KISAH tiga sahabat daripada tiga kaum berbeza bukan sesuatu yang baru dalam drama atau telefilem. Hanya yang membezakan adalah cara persembahannya saja iaitu secara serius atau drama berat. Cara kedua ialah persembahan yang lebih bersahaja, santai atau komedi kerana cara ini agak menghiburkan selain mudah diterima penonton walaupun ceritanya sinis.
Memilih cara kedua, Kabir Bhatia menggabungkan Mustapha Kamal, Sathia dan Chew Kin Wah untuk menghasilkan drama bersiri genre komedi ringan berjudul Jalan Merdeka.Ketiga-tiganya dilambangkan sebagai penyatuan tiga kaum utama di negara ini yang masing-masing datang dengan latar belakang unik. Drama bersiri Jalan Merdeka adalah berdasarkan skrip tulisan Maizura Mohd Ederis dan Sofia J Rhyland. "Mustapha Kamal, Sathia dan Chew Kin Wah menepati kriteria watak yang diwujudkan malah setiap daripada mereka mampu menjadikan karakter mereka lebih menarik. "Seiring dengan pengalaman yang mereka ada, ia bukanlah satu yang mustahil. Malah saya juga pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.
"Sebagai contoh, Sathia, dia pernah berlakon dengan filem Setem dan Mustapha Kamal pula menerusi drama Manjalara. Hasil perbincangan yang dilakukan pihak kami dengan Astro Warna maka terhasillah drama ini. Pihak Astro Warna mahukan drama komedi tetapi masih mempunyai penekanan kepada acara bersejarah di Malaysia. "Ceritanya bermula dari era kemerdekaan Malaysia pada 1957 dan membabitkan latar masa dari era 60-an hingga ke zaman kini. Tiga watak utama itu berkembang dari muda hingga ke usia 52 tahun. Lalu akan ada tingkat generasi dari setahun ke setahun. Angka 52 itu simbolik kepada usia sambutan kemerdekaan kita pada tahun ini," katanya yang memulakan penggambaran drama terbabit sejak dua bulan lalu di Kuala Selangor.
Walaupun hanya drama bersiri komedi, Kabir tetap menghasilkannya sebaik mungkin kerana mahu melihat Jalan Merdeka ini dianggap berseni, cantik dan indah terutama dalam aspek sinematografi. Malah, paling menarik, dia juga bijak membentuk karakter dan emosi setiap pelakon di bawah kendaliannya.Ditanya mengenai resipi yang digunakannya untuk memastikan pelakonnya terus mempamerkan prestasi baik setiap kali berada di depan kamera, Kabir juga sentiasa bersikap terbuka dan tidak sesekali mengongkong.
"Saya akan cuba mencipta sesuatu yang lain dari karakter yang sedia ada. Sebagai contoh untuk watak Sathia sebagai Jegathesan Mani, daripada melakonkan watak lelaki India seperti pelakon Rajnikanth, saya minta dia tampil dengan imej yang sedikit hip hop. Selalunya, saya akan cuba meneroka sisi lain dan yang penting, ia boleh dirasai atau dekat dengan penonton. "Saya juga sentiasa gemar kepada komunikasi dua hala. Sebagai pengarah mahupun kepada pelakon, pihak produksi atau penulis skrip, setiap daripada kami memainkan peranan. Lalu idea masing-masing boleh diguna pakai dan dikongsi jika kena pada gayanya sebelum dilaksanakan penggambaran," katanya.
DRAMA Jalan Merdeka dibuat sebanyak 13 episod akan disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) dalam pakej Astro Mustika. Setiap episod selama 60 minit. Ia mula disiarkan pada 3 September depan, jam 9 malam. Jalan Merdeka mengisahkan mengenai Piramli Bakar (Mustapha Kamal), Lee Chow Kit (Chew Kin Wah) dan Jegathesan Mani (Sathia) yang lahir pada 1957 di pekan kecil, Kuala Kubu, Selangor. Piramli diambil namanya bersempena nama Tan Sri P Ramlee yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia di Tokyo pada 1957.
Lee Chow Kit pula sebagai mengenang nama Loke Chow Kit, pelombong bijih timah yang namanya diabadikan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Manakala, Jegathesan pula merujuk kepada Mani Jegathesan yang pernah menjadi olahragawan negara ke Sukan Olimpik sebanyak tiga kali. Nama mereka menjadi usikan ramai dan dipendekkan cerita, selepas tamat sekolah, masing-masing berpisah demi mengejar cita-cita menggunung. Piramli membuka firma perakaunan. Bagaimanapun krisis ekonomi yang pernah melanda pada 1997 memaksanya berhijrah ke Amerika Syarikat.
Lee Chow Kit pula menjalankan perniagaan tetapi sering gagal. Akhirnya, Lee Chow Kit membuka kedai kopi atau kopitiam yang terletak di Jalan Merdeka. Nama jalan itu menjadi nama kedai yang diwarisi nenek moyangnya. Jegathesan yang sering dilabel sebagai hero Tamil, Rajnikanth hanya menjadi pengedar rempah di Kuala Selangor. Beberapa tahun terpisah, akhirnya tanpa diduga mereka bertemu kembali dan ketika itulah bermula pelbagai ragam cerita yang pasti mencuit hati penonton. Cerita ini digambarkan berakhir pada 31 Ogos tahun depan di mana tiga sahabat baik ini menyambut hari kemerdekaan dan serentak dengan hari lahir mereka yang ke-53.
Artikel Terkini