Budaya filem adalah penting bagi menjamin kelangsungan sesebuah industri filem. Budaya filem wujud di mana-mana saja filem-filem ditayangkan, ditulis dan diwacanakan. Budaya filem adalah satu proses yang diukur oleh segala wacana yang berkisar kepada filem-filem dan urusan berkenaan, kraf produk filem dan juga industri yang melahirkannya. Semua wacana ini akan membentuk segala nilai, amalan, aktiviti dan institusi. Dalam konteks negara kita, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sepatutnya menjadi antara badan yang bertanggungjawab membangunkan budaya filem di Malaysia.
Pada salah satu hari Sabtu dalam bulan Mei yang lepas, saya berada di pawagam Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menonton filem tempatan yang menjadi siri program “merakyatkan filem” yang dianjurkan oleh Finas. Bagaimanapun, filem yang menjadi pilihan untuk tayangan adalah Mr. Os (1987) arahan A.R.Badul. Persoalannya di sini, tidak cukupkah filem-filem dan drama tempatan yang ada sekarang menghina dan meremehkan intelligence para penonton? Malah, tayangan untuk bulan Jun juga adalah sebuah lagi filem arahan A.R.Badul, Keluarga 99 yang diterbitkan pada 1987. Sebenarnya, biarkan saja filem-filem ini diulang berkali-kali tayangan di saluran televisyen tempatan.
Siri program “merakyatkan filem” anjuran Finas ini adalah satu usaha yang baik sebenarnya jika tujuannya adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan filem. Tetapi usaha ini haruslah dilakukan bersungguh-sungguh sehingga dapat membangunkan budaya filem yang sebenar. Selain dapat memupuk masyarakat mencintai dan menghargai filem-filem tempatan, tujuan yang lebih utama adalah dapat meningkatkan tahap kecelikan filem di kalangan masyarakat.
Menerusi program seumpama ini, Finas sebenarnya dapat mempromosi berkenaan pendidikan terhadap seni filem dan imej bergerak secara umumnya, dan melihat impaknya kepada masyarakat. Selain itu, Finas perlu mempromosi akses kepada banyak filem-filem tempatan dan seluruh dunia, dan juga aspek apresiasi filem-filem ini.
Jika tujuan program ini untuk menayangkan filem-filem lama (terutamanya yang dihasilkan di sekitar 1980-an), Finas sepatutnya memilih filem-filem yang jarang ditayangkan di kaca televisyen dan filem-filem yang kurang mendapat sambutan tetapi mempunyai nilai-nilai tertentu yang boleh diapresiasikan. Contohnya, Abang (arahan Rahim Razali, 1981), Pemburu (arahan Rahim Razali, 1982), Langit Petang (arahan Shahrom Md. Dom, 1982), Kami (arahan Patrick Yeoh, 1982), Ranjau Sepanjang Jalan (arahan Jamil Sulong, 1983), Jasmin (arahan Jamil Sulong, 1984), Jasmin 2 (arahan Kamarul Ariffin, 1986), Tsu-Feh Sofiah (arahan Rahim Razali, 1986), Kembara Seniman Jalanan (arahan Nasir Jani, 1986), Rahsia (arahan Othman Hafsham, 1987), Yassin (arahan Kamarul Ariffin, 1989), dan beberapa lagi.
Saya tidak mengatakan ini adalah senarai filem-filem Melayu terbaik keluaran 1980-an tetapi saya percaya filem-filem ini perlu ditonton oleh generasi muda hari ini kerana mengandungi nilai-nilai dan pemikiran tertentu yang dibawa. Selain itu, filem-filem ini juga adalah filem-filem yang telah mendapat anugerah di festival filem Malaysia sebelum ini, dan kebanyakannya pula tidak kerap ditayangkan di kaca televisyen.
Filem Ranjau Sepanjang Jalan umpamanya yang diadaptasi dari novel karya Shahnon Ahmad pernah ditayangkan di salah satu saluran televisyen di Australia, Special Broadcasting Service (SBS) dan sudah tentu generasi muda hari ini tidak pernah menonton filem ini. Filem ini juga telah memberi inspirasi kepada salah seorang pengarah terkenal Kemboja, Rithy Panh dan produser filem Perancis menghasilkan sebuah filem Kemboja, Rice People (1994) yang juga berdasarkan dari novel yang sama karya Shahnon Ahmad. Malah, Finas juga boleh menayangkan kedua-dua buah filem ini sebagai perbandingan. Selain Ranjau Sepanjang Jalan, saluran televisyen Australia tersebut pernah menayangkan filem Matinya Seorang Patriot (arahan Rahim Razali, 1984) dan Kaki Bakar (arahan U-Wei Haji Saari, 1995).
Pada Julai lalu, program ini juga diselitkan sebagai salah satu acara sempena sambutan Festival Kuala Lumpur 2008. Filem-filem tempatan yang terpilih ditayangkan di pawagam Coliseum dan juga Galeri Perfileman Finas, Jalan Pahang. Antara filem tempatan yang terpilih adalah Duyung (arahan A. Razak Mohaideen), 1957: Hati Malaya (arahan Shuhaimi Baba), Dunia Baru The Movie (arahan Hitler Zami), Kala Malam Bulan Mengambang (arahan Mamat Khalid), Cuci (arahan Hans Isaac), Congkak (arahan Ahmad Idham) dan Akhirat (arahan Syed Mohamad).
Saya merasakan selain filem-filem yang disenaraikan ini, ada filem-filem lain yang memaparkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia perlu ditayangkan (terutamanya bagi tatapan pelancong luar negara). Antaranya adalah Mukhsin (arahan Yasmin Ahmad) yang baru ditayangkan di Manhattan baru-baru ini; Flower in the Pocket (arahan Liew Seng Tatt) yang meraih anugerah di Pusan, Rotterdam dan Fribourg, Switzerland; dan Chalanggai (arahan Deepak Kumaran Menon) yang mendapat anugerah filem digital terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu.
Setakat ini, Finas memang telah membuat beberapa siri program tayangan filem tetapi ibarat melepaskan batuk di tangga. Pemilihan filem juga merupakan faktor yang penting dalam menjayakan program seumpama ini. Malah kebanyakan program tayangan filem di Kuala Lumpur dijayakan oleh pihak lain. Antaranya adalah Kelab Seni Filem Malaysia (di Kolej Universiti HELP), Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac), Sentul dan beberapa lagi. Finas perlu lebih agresif dalam hal ini. Lihat saja British Film Institute (BFI) yang dengan sendirinya menguruskan beberapa buah pawagam art house di seluruh Britain dengan tayangan filem-filem terpilih dari Britain dan seluruh dunia. Selain itu, BFI juga mempunyai arkib filem yang terbesar di dunia dan juga mengendalikan aspek penerbitan seperti DVD dan juga buku-buku (yang kebanyakannya akademik sifatnya) serta majalah filem yang terkenal, Sight and Sound. BFI juga bertanggung jawab menganjurkan Festival Filem London yang diadakan saban tahun.
Usaha Finas di dalam aspek penerbitan buku wajar dipuji. Sudah beberapa buah buku berkenaan dengan sinema Malaysia, filem dan juga industri filem telah diterbitkan; antaranya adalah Jejak Terbilang, Sutradara Kontemporari Malaysia, Malaysian Films: The Beginning, Prinsip Filem Dokumentari: Penilaian, Penceritaan & Kritikan, dan beberapa lagi. Finas sepatutnya memperkembangkan lagi aspek penerbitan ini dan perlu bekerjasama dengan banyak pihak. Penerbitan majalah berskala Sinema Malaysia memerlukan kemajuan dari segi pengisiannya. Majalah ini tidak sepatutnya hanya menjadi buletin biasa yang memuatkan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan Finas dan juga tulisan berkenaan filem tempatan yang hanya memuatkan sinopsis cerita dan pandangan superfisial para penulis. Majalah ini perlu memuatkan artikel-artikel yang lebih serius tentang filem dan juga ulasan-ulasan filem yang lebih mendalam dan kritis pendekatannya.
Program Apresiasi Filem yang dijalankan oleh Finas adalah satu usaha yang baik sebenarnya. Bagaimanapun, setakat ini program Apresiasi Filem ini kurang menyerlah kerana perbincangan dan wacana kurang pengisian. Malah, para panel juga seringkali hanya menceritakan hal-hal dalam produksi dan masalah yang mereka hadapi sewaktu penggambaran filem. Ada juga sesi apresiasi ini melibatkan hal-hal yang bersifat peribadi. Ini semua bukanlah apresiasi filem.
Apresiasi filem haruslah melibatkan aspek wacana yang lebih serius dengan melihat bagaimana elemen-elemen dalam filem (bentuk naratif, mise-en-scene, sinematografi, suntingan, bunyi) yang diwacanakan itu berfungsi dan berperanan, dan memberi kesan tertentu. Boleh juga melihat bagaimana elemen-elemen ini berinteraksi antara satu sama lain untuk mengangkat filem tersebut sebagai satu sistem yang menyeluruh. Apresiasi filem juga boleh dikendalikan dengan melihat sesebuah filem dari perspektif lain yang merentasi disiplin (bukan sahaja filem sebagai filem, atau filem sebagai seni); contohnya, filem sebagai produk budaya popular, filem sebagai sumber ilmu (pengetahuan) dalam mengangkat sesuatu idea falsafah, persoalan politik representasi yang melibatkan gender, seksualiti, kaum dan kelas sosial, dan berbagai lagi.
Salah satu lagi aktiviti tahunan yang diharap dapat menyemarakkan budaya filem ialah Festival Filem Malaysia (FFM) yang sudah diadakan sebanyak 21 kali. Setakat ini, FFM kurang mendekati khalayak dan Finas serta penganjur lain lebih menekankan hal-hal yang bersifat glamor dan bergemerlapan sahaja. FFM ini sebenarnya perlukan perubahan yang radikal jika ingin meningkatkan kualiti penganjurannya. Bersesuaian dengan temanya yang saban tahun menekankan “kecemerlangan.”
Antara perkara yang penting adalah berkenaan pengadilan filem yang dijalankan oleh juri-juri yang terpilih. Sebelum ini Finas telah menganjurkan sebuah seminar hanya membincangkan tentang kaedah penjurian tetapi bagaimana pula filem-filem yang dipertandingkan dinilai? Apakah kriteria yang paling penting dalam memilih sebuah filem terbaik dengan cara yang lebih objektif? - adakah tahap realismenya?; tahap pengucapannya (expressiveness) dari segi stail visual?; inovasi dalam konteks genre?; ataupun lain-lain kualiti yang memberangsangkan? Bila menilai sesebuah filem, perlu diingat yang tidak ada satu pendekatan stail atau tradisi filem yang “lebih baik” dari yang satu lagi. Sudah tentu banyak faktor yang perlu diambil kira.
Sudah tentu kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia terjadi di sini. Contohnya pada tahun 2006, seramai 25 orang penggiat filem mereka (termasuklah pelakon popular Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo) telah memulangkan semula piala Citra yang dimenangi mereka pada festival filem Indonesia yang sebelumnya. Mereka melakukan protes kerana tidak puas hati kerana festival pada tahun tersebut memberi kemenangan kepada filem yang rata-ratanya dikatakan rendah kualitinya, Ekskul (arahan Nayato Fio Nuala).
Kita seharusnya belajar daripada peristiwa ini. Pihak kerajaan juga seringkali meuar-uarkan tentang pembangunan “modal insan.” Justeru, inilah masanya rakyat kita didedah dan dipupuk dengan budaya seni yang lebih menyeluruh (termasuklah seni filem dan imej bergerak). Kita percaya yang kehidupan yang maju dan menyeluruh tidak bersandarkan kepada kesejahteraan ekonomi dan material semata-mata; ia juga dijamin dan perkayakan menerusi kesenian. Selain institusi pendidikan, Finas juga dapat bersama-sama membantu dalam melahirkan lebih ramai generasi yang celik filem di kalangan penggiat, peminat filem dan khalayak umum kerana ini juga akan membantu membangunkan industri filem dalam tempoh jangka panjang.
Di sinilah Finas sepatutnya memainkan peranannya secara lebih serius dan perlu memastikan yang perubahan akan berlaku dengan jayanya. Oleh kerana seni filem bukan hiburan semata-mata tetapi juga “santapan minda,” aktiviti-aktiviti seperti tayangan dan apresiasi filem, penerbitan dan penulisan, dan juga penganjuran filem festival adalah sangat signifikan dalam membentuk budaya filem yang lebih intelektual di Malaysia.
A. R . Badul
Datuk Paduka Shuhaimi Baba
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Yeop Hitler
Mamat Khalid
Hans Isaac
Ahmad Idham
Syed Mohamed
Duyung
1957: Hati Malaya
Dunia Baru The Movie
Kala Malam Bulan Mengambang
CUCI
Congkak
Akhirat