Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
![]() |
| NABILA banyak belajar dengan pelakon senior. ADI Putra mengharapkan peminat lebih terbuka.VANIDAH selami perasaan pembawa virus HIV. |
MENDENGAR judul Akhirat sahaja membuatkan ramai daripada kita yang akan berfikir dua kali. Apa pula maksud tersirat di sebalik filem terbitan Sri Saheb Production Sdn. Bhd., yang bakal ditayangkan pada 20 Mac ini.
Sudah tentu juga ramai yang tertanya apakah kelainan yang ditonjolkan dalam filem arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya itu. Adakah ia berbeza daripada filem-filem yang lain?
Mencorakkan filem itu dengan menampilkan jalan cerita sedih seorang wanita yang menghidap HIV sebagai plot utamanya, barangkali juga faktor tersebut mampu menarik minat khalayak ke pawagam.
Sementelah filem tersebut menampilkan Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20, Vanidah Imran sebagai sebagai Mira, mangsa keadaan yang terpaksa mengharungi detik-detik kehidupan sebagai pembawa virus HIV yang diperolehnya angkara nafsu ganas seorang lelaki.
Selain elemen kasih sayang, kisah masyarakat dan kehidupan seharian dipamerkan dalam filem tersebut.
Namun, sudah kita ketahui kadang kala biar sebaik mana pun sesebuah filem itu, belum tentu ia mampu menarik audiens untuk menontonnya.
Tambahan pula kekuatan Akhirat hanya pada Vanidah seorang, manakala pelakon-pelakon lain terdiri daripada pelakon-pelakon drama yang diangkat ke layar perak iaitu Adi Putra, Tony Eusoff dan Nabila Huda Suhaimi.
Barangkali juga penerbit filem itu mengharapkan penonton tidak prejudis dengan formula yang digunakan oleh mereka.
Biar apa juga yang bakal berlaku kelak pada sambutan filem itu nanti, namun para pelakon Akhirat tetap optimis dan yakin filem itu mampu menarik khalayak ke pawagam kelak.
Vanidah pikul tugas berat
![]() |
| AKSI Daring Nabila Huda dalam Akhirat. DALAM Akhirat Vanidah Imran memegang watak wanita yang dijangkiti virus HIV. |
Memegang watak pengidap HIV bukanlah satu tugas yang mudah. Mengakui satu cabaran untuknya membawakan watak tersebut aktres Vanidah Imran berkata: “Saya ada ramai kawan yang menghidap penyakit ini. Mereka semuanya dijangkiti bukan atas kesilapan diri mereka.
“Semuanya angkara pasangan mereka. Saya cuba selami hati dan perasaan mereka untuk mendapatkan mood agar saya dan menjayakan watak itu dengan baik.”
Menyambung perbualan, isteri kepada aktor dan pengarah Rashidi Ishak ini sedia maklum, sebilangan besar masyarakat mempunyai tanggapan negatif terhadap pengidap HIV.
“Masalah paling besar yang dihadapi oleh mangsa HIV/AIDS ialah mereka semua disisihkan oleh keluarga. Tidak ramai yang tahu perasaan mereka dan enggan menyelami perasaan mereka.
“Jadi saya harap menerusi filem ini dapatlah saya suarakan tekana mereka agar golongan ini tidak lagi dipandang sebelah mata lagi. Saya harap saya dapat menjadi suara kecil untuk mereka,” ujarnya penuh mengharap.
Adi sedia hadapi kontroversi
Membawakan watak Ari ketua sindiket mencuri kereta mewah dan kekasih kepada Noni (lakonan Nabila Huda), Adi Putra mengharapkan filem ini mampu menonjolkan lagi bakatnya.
Malah dalam filem itu dia bersama Nabila ada melakonkan beberapa babak panas yang sebelum ini belum pernah dilakukannya.
Biarpun bakal berdepan dengan kontroversi namun Adi berkata: “Saya lihat tugas saya dalam filem ini sebagai sesuatu yang positif. Saya terima untuk melakonkan watak itu kerana kewajipan dan untuk mencari rezeki. Asalkan apa yang saya buat tidak melawan atau terkeluar akidah agama sudah memadai buat saya.”
Menurut aktor kelahiran Singapura ini juga, apa yang dipamerkan dalam filem khususnya filem Akhirat bukanlah gambaran dirinya yang sebenar.
“Saya harap orang tengok saya dalam filem itu sekadar lakonan semata-mata. Karakter saya sangat berbeza di luar filem,” ujarnya mempertahankan diri.
Saya tak liar - Nabila Huda
Kerap kali watak liar dan seksi akan diberikan kepadanya. Entah mengapa keadaan itu berlaku, tuan punya badan sendiri kurang mengerti.
Malah watak tersebut pada mulanya telah diberikan kepada seorang lagi pelakon jelita namun ditolak olehnya kerana watak itu didakwa terlalu daring untuk dilakonkan.
Kala diajukan soalan mengapa dia sering ditawarkan watak sedemikian, kata Nabila, dia berani menerima tawraan itu semata-mata kerana lakonan.
“Saya tidak boleh tutup mulut orang berkata yang buruk mengenai diri saya. Saya menerima watak itu kerana saya profesional dan tidak kisah dengan apa yang akan diperkatakan oleh orang. Semua orang berhak untuk bercakap.
“Bagi saya bila kita berlakon dan ditegur maknanya orang masih lagi memberi perhatian kepada kita. Saya mahu tunjuk bakat saya bukan untuk kontroversi atau glamor semata-mata,” ujar Nabila menyuarakan perasaannya.
Menurut anak kepada legenda rock, Amy Search ini lagi, watak Noni dalam filem Akhirat merupakan karakter yang mencabar buatnya dan ia merupakan watak penting yang pernah dilakonkannya.
“Susah sangat nak bawa watak ini. Tapi saya belajar dengan bertanya kepada rakan-rakan senior bagaimana untuk menjayakan watak itu.
“Lagi pun saya suka bergaul dengan orang-orang yang lebih berusia dan berpengalaman untuk menambahkan ilmu. Daripada duduk melepak membuang masa, lebih baik saya timba ilmu daripada mereka yang arif,” kata gadis berusia 23 tahun ini lagi.