Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

08 Februari 2010 : Harian Metro

Mengelak Badi Niyang Rapik

Oleh Ramlah Zainal



MENJADI satu-satunya bunga yang dikelilingi lima kumbang dalam filem genre seram, Niyang Rapik arahan Ahmad Idham, memberi cabaran tersendiri buat pelakon Liyana Jasmay. Kata Liyana yang pertama kali bekerja dengan Idham untuk 'big screen', dia lebih banyak berdikari sepanjang penggambaran filem berkenaan di Tasik Kenyir, Terengganu. "Maklumlah, Idham perlu menjaga dan mengawasi lima lagi pelakon lelaki dalam filem ini. "Justeru, bagi memastikan keselamatan saya dan mengelakkan kejadian tidak diingini, Idham meminta pakar dalam cerita seram, Tok Bak menemani saya sepanjang penggambaran filem ini terutama membabitkan babak pada waktu malam.

"Saya juga tidak ada masalah bekerja dengannya kerana Idham seperti pengarah dan pelakon Afdlin Shauki yang faham macam mana situasi pelakon di lokasi kerana dia juga ada pengalaman berlakon sebelum bergelar pengarah," katanya. Selain Liyana, filem ini menampilkan lima pelakon muda berbakat besar tanah air seperti Awal Ashaari (Mir), Kamal Adli (Helmi), Shaheizy Sam (Zizan), Zed Zaidi (Saiful) dan Fizz Fairuz (Zack). Liyana yang pernah berlakon dalam filem Histeria berkata, cabaran yang paling besar dihadapinya ialah berlakon dalam cerita hantu yang sebenar seperti Niyang Rapik.

"Saya bawa watak Laila yang juga roh dalam cerita ini. Bagi menjiwai watak roh ini, saya dibantu Tok Bak yang pakar dalam cerita hantu dan sering bekerjasama dengan filem genre seram Idham sebelum ini. "Sebenarnya, bukan mudah untuk menjiwai watak roh yang tiada perasaan ini. Saya juga memberi tumpuan lebih kepada bahagian mata.

"Tok Bak juga sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga tutur kata, perilaku sepanjang penggambaran di tasik dan hutan belantara berkenaan," katanya. Ditanya sama ada dia berasa takut atau terkena badi sepanjang 10 hari penggambaran filem itu di sana, Liyana berkata: "Penggambaran selalunya berakhir sehingga jam 4 hingga 5 pagi dan saya masih terdengar suara pelakon lelaki di luar rumah bot tempat kami menginap pada waktu malam.

"Cuma, saya berasa gementar dan susah untuk tidur pada waktu malam di rumah bot itu. Selepas membaca ayat suci bagi mengelakkan sebarang gangguan, barulah saya boleh tidur. Saya juga ditemani ibu sepanjang penggambaran di sana." Tambah Liyana lagi, antara babak yang mencabarnya ialah ketika Laila bertemu Amir sambil mendukung bayinya dalam cerita itu. "Saya perlu menjadi Laila yang psiko dan membayangkan bayi yang dalam dukungannya itu seolah-olah masih hidup lagi," katanya.

Liyana ditemui ditemui selepas pratonton filem Niyang Rapik terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd di Cathay Cineleisure, Damansara, baru-baru ini. Bagi Shaheizy pula, wataknya juga menarik sebagai Zizan yang bersikap kebudak-budakan, panas baran, suka 'memanaskan' keadaan dan sering menyalahkan orang lain dalam cerita itu. "Saya diminta pengarah untuk buat karakter dan perwatakan seperti dikehendaki dalam skrip. Sebagai pelakon, saya membawa watak Zizan mengikut ideologi sendiri dan ia berlaku dalam sedar.

"Saya hanya diberi tempoh 10 hari untuk menjiwai karakter itu dan hasilnya hanya sampai setakat itu saja. Kalau orang lihat karakter Zizan bukanlah diri saya, maksudnya saya sudah berjaya bawa watak itu dengan baik," katanya. Kata Shaheizy lagi, dia percaya watak Zizan yang ada elemen humor itu mudah diingati peminat. "Saya hanya sampaikan apa yang tertulis dan tanggungjawab saya untuk menonjolkan karakter Zizan supaya lebih menyerlah.

"Pada masa sama, saya perlu memastikan keserasian watak Zizan dengan semua karakter dalam cerita ini," katanya. Pelakon yang mengagumi bintang ternama Hollywood Al Pacino ini berkata, dia juga sentiasa mencari kelainan dalam setiap lakonannya pada masa depan. "Saya percaya, peminat filem masih ingat filem lakonan Al Pacino, Scarface sampai sekarang. "Pada masa sama, saya juga berharap orang sentiasa ingat lakonan saya dalam filem Bohsia sebelum ini," katanya.

Manakala, Zed pula menganggap tawaran berlakon dalam filem berkenaan sebagai rezeki yang sukar ditolak. "Saya ditawarkan buat filem ini ketika baru balik dari pementasan Impak Maksima di Singapura. "Sebelum ini, saya banyak dapat tawaran berlakon filem, tetapi terpaksa menolaknya kerana sibuk dengan penggambaran drama. "Saya terima tawaran Idham kerana suka dengan watak Saiful dalam cerita ini. Semua watak juga berbeza dan mempunyai kekuatan tersendiri.

"Ini kali pertama saya berlakon dengan Liyana, Shaheizy dan Awal, tapi dengan Kamal dan Fizz sudah banyak kali. "Bagaimanapun, kami mempunyai keserasian dan tidak timbul soal siapa yang lebih hebat dalam cerita ini kerana pembahagian karakter juga seimbang," katanya. Zed juga mengakui watak Saiful juga tidak kurang hebatnya dalam filem berkenaan. "Saya suka watak Saiful kerana ia seperti ketua kumpulan dan pelindung pada rakan-rakannya yang lain.

"Saiful watak yang paling tua dalam kumpulan itu dan sebab itu saya simpan misai dan janggut untuk menjiwainya. "Babak paling mencabar ialah ketika Saiful membawa bot di Tasik Kenyir yang banyak kayu di dalamnya dan bot boleh bocor kalau terlanggar kayu ketika penggambaran dilakukan," katanya. Selain barisan pelakon muda, filem ini dimantapkan lagi pelakon lama seperti Nasir Bilal Khan, Sahronizam Noor, Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P Ramlee.

Kisah seram ini bermula dengan kematian Zack secara misteri. Dia mati kerana busung perut. Kematian Zack sangat memeranjatkan empat rakan karibnya, Helmi, Zizan, Saiful dan Amir. Mereka adalah pelajar lepasan universiti dalam jurusan Kajian Sejarah. Selepas majlis tahlil arwah Zack, mereka dikejutkan lagi dengan cerita di mana Zack menderita penyakit itu sejak setahun lalu selepas balik dari kampung Niyang Rapik. Niyang Rapik terbitan MIG Productions Sdn Bhd ini bakal memasuki pawagam tempatan seluruh tanah air bermula 25 Februari ini.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD