![]() |
| TERAJU UTAMA: Pengarah, penulis skrip, dan pelakon Orang Minyak mengharapkan kejayaan apabila filem itu ditayangkan mulai 15 November. |
Filem disasarkan kepada semua peringkat usia diharap mampu beri pengajaran berguna
BELUM pun Orang Minyak ditayangkan kepada umum, penerbitnya, C K Karan daripada Infohibur Productions Sdn Bhd (IPSB) sudah pun mempunyai perancangan untuk menerbitkan pula filem kedua berlandaskan subjek serupa.
Menurut Karan, biarpun sekiranya filem yang bakal menemui penonton mulai 15 November itu gagal mencatat pungutan balik modal, dia tetap bersemangat untuk menerbitkan projek seterusnya pada tahun depan. Sekurang-kurangnya dua filem sudah pun terbayang di benaknya ketika ini.
![]() |
Filem Orang Minyak yang menampilkan lakonan Fizz Fairuz, Sharifah Sofea, Fauzi Nawawi, Sidek Hussin, Jobot Maheran dan Loloq itu berhadapan masalah teknikal yang jelas apabila banyak babak yang dirakam hilang fokus. Keadaan itu menyebabkan imej pelakon menjadi kabur setelah kamera memfokuskan kepada objek lain di sekitar watak terbabit.
Mengakui kelemahan teknikal yang ada, Jamal berkata, bagaimanapun sesetengah babak memang dirakam sedemikian rupa.
"Ia bukan masalah gambar tidak jelas kerana bentuk objek atau watak itu masih nampak nyata. Semua itu disebabkan masalah kamera. Masalahnya, apabila kami perhatikan di monitor, imej nampak jelas," kata Jamal yang berjanji akan mengkaji semula kelemahan itu pada projek akan datang.
Ditanya mengapa kelemahan itu tidak diatasi dengan menjalani penggambaran semula, dia memberitahu, untuk melakukan penggambaran sekali lagi, ia tentunya membabitkan kos yang tinggi. Lebih-lebih lagi, filem berkenaan dihasilkan menggunakan perbelanjaan sendiri - tanpa bantuan pinjaman kewangan.
Dia juga mengaku tidak mencapai kepuasan sepenuhnya menerusi projek terbabit dan berharap dapat memperbaiki kekurangan yang ada menerusi filem seterusnya, tahun depan.
Kata Jamal lagi, filem yang disasarkan kepada semua peringkat golongan penonton itu bagaimanapun diharap sekurang-kurangnya memberikan pengajaran berguna kepada masyarakat, supaya menjauhi hasutan jahat syaitan, selain menjadi tontonan yang menghiburkan.
Susah untuk atasi P Ramlee
Filem Orang Minyak bukanlah kesinambungan filem Sumpah Orang Minyak arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, terbitan tahun 1958. Sebaliknya penulis skrip, Loloq, menghadirkan sebuah kisah baru yang hanya menggunakan watak orang minyak sebagai subjek utama.
Katanya, memang sukar untuk mengatasi atau menyamai hasil usaha seniman legenda berkenaan. Justeru, sekiranya filem itu dapat berada satu tangga di bawah filem arahan P Ramlee, ia sudah pun mencukupi baginya.
"Jika ada produser yang berani mengeluarkan belanja yang lebih besar pula, saya percaya kita mampu menghasilkan filem mengenai orang minyak yang lebih baik. Maklum saja, watak orang minyak tidak wujud dalam masyarakat lain. Hanya dalam masyarakat Melayu saja, kewujudannya diperkatakan. Tentu watak sebegini menarik minat khalayak antarabangsa untuk menontonnya," ujar Loloq.
Begitupun penulis lirik terkenal ini gembira apabila mendapati, tidak ada tapisan dilakukan ke atas dialog yang ditulisnya, biarpun beberapa ayat yang dituturkan watak filem itu agak berat (umpamanya percakapan mengenai syaitan).
"Jadi, perkembangan ini nampak bagus untuk industri perfileman kita hari ini. Filem kita akan jadi lebih terbuka," katanya yang mengaku filem itu tidak lari daripada skrip asal yang dihasilkan olehnya.
Orang Minyak yang disifatkan Loloq sebagai filem komedi seram mengisahkan bagaimana persahabatan dua murid ilmu persilatan musnah apabila Malik Kumbo cemburu pada kejayaan rakannya, Munir. Malik Kumbo membunuh gurunya atas hasutan syaitan. Dia juga dijanjikan kuasa setelah berjaya memperkosa 21 gadis. Dengan bantuan Pak Junid, Munir berjaya menangkap Malik yang kini menjadi orang minyak. Dia memasukkannya ke dalam botol dan mencampakkan makhluk itu ke dasar sungai.
Malangnya, lebih dua tahun kemudian, botol itu tersangkut pada mata kail dua kaki pancing. Dibuka semula secara tidak sengaja, orang minyak kembali mengamuk memperkosa anak dara di Kampung Silang. Ketika itu juga, seorang pensyarah, Dian, datang ke kampung berkenaan untuk melakukan kajian berhubung kewujudan orang minyak.
![]() |
| BERBAKAT: FIzz Fairuz dan Fauzi memegang peranan utama filem Orang Minyak. |
Artikel Terkini