![]() |
| SELEPAS tiga tahun tidak berlakon, ternyata kemunculan semula artis serba boleh, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin atau Kak Engku membawakan watak Nora dalam telefilem Takbir Suci 2 memberi tuah buatnya merangkul Karakter Wanita Jahat di Anugerah Oskar 7 Malaysia. |
Karakter Jahat yang diperkenalkan dalam anugerah anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) itu ternyata menampilkan kelainan dan menarik perhatian ramai kerana dalam anugerah lain hanya hero dan heroin yang membawakan watak baik diiktiraf. Sedangkan peranan mereka membawakan watak jahat juga tidak kurang pentingnya untuk menghidupkan jalan cerita.
Kata Kak Engku, komitmennya sebagai penyampai radio Sinar FM dan mempunyai tiga anak menyebabkan kerjaya seninya terutama di bidang lakonan perlu 'direhatkan seketika'.
Bagaimanapun, pengarah Rashid Sibir yang bertegas mahukannya berlakon dalam telefilem ini menyebabkan dia terpaksa meletakkan syarat.
Katanya, Rashid tidak berputus asa dan sanggup menurut jadual kerjanya serta menyediakan pemandu untuk mengambil dan menghantarnya ke lokasi penggambaran di Melaka selama seminggu.
"Saya tidak sangka sama sekali menang watak jahat. Saya juga pertama kali datang ke Anugerah Oskar ini dan memang terkejut apabila diumumkan menerima anugerah.
"Alhamdulillah, ternyata pengorbanan Rashid untuk saya berbaloi sehinggakan watak jahat Nora yang saya bawakan menjadi buah mulut orang dan dibenci kanak-kanak. Mungkin saya boleh jadi pengganti Normadiah yang dianggap legenda watak jahat zaman dulu," katanya.
Ditanya bagaimana dia menghayati watak jahat dengan berkesan, Kak Engku berkata, dia menjadi bagus sebab kerjasama yang diberikan semua pihak termasuk kanak-kanak yang menjadi 'mangsanya' dalam cerita itu.
Katanya, dia tidak menegur kanak-kanak di lokasi dan 'buat sombong' supaya timbul karakter jahat sehinggakan mereka takut masuk ke set. Namun, selepas tamat penggambaran, barulah dia meminta maaf dan memberitahu perkara sebenar.
Bagi Adi Putra yang memenangi Karakter Lelaki Jahat menerusi filem Akhirat pula berkata, dia juga tidak menyangka dengan pengiktirafan itu dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat kerana julung kali mendapat anugerah.
"Walaupun watak baik atau jahat, sebagai pelakon kita perlu laksanakannya sebaik mungkin. Kita perlu warnakannya supaya nampak lebih menarik dan menghidupkan jalan cerita.
"Saya sebenarnya seperti bermimpi mendapat anugerah ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga diiktiraf sebegini tinggi," katanya.
Anugerah Oskar yang berlangsung di Hotel Nikko, Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam kelmarin dihoskan Roslan Shah dan Ifa Raziah. Ia diserikan dengan persembahan daripada kombo Tentera Darat, Royal D'Armor, Roslan Shah, Boomerang dan Cap Ayamz yang terdiri daripada tenaga produksi filem Antoofighter.
Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohamad Mohd Daud; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mahyidin Mustakim; Presiden PPFM, Syed Mohamed Hassan Benyahya serta presiden persatuan.
Anugerah bertemakan The I Behind The Stars - Oskar Tegar itu turut diserikan dengan kehadiran artis popular menyampaikan anugerah antaranya Nor Albaniah, Lana Nordin, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Yusof Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Chelsia Ng, Erma Fatima, Adi Putra, Rosyam Nor, Kavita Kaur dan Nanu Baharuddin.
Sementara itu Penerbit Grand Brilliance Sdn Bhd (GBS), Ahmad Puad Onah, berkata Anugerah Oskar memberi pengiktirafan berbeza dan mengutamakan aspek teknikal. GBSB menerusi filem Sepi mendapat tiga anugerah dan meraih lima lagi anugerah menerusi beberapa telefilem terbitannya.
"Bagi Sepi ia kejayaan besar bagi kami kerana sebelum ini ia sukar menang kerana pengarahnya orang luar. Begitu juga dengan Antoofighter yang diedarkan kami, ia memberi suntikan semangat kerana sudah mendapat tiga anugerah walaupun belum ditayangkan," katanya yang juga Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).
Bagi Rosyam Nor yang meraih Aktor Telefilem Pilihan Juri menerusi lakonannya dalam Lahad yang juga diiktiraf sebagai Telefilem Pilihan Juri, menyifatkannya sebagai kemenangan semua pihak terutama kru yang banyak membantu.
"Saya sangat bersyukur kerana diiktiraf dalam bidang filem dan telefilem tahun ini. Prestijnya tetap sama kerana juri yang menilai terdiri daripada golongan profesional. Apabila menang, ia bukan saja memberi kepuasan kepada saya, tetapi juga impak baik kepada pelakon dan produksi terbabit," katanya.
Shuhaimi Baba yang menang besar menerusi filem arahannya 1957 Hati Malaya, terharu dan teruja apabila filem berkenaan meraih lima anugerah termasuk Pengarah Filem Pilihan Juri, Aktor Filem Pilihan Juri (Kamarulzaman Taib) dan Melodi Filem Pilihan Juri (Sharon Paul).
"Anugerah ini amat bermakna bagi kami kerana ia membuktikan filem ini juga bagus dari segi teknikal apabila diiktiraf dalam Anugerah Oskar. Kemangan ini adalah kejayaan semua pihak yang bertungkus-lumus memberikan hasil kerja terbaik," katanya.
Bagi Azizi 'Chunk' Adnan yang juga pengarah dan penulis skrip filem generasi baru, Antoofighter menyifatkan kemenangan filem berkenaan meraih anugerah Efek Visual Filem, Kostum Filem dan 3D Animator sebagai pembakar semangat dan 'modal' untuk menarik penonton menyaksikannya di pawagam mulai 27 November ini.
Malam penuh gemilang itu turut menyaksikan Kala Malam Bulan Mengambang menerima Anugerah Khas Juri 1 atas usaha penerbit dan pengarah menghasilkan sesuatu kelainan dalam penerbitan.
Filem Pensil pula menerima Anugerah Khas Juri 2 atas usaha pengarah mendekatkan masyarakat umum dengan orang kurang upaya. Manakala Tokoh Oskar 7 Malaysia pula diberikan kepada Norshah Thamby.
Raja Azura
Rashid Sibir
Adyputra
Akhirat
Roslan Shah@ Sudirman Singapore
Ifa Raziah
Antoo Fighter
Syed Mohamed
Nor Albaniah
Lana Nordin
Dato' Jalaluddin Hasan
Dato' Yusof Haslam
Chelsia Ng
Erma Fatima
Adyputra
Rosyam Nor
Kavita Sidhu
Nanu
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Sepi
Datuk Paduka Shuhaimi Baba
1957: Hati Malaya
Che Kem
Sharon Paul
Norshah Thamby