Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

23 Disember 2009 : Utusan Malaysia

My Spy Tidak Gagal

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

AFDLIN Shauki (kiri) bersama sebahagian daripada barisan pelakon filem My Spy sewaktu malam gala di GSC MidValley, baru-baru ini.

TIDAK dinafikan, KRU Studios merupakan antara syarikat perfileman yang produktif dalam menghasilkan filem dari pelbagai genre. Seperti mana yang kita semua tahu, syarikat yang diterajui oleh tiga bersaudara, Norman, Yusry dan Edry ini memang cukup terkenal dengan inovasi serta kreativiti dalam mencorakkan filem terbitan mereka. Filem My Spy misalnya, mempertaruhkan genre aksi komedi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton tempatan sejak ditayangkan bermula 3 Disember lalu.

Sehingga kini, anggaran kutipan yang dicatatkan oleh filem yang diarahkan oleh Afdlin Shauki itu adalah sekitar RM1.3 juta sahaja. Melihatkan pada angka itu, ia boleh dianggap kurang memberangsangkan jika hendak dibandingkan dengan kutipan filem KRU Studios yang lain. Apatah lagi My Spy perlu berdepan dengan dua filem tempatan yang ditayangkan sebelum itu iaitu Senario The Movie: Episode 2 - Beach Boys dan Jalang sementara filem Santau yang ditayangkan seminggu selepas itu. Malah, selaku penerbit filem berkenaan, Norman sendiri mengakui, kutipan filem My Spy merupakan yang paling rendah sepanjang tiga tahun KRU Studios menerbitkan filem cereka. Katanya, filem bercorak aksi komedi penyiasatan seperti My Spy sememangnya kurang diminati oleh penonton di negara ini.

Tambah Norman lagi, ia dapat dibuktikan dengan filem-filem bercorak sedemikian yang mengalami nasib yang sama seperti Setem dan Los & Faun yang mengaut kutipan kurang daripada RM2 juta. Namun begitu, Norman optimis bahawa filem ini mampu mencapai kutipan sekurang-kurangnya RM1.5 juta apabila filem yang diterajui oleh AC Mizal dan Harun Salim Bachik itu akan ditayangkan untuk sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi. "Mungkin ia adalah disebabkan kerana kurangnya promosi sebelum filem ini ditayangkan dan kelemahan ini kami ambil untuk diperbaiki dalam mempromosikan filem-filem akan datang. "Kami bertuah kerana penaja seperti Perodua dan Celcom banyak membantu kami untuk mempromosikan filem My Spy sekali gus mencatatkan keuntungan dan memberi kelebihan dari aspek lain," katanya ketika dihubungi Hits baru-baru ini.

Selain AC Mizal dan Harun Salim Bachik, My Spy turut dibintangi tiga jelitawan iaitu Carmen Soo, Daphne Iking dan Hannah Tan selain Ridzuan Hashim, Maria Farida dan Adlin Aman Ramlie. Muka-muka popular yang turut memeriahkan My Spy dengan membuat kemunculan istimewa dalam filem ini ialah Mamat Khalid, Aziz M. Osman, Que Haidar, Jalil Hamid dan Douglas Lim. Rekod filem ini juga menyaksikan muat turun lagu Menggegar Dunia yang dinyanyikan secara duet oleh Stacy dan Adam mencatatkan muat turun yang agak memberangsangkan. Biarpun akur dengan penerimaan peminat terhadap filem kelima terbitan KRU Studios itu tetapi pihaknya mendapat respons serta reaksi yang positif daripada ramai pihak yang memuji filem berkenaan.

Jelas Norman lagi, pertaruhan KRU Studios menerbitkan filem genre aksi komedi penyiasatan sememangnya adalah untuk memberikan variasi kepada industri perfileman negara. Masakan tidak, selama ini penonton sering kali disogokkan dengan filem-filem komedi yang dibintangi oleh Saiful Apek, kumpulan Senario dan juara Raja Lawak 2, Nabil Ahmad. Sungguhpun begitu, Norman cukup berpuas hati dengan kolaborasi pertamanya dengan Afdlin yang telah memberikan hasil kerja yang mencapai tahap piawaian KRU Studios. Apatah lagi, pihaknya mahukan sesuatu yang berlainan dan Afdlin berjaya menterjemahkan kreativitinya menerusi filem My Spy. "Memang kami mahukan sebuah filem komedi bersahaja dalam usaha kami menarik perhatian penonton.

"AC Mizal dan Harun Salim Bachik telah mencipta sesuatu yang baru dan gandingan mereka ini juga boleh dikatakan memberi pendekatan yang berbeza kerana inilah kali pertama mereka digandingkan sebagai teraju utama. "Untuk itu, saya menyeru kepada mereka yang belum menonton filem ini, segeralah ke pawagam dan menikmati filem yang cukup menghiburkan ini," kata Norman atau nama penuhnya, Norman Abdul Halim ini penuh bersungguh. Pada masa yang sama, Norman juga memberitahu, dia mempunyai perancangan yang besar untuk meluaskan lagi produk My Spy bagi jangka masa panjang. Antara dalam perancangan ialah menjadikan My Spy sebagai sebuah francais filem dan berkemungkinan besar juga untuk dijadikan siri televisyen.

Sementara itu, Afdlin yang ditemui pada malam gala filem My Spy di GSC MidValley baru-baru ini menjelaskan, dia sememangnya sudah bersedia dengan kritikan daripada semua pihak terhadap buah tangan terbarunya itu. Manakan tidak, sebaik sahaja menonton filem My Spy, ramai yang berpendapat ia tidak memiliki sentuhan Afdlin seperti mana yang diketahui sebelum ini. "Sewaktu tawaran datang kepada saya, memang saya dan KRU sudah berbincang untuk menjadikan filem ini sebagai sebuah santapan yang mampu dinikmati oleh semua golongan masyarakat. "Sebelum ini, ada segelintir pihak yang tidak boleh menerima filem saya yang dikatakan agak urban dan tidak mampu menembusi semua golongan penonton.

"Maka dengan itu, saya tampilkan pembaharuan menerusi filem ini dan saya puas hati dengan kerjasama sulung saya dengan KRU Studios ini," ujar Afdlin yang juga merupakan pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini lagi. Berbanding dengan filem-filem arahannya yang lain sebelum ini, bapa kepada dua cahaya mata ini mengakui, pengalaman mengarahkan filem My Spy juga memberikan satu dimensi baru buatnya sebagai seorang pengarah. Apatah lagi ia merupakan filem aksi komedi pertama yang diarahkan Afdlin, sememangnya dia cukup seronok dan teruja sepanjang penggambaran. Lebih mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengarah apabila perlu melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin memandangkan bajet filem ini bukan dari poketnya sendiri.

Pada masa yang sama juga, dia mahu mempelbagaikan corak pengarahannya dalam memberikan variasi kepada penonton tempatan. "Pemilihan pelakon yang membintangi filem ini juga merupakan salah satu faktor mengapa saya mahu mengarahkan filem ini. "Gandingan AC Mizal dan Harun Salim Bachik pada saya sesuatu yang unik dan jarang dipertontonkan sebelum ini. "Maka itu, filem My Spy merupakan filem untuk hiburan semata-mata untuk meregangkan tekanan kepada penonton agar mereka terhibur dan ketawa," kata Afdlin yang akan muncul dengan filem terbaru arahannya, Misteri Jalan Lama pertengahan tahun depan.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD