Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

05 Februari 2010 : Harian Metro

Nabil Dilarang Bawa Kekasih

Oleh Norhadiani Baharom

LU Fikirlah Sendiri, filem yang menuntut penonton berfikir sendiri berhubung apa jua mesej yang diperoleh selepas menonton cereka berkenaan. Itulah kesimpulan yang dibuat selepas menonton Lu Fikirlah Sendiri De Movie sempena majlis tayangan eksklusif di Cathay Cineplex, Cineleisure, Damansara, Selasa lalu. Pembikinannya tidak begitu kemas namun filem ini masih mampu membuatkan penonton bertahan sehingga ke penghujung cerita kerana terdapat beberapa babak yang menghalang penonton untuk beredar.

Aminah Rhapor, selaku pengarah filem yang dibintangi Ahmad Nabil Ahmad (Nabil Raja Lawak), Puteri Sarah Liyana, Mila serta barisan pelakon handalan lain, bagaimanapun mengakui berpuas hati dengan pembikinan filem pertamanya itu. "Tipu kalau saya kata tidak takut dan tidak berdebar. Pada saya pembikinan filem ini sudah dibuat dengan bersungguh-sungguh dengan harapan sampai ke golongan sasaran iaitu remaja dan mereka yang berkeluarga. "Ada isu berat dalam filem ini dan menjadi cabaran besar buat saya bagaimana hendak menyampaikan mesej apabila pelakonnya adalah Nabil. Apatah lagi, peminat dan penonton sedia maklum Nabil pelawak," katanya.

Saat filem ini ditawarkan kepada Nabil sekitar Jun 2008, Nabil baru saja menang Raja Lawak musim kedua dan popularitinya ketika itu naik mendadak. Bagaimanapun, namanya kebelakangan ini sedikit malap dek diterjah pelbagai kontroversi yang memberi kesan kepada popularitinya. "Saya menyedari hal itu dan bimbang juga jika ia memberi kesan pada filem ini. Disebabkan itu pihak produksi berbincang secara baik dengan Nabil supaya tidak membawa kekasihnya, Irma pada tayangan hari ini kerana tidak mahu tumpuan terhadap filem beralih pada hal peribadi. "Puteri Sarah juga dimaklumkan hal sama. Tetapi kalau kita kaji semula siapa lagi hero komedi yang popular sekarang ini kalau bukan Nabil? Saya tetap mengatakan dia masih lagi pelawak nombor satu di Malaysia. "Sebagai pengarah saya bukan saja mengharapkan filem ini berjaya, tetapi dapat menaikkan kembali nama Nabil.

"Sepuluh hari bersama Nabil di lokasi penggambaran saya melihat Nabil pelakon yang mempunyai potensi. Dia selamba, jujur dan mampu membuatkan penonton ketawa. "Adakalanya boleh membuatkan kita bersedih. Saya juga kagum dengan bakat Mila dan mereka berdua boleh pergi jauh serta punya masa depan cerah sebagai pelakon," katanya.

Berhubung penampilan ramai cameo seperti Faizal Tahir, Aziz M Osman dan kumpulan Meet Uncle Hussein (MUH) dalam filem ini, Aminah tanpa berselindung mengakui ia untuk tujuan promosi. "Bagaimanapun, saya mahu menjelaskan MUH bukan sebagai cameo dalam filem ini, tetapi mereka ada watak. MUH ibarat pencerita kepada Nabil. "Mengapa filem ini menampilkan banyak elemen muzikal? Sebabnya ia memang dijadikan senjata mensasarkan golongan muda," katanya.

Mengakui sebagai pengarah baru, pasti terdapat cela dalam garapan sulungnya ini, khususnya beberapa babak yang bagaikan tiada kesinambungan dan adakalanya watak muncul secara tiba-tiba. "Filem ini pantas pergerakannya iaitu 90 minit. Jika semuanya dimasukkan pasti tidak cukup. Misalnya babak bagaimana Nabil boleh tahu di mana Natasya (Puteri Sarah Liyana) tinggal begitu juga Puteri Sarah tahu di mana Nabil bekerja. "Dalam cerita ini watak Zizan Raja Lawak adalah sahabat kepada Nabil dan Natasya. Justeru, di mana saja Nabil atau Natasya berada, Zizan pasti tahu mereka di mana," katanya.

Sementara itu, Nabil yang ditemui selepas tayangan filem itu turut memberikan komen berhubung lakonan dan wataknya dalam filem ini. Tambahan pula, sebahagian cerita diadaptasi dari kisah sebenar Nabil sebelum bergelar artis misalnya pernah bekerja sebagai penghantar surat, penjual kuetiau dan bekerja di bengkel motosikal. "Sudah tentu saya takut menantikan maklum balas penonton. Apatah lagi, ia adalah filem pertama saya pegang watak utama. "Terus terang saya tidak begitu gembira dengan hasil filem ini. Saya tidak malu kisah benar saya di didedahkan namun apa yang mengecewakan apabila garapan jalan cerita 'tidak sampai.' "Tugas pengarah memastikan jalan cerita mudah difahami penonton. Saya akui sewaktu membintangi filem ini baru saja menang Raja Lawak dan tiada langsung pengalaman berlakon. "Malah, ketika terbabit dalam penggambaran filem ini saya tidak mendapat bimbingan dari sesiapa. "Pun begitu, saya tetap terima segala kelemahan filem ini kerana sedar saya orang baru dan pengarah pun orang baru. Kami bersama berharap untuk masa akan datang dapat memberikan yang lebih baik," katanya.

Tambah Nabil, dia tidak meletakkan harapan tinggi terhadap filem dan dia menyerahkan segalanya kepada penonton. "Cuma saya bimbang ada peminat yang kecewa atau berasa tertipu. Tambahan filem ini menggunakan tagline saya 'Lu Fikirlah Sendiri', justeru sudah pasti peminat yang datang mengharapkan saya dapat membuatkan mereka ketawa selepas menonton filem ini," katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Kluang Man arahan Aziz M Osman, April ini. Filem terbitan produksi SDAF Pictures Sdn Bhd dan edaran Grand Brilliance Sdn Bhd ini akan mula ditayangkan 11 Februari ini.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD