Oleh Esme Johari Wahab
PENGALAMAN setahun jagung bukan alasan bagi Ismail Bob Hasim menghasilkan filem yang mampu menarik penonton ke pawagam. Meskipun tugas pertama selaku pengarah filem Ngangkung belum siap 100 peratus tetapi pengarah berbakat itu yakin dengan kemampuannya. Penggambaran filem untuk tayangan 2011 itu bermula di Kuala Selangor, minggu lalu. Filem genre komedi seram itu memaparkan perbuatan memuja ekor dengan khidmat bomoh. Antara perbuatan kotor dilakukan pemuja adalah penggunaan barang dianggap berpuaka atau unik.
Sebelum ini, Ismail hanya menimba pengalaman awal sebagai pengarah dan penolong pengarah drama. Dia pengarah kelima diketengahkan MIG Production Sdn Bhd menerusi skim 10 pengarah muda bernaung di bawah syarikat itu. "Bagi saya, mengarah filem dan drama tidak banyak beza. Cuma, seseorang pengarah perlu kreatif dan tahu mengendalikan krew, set penggambaran dan mood pelakon. "Pengalaman penolong pengarah dan mengarah drama komedi seram, Jangan Tegur Lagi membuat saya yakin. Filem ini memberi makna besar apatah perjalanan dunia pengarahan filem baru bermula menerusi Ngangkung," katanya. Ismail berkata, tajuk itu dipilih kerana perbuatan memuja nombor isu agak terpinggir di kalangan masyarakat sekarang.
"Memandangkan nombor ekor haram dan perbuatan memuja tidak elok, realiti mengenainya perlu dipaparkan. Cara terbaik menerusi filem. "Malah, perkataan Ngangkung itu, menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermakna duduk antara dua pelipat kaki. Cara itu memang kesukaan ramai pemuja nombor. Mengikut kajian hanya 40 peratus penduduk Malaysia memahami perkataan itu," kata Bob kini bertugas sebagai produser eksekutif Excellent Pictures Sdn Bhd. Ia filem terbitan ke-42 MIG. Barisan pelakon adalah gabungan muka baru dan pelawak seperti Azlee dan Lan Pet Pet. Shaheizy Sam memegang watak utama sebagai Sam.
Selain itu, nama lain adalah Azad Jasmin (Tasnim), Angah Raja Lawak (Wan), Putri Mardiana (Hamidah), Eira Syazira (Suri) dan adik Farisya Fatin. Dalam perkembangan lain, MIG akan menayang filem garapan pengarah muda seperti V3: Samseng Jalanan (Farid Kamil) pada 11 Mac diikuti Semerah Cinta Stilletto pada 8 April (Ahmad Idham Ahmad Nadzari). Nama Md Azhari Zain antara pengarah muda mencipta nama menerusi filem terbitan MIG. Filem sulung arahannya, Santau ditayangkan Disember tahun lalu, mengutip RM3.7 juta menerusi kutipan di Malaysia serta Brunei. Ngangkung menelan kos penggambaran sebanyak RM1.65 juta. Kata Bob, pemilihan lokasi di Kuala Selangor sesuai dengan dengan kehendak skrip. "Kawasan itu ada banyak pemandangan menarik dan sesuai untuk latar filem ini," katanya.
Majlis pelancaran itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MIG merangkap penerbit filem Ngangkung, David Teoh. David berkata, filem itu sindiran terhadap golongan suka berjudi dan bermain nombor ekor. "Ini cabaran baru kami di MIG dan Ngangkung antara filem saya dijangka dapat sambutan penonton. Sasaran MIG menghasilkan sekurang kurangnya 25 filem bersama barisan pengarah muda sepanjang 2010. "Bimbingan dan pengalaman barisan pengarah baru bersama MIG beri kesan positif perkembangan filem tempatan," katanya.
Pada masa sama, Putri Mardiana, 28, berkata, Ngangkung filem keduanya selepas Santau. Pengalaman bekerja bersama dua pengarah muda membuatnya matang di set lokasi. "Walaupun berlakon enam babak dalam Ngangkung, saya puas hati kerana dapat memberi persembahan terbaik sebagai perempuan gedik. Saya pegang watak isteri Tasnim. "Dua pengarah ini ada kelebihan dan cara bekerja tersendiri. Mereka terbuka, boleh terima idea pelakon di set penggambaran. Apapun, saya selesai menjalani empat babak dalam Ngangkung," katanya.
Azlee Senario
Mazlan Pet Pet
Shaheizy Sam
Eira Syazira
Farid Kamil
Ahmad Idham
Azhari Mohd Zain
David Teo
MIG Production Sdn. Bhd.
Excellent Pictures Sdn. Bhd.
V3 Samseng Jalanan
Semerah Cinta Stilleto
Santau