![]() |
| Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay dalam Papadom |
SELEPAS Baik Punya Cilok, Buli Balik dan Sumo-lah, Afdlin Shauki sekali lagi mengarahkan filem terbarunya dalam genre drama dan komedi tetapi kali ini mengisahkan seorang pengusaha restoran nasi kandar berjudul Papadom.
Walaupun digarap dalam bentuk komedi, ceritanya banyak memaparkan hubungan kekeluargaan, mengisahkan suami yang tidak mempunyai masa bersama isteri, dan seorang bapa yang kurang mengambil tahu mengenai pelajaran anaknya.
Apabila sesuatu berlaku ke atas keluarganya, lelaki itu yang sebelum ini dikenali sebagai seorang bekerja kuat mengubah gaya hidupnya menjadi prihatin kepada anak tunggalnya.
Katanya, dalam Papadom itu ia menonjolkan seorang lelaki yang bekerja kuat atas alasan untuk menjadikan kehidupan keluarganya semakin baik tetapi dengan tidak disedari dia juga sudah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Sebagai lelaki dan suami, tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah adalah berbeza. Di rumah, isteri dan anak memerlukan perhatian kita. Walaupun bekerja kuat itu baik, tetapi kalau urusan keluarga tidak diberi perhatian, ia tidak memberi apa-apa makna.
"Cerita dalam filem Papadom sebahagiannya berdasarkan daripada pengalaman saya. Kesibukan menyebabkan saya terasa seperti mengabaikan masa untuk bersama dengan isteri dan anak-anak.
"Judul Papadom pula timbul kerana idea menghasilkan filem ini berlaku ketika saya sedang berada di restoran nasi kandar. Dari situ, ada sesuatu yang menarik untuk dijadikan filem," katanya.
Ketika dihubungi oleh Hip, Adflin baru selesai membuat penggambaran filem itu yang dilakukan di Pulau Pinang. Lokasi lain untuk penggambaran filem terbitan Tayangan Unggul itu ialah di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.
Katanya, walaupun ceritanya berlatar belakang restoran nasi kandar di Pulau Pinang, keseluruhan filem ini tidak menggunakan pertuturan dalam loghat utara sebaliknya dialog biasa saja.
Jelas Afdlin lagi, Papadom bukanlah sebuah filem komedi kerana aksi lakonannya tetapi suasana yang melucukan itu berlaku kerana keadaan dan peristiwa yang berlaku ke atas pelakonnya.
"Seperti filem saya sebelum ini, ia nampak komedi bukanlah kerana kami pelakon komedi. Ia komedi situasi. Keadaan dan persekitaran yang menyebabkan filem ini nampak lucu atau komedi," katanya.
Selain Afdlin sebagai Saadom, pelakon lain dalam filem itu ialah Liyana Jasmay sebagai Miasara, Noorkhiriah (Munirah), Vanidah Imran (Profesor Balqis), Farid Kamil (Hisham), Scha (Shasha), Chelsia Ng (Yvonne), Que Haidar (Mat), Harun Salim Bachik (Hussin), Pete Teo (Alan) dan Adham Malek (Ali).
"Papadom itu sebenarnya adalah gabungan panggilan papa dan dom. Papa ialah panggilan anak saya dalam filem itu, dan Dom pula ialah kependekan nama saya iaitu Saadom.
"Liayana jadi anak saya yang kecewa lalu melanjutkan pelajaran di IPTA. Saadom pula selepas kematian isteri, menjadi seorang yang sangat mengambil berat terhadap anaknya. Saadom kemudian sanggup menyamar sebagai tukang kebun tempat anaknya belajar, semata-mata hendak mengawasi dia," katanya lagi.
Jelas Afdlin lagi, disebabkan cerita filem Papadom yang menarik, dia menangguhkan sementara waktu pembikinan filem Bigfoot sehingga keadaan mengizinkan.
"Persiapan untuk membuat filem Bigfoot mengambil masa. Jadi untuk sementara waktu, saya mengarahkan filem Papadom kerana ceritanya yang menarik. Lagipun ini adalah tawaran yang baik dari Tayangan Unggul. Mengapa pula saya hendak lepaskan," katanya lagi.
Walaupun filem komedi, Afdlin berkata, seperti filem lain yang pernah dihasilkannya sebelum ini, cara pembikinannya tidak dilakukan secara mudah apabila dia tetap memutuskan penggambaran keseluruhannya selama 30 hari.
"Saya jangka sekitar 30 hari untuk penggambaran saja. Saya tetap mahu memastikan Papadom sebagai sebuah filem komedi situasi yang berjaya, sama seperti filem saya sebelum ini," katanya.
![]() |
| Que Haidar turut membintangi dalam filem Papadom. |