Oleh Norhadiani Baharom
![]() |
Namun, apabila mengenali pendukung watak itu, Nadia Aqilah Bajuri, 24, atau Nadia sukar untuk anda membencinya kerana pemilik tubuh tinggi lampai itu bukan saja peramah dan menawan, tetapi juga suka ketawa.
Sifat sebenar Nadia cukup bertentangan dengan watak Chika yang dibawakan menerusi drama Tari Tirana terbitan Radius One, arahan Shahrulezad Mohameddin yang bersiaran di TV3 setiap Selasa, jam 9 malam. Bicara Nadia, wajah dan personalitinya mungkin bersesuaian karektor seperti itu sehinggakan hampir kebanyakan drama dibintangi, dia disogok watak lebih kurang sama. "Ini bukan pertama kali saya bekerja dengan Ezad dan saya perasan kebanyakan watak ditawarkan selalunya begitulah (jahat). Tidak tahu kenapa, mungkin Ezad suka formula watak jahat yang dibawakan saya. "Tidak dinafikan, sekali pandang atau bagi mereka yang tidak mengenali Nadia Aqilah, mereka akan beranggapan saya seorang yang sombong. Kemungkinan tanggapan seperti itulah membuatkan Ezad memberi kepercayaan pada saya membawakan watak jahat.
"Bimbang juga dianggap jahat dalam dunia sebenar namun, saya harus berterima kasih pada Ezad kerana watak sebeginilah yang memperkenalkan saya pada khalayak umum. "Pun begitu, tidaklah selamanya mahu membawakan watak jahat kerana sebagai pelakon teringin juga mempelbagaikan watak," katanya. Diperkenalkan kali pertama menerusi siri Emel Emelda, Nadia menambah, sebagaimana jalan cerita Tari Tirana semakin mendebarkan penonton, begitu juga dengan pergolakan watak Chika. Bercerita lanjut mengenai watak idamannya, pelakon juga vokalis utama kumpulan trio, Luscious ini mendambakan watak memerlukannya bermain dengan emosi dalaman.
"Saya teringin sangat melakonkan watak banyak bermain dengan emosi dalaman, kurang berkata-kata, tetapi dari renungan mata saja penonton sudah dapat menjangka, dia sedang sedih atau sebaliknya," katanya. Menyingkap pembabitan seninya, sejak kecil Nadia mulai aktif dalam bidang nyanyian dan sering menyertai persembahan di sekolah. Apabila meningkat dewasa, Nadia menimba pengalaman membuat persembahan di khalayak ramai dengan melakukan persembahan gig di sekitar ibu kota. Pun begitu, gadis berwajah esortik ini berasakan masih banyak kekurangan dalam persembahannya lalu mencabar diri membintangi pementasan teater.
Pada 2006, dia diterima menjadi sebahagian daripada pelakon teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) musim pertama manakala tahun berikutnya terbabit dalam musim kedua. Komitmen dan hasil lakonan yang memberangsang, Nadia sekali lagi ditawarkan Enfiniti Productions terbabit dalam pementasan P Ramlee The Musical. "Membintangi PGL satu perkara yang saya sebut 'magical.' Walaupun terpaksa berlatih dua jam sehari dan diberi rehat sekali seminggu itupun kalau pereka tari, Pet Ibrahim berpuas hati dengannya namun ia satu pengalaman cukup bermakna yang tak mungkin saya lupakan.
"Keyakinan saya dalam lakonan semakin bertambah sejak terbabit dalam teater. Antara PGL dan P Ramlee The Musical, kedua-duanya ada cabaran dan keistimewaan yang tersendiri. "Membintangi PGL membuatkan saya sukar untuk keluar dari perwatakan gadis Jawa manakala P Ramlee The Musical pula, saya terbawa-bawa dengan orang lama berdialog. "Selain itu, PGL membuatkan saya jatuh cinta pada muzik gamelan yang mungkin dulu tidak pernah saya hiraukan. Sementara P Ramlee The Musical, saya jatuh cinta dengan ketokohan Allahyarham P Ramlee sendiri," katanya.
Rindu beraksi di pentas teater, Nadia mengakui dia lebih memperoleh kepuasan dengan cara itu jika dibandingkan dengan drama, telefilem mahupun filem. Beralih pada kegiatan muzik pula, sekitar 2007, Nadia bersama dua lagi temannya, Suzana dan Eanas yang menganggotai kumpulan Luscious pernah menyertai program realiti, Gangstarz. Nadia menambah, walaupun mungkin suatu hari hidupnya lebih terarah pada lakonan, Luscious akan terus bertahan selamanya. "Suzana, Eanas dan Luscious ibarat kiri dan kanan saya. Sekalipun mungkin karier seni saya lebih menyerlah secara solo itu tidak langsung menjejaskan Luscious. "Insya-Allah kami sebenarnya ada perancangan untuk menghasilkan single baru cuma masanya belum sesuai untuk bercerita," katanya.
PROFIL
NAMA: Nadia Aqilah Bajuri
PANGGILAN: Nadia
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1985
UMUR: 24 tahun
BINTANG: Leo
DRAMA: Emel Emelda, Sinderella, Merah Putih, Puteri Rania dan Tari Tirana
KERJAYA: Pelakon dan penyanyi
IDOLA: P Ramlee, Meryl Streep, Aretha Franklin, Stivie Wonder dan Janet Jackson.
SOLEKAN: Iman Ali
PAKAIAN/AKSESORI: Jaspal dan Evita Peroni
Puteri Gunung Ledang
Tan Sri P. Ramlee
Enfiniti Productions Sdn. Bhd.
Radius One Sdn. Bhd.