada jualan lagu melalui Internet dan rangkaian telekomunikasi dalam bentuk lagu penuh serta nada dering telefon,'' jelasnya.Kata Norman, memperlihatkan perkembangan positif penjualan album atau lagu secara digital manakala penjualan dalam bentuk fizikal mula menguncup, RIM pada 1 Julai lalu mula menyemak semula sistem pengesahan jualan muzik.

Sistem tersebut membabitkan 'pengurniaan' Anugerah Emas dan Anugerah Platinum yang kebiasaannya diberikan kepada artis yang mencatat jumlah album pada tahap tertentu.''Sebelum ini, banyak album mencapai Anugerah Emas dan Anugerah Platinum. Sebagai contoh, pada 1996, untuk sesebuah album itu mendapat Anugerah Platinum ia mesti mencapai jumlah jualan melebih 50,000 unit.''Tetapi pembeli sekarang ini lebih terarah kepada digital.''Untuk itu, pada 1 Julai lepas, RIM menyemak semula sistem pengesahan jualan muzik dengan menurunkan kadar jumlah jualan,'' katanya.

Berdasarkan kepada semakan semula itu, untuk jualan muzik secara fizikal, pemberian Anugerah Emas diubah daripada 10,000 unit jualan album kepada 7,500 unit manakala Anugerah Platinum (daripada 20,000 unit kepada 15,000 unit).Dua kategori baru juga diperkenalkan iaitu untuk jualan bergabung muzik digital dan fizikal serta jualan muzik digital.Bagi jualan bergabung, Anugerah Emas diberikan seandainya jumlah jualan mencapai 15,000 unit serta Anugerah Platinum (30,000 unit).Untuk jualan muzik secara digital pula, Anugerah Emas perlu mencapai 75,000 muat turun dan Anugerah Platinum (150,000 muat turun).

Ditanya mengenai pemberian Anugerah Emas dan Anugerah Platinum untuk jualan muzik secara fizikal selepas diubah sistem pengesahannya, Norman berkata : ''Setakat ini kita sudah ada lapan orang artis yang bakal menerima anugerah berkenaan tetapi ia masih belum diaudit secara sah.''Norman berkata, untuk membangunkan lagi industri muzik tanah air, RIM tidak lupa menggiatkan kesedaran di kalangan orang ramai agar menghormati, menghayati dan mencintai karya muzik menerusi kempen Saya Cinta Muzik.Kempen itu bertujuan untuk menyemai sikap bangga orang ramai khususnya remaja terhadap wacana industri muzik tempatan.

''Salah satu perkara yang mengancam industri adalah isu cetak rompak.''Di era digital ini, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) juga perlu bertanggungjawab kepada senario cetak rompak dalam bentuk digital.''Perkara ini telah dicadangkan kepada kementerian berwajib kerana ia juga menyamai tindakan pemilik-pemilik perniagaan yang membenarkan penjualan karya secara cetak rompak,'' tambahnya.

Profil Berkaitan

 Norman KRU    Dafi    Marsha Milan Londoh    Adam (AF2)    Jaclyn Victor  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD