Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
![]() |
Ismail Hutson |
SEBUAH lagi persatuan artis diwujudkan. Jika sebelum ini, antara persatuan yang seringkali dilihat menonjol dalam memperjuangkan nasib para artis dan seniman tempatan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), kini Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) diwujudkan untuk tujuan yang sama.Sebuah lagi persatuan yang sebelum ini diwujudkan ialah Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita).Mungkin sudah agak klise jika perihal persatuan artis yang semakin banyak ditubuhkan di negara ini terus diperkatakan.Realitinya, tujuan serta objektifnya tetap sama, iaitu membantu dan membela nasib anak-anak seni tempatan yang kian terabai.
Selepas ditubuhkan pada tanggal 20 April lalu, sebuah forum khas, Sembang-sembang Artis Veteran dianjurkan oleh persatuan tersebut bagi membentangkan hala tuju serta objektif sebenar penubuhannya kepada hampir 100 orang ahli yang hadir.Berlangsung di Auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur, ahli panel yang terlibat dalam majlis tersebut ialah Datuk Ismail Hutson yang juga merupakan presiden persatuan itu, Dr. Alias Mohamed, Datuk Aziz Satar serta S. Sahlan.Sementara pengerusi majlis tersebut diserahkan kepada Professor Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh.Bercakap tentang penubuhan persatuan tersebut, Ismail ketika ditemui memberitahu, tidak wujud sebarang bentuk saingan dengan mana-mana persatuan artis sebelum ini kerana pada dasarnya objektif yang diketengahkan adalah hampir sama yang berbalik kepada perkara pokok, membantu dan membela artis-artis veteran.
Terbuka kepada golongan artis tidak kira pelakon ataupun penyanyi yang berusia 55 tahun keatas, yuran keahlian sebanyak RM10 setahun manakala RM300 seumur hidup dikenakan."Penubuhan persatuan ini bukanlah untuk bersaing atau kerana kami merajuk dengan persatuan sedia ada. Ia sekadar memperkembangkan lagi tempat untuk para artis mencari pembelaan tentang nasib mereka."Memang persatuan lain seperti Seniman, Karyawan dan Papita banyak menghulurkan bantuan meringankan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan artis tempatan, namun apa yang cuba kita fokuskan dalam persatuan ini ialah bantuan yang lebih baik daripada itu," katanya.
Antara bentuk bantuan yang dirancang untuk ahli persatuan tersebut ialah bantuan dari segi moral dan kewangan kepada ahli yang memerlukan, mendapatkan bantuan perubatan secara percuma untuk ahli di hospital kerajaan atau swasta sekurang-kurangnya kelas 2 atau B serta menyediakan insurans berkelompok untuk setiap ahli.Rancangan lain ialah berusaha mencari dan mengumpul dana untuk menstabilkan kewangan persatuan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti susulan yang bakal diadakan, membantu mendapatkan premis perniagaan bagi ahli yang berminat dan berusaha menghantar ahli-ahli menunaikan haji dan umrah."Dalam usaha mengumpul dana, kita tidaklah mengadakan majlis-majlis glamor. Kita juga mungkin akan cuba anjurkan majlis-majlis keagamaan, kata Ismail.
Melihat kepada jumlah ahlinya, kebanyakan mereka yang menyertai persatuan tersebut terdiri daripada artis Melayu.Kata Ismail, persatuan tersebut bukan hanya terbuka kepada ahli berbangsa Melayu sahaja sebaliknya kepada artis bangsa lain juga.Sementara itu, Tan Sri Jins Shamsudin ketika berucap pada majlis yang sama memberitahu, persatuan tersebut dialu-alukan agar mengemukakan memorandum kepadanya untuk diserahkan kepada Dewan Negara tidak lama lagi.
"Sebelum ini, saya pernah kemukakan agar setiap insan seni diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Untuk ini, penerbit filem mahupun drama yang membuat kontrak lakonan perlu mencarum sebanyak 11 peratus daripada jumlah bayaran kepada artis mereka."Tidak lama lagi, saya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan artis lain seperti Seniman, Papita, Karyawan untuk berbincang tentang masalah serta mencari jalan terbaik dalam membela nasib anak seni tempatan," katanya.