Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
![]() |
TAMPIL dengan sembilan buah filem, David Teo menerima sejumlah RM1.03 juta pemulangan semula galakan kewangan hasil duti hiburan daripada Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis penyerahan duti hiburan, baru-baru ini. |
DIWUJUDKAN dengan matlamat untuk membantu membangunkan industri perfileman negara supaya lebih berdaya maju, Dasar Perfileman Negara (DFN) sememangnya memerlukan sokongan semua bagi memacu karya tempatan ke peringkat lebih tinggi. Bukan sahaja mampu dibanggakan di gelanggang sendiri, DFN turut menetapkan objektif agar hasil seni anak tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Bertahun meniti perjalanan selepas penubuhannya diluluskan sekitar 2005, namun, ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki agar DFN akan terus relevan. Justeru, atas dasar itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini menganjurkan sesi retreat dalam menilai semula strategi pelaksanaan dasar berkenaan.
Berlangsung November lalu dengan dihadiri kalangan mereka yang kuat memperjuangkan nasib filem negara, hasil daripada retreat itu bakal dikemukakan kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pada Januari nanti. Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, selain usul yang dikemukakan oleh pihak Finas sendiri, retreat tersebut turut mendapat sokongan serta pandangan daripada Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM). PFM, katanya, antara lain meminta agar wakil daripada pihak mereka dilibatkan sama dalam jawatankuasa Skim Wajib Tayang. "Mereka mahukan lebih pembabitan dalam skim terbabit. Selain skim itu, PFM juga memohon agar kemasukan filem-filem luar dikurangkan. "Ia sebagai memberi lebih ruang kepada filem-filem tempatan untuk diberikan keutamaan ditayangkan.
"Namun, saya merasakan bahawa cadangan berkenaan tidak akan dilaksanakan buat masa ini,'' katanya ketika ditemui di majlis santai mesra bersama seniman dan seniwati legenda serta penyampaian duti hiburan di Galeri Perfileman, di ibu negara, baru-baru ini. Antara seniman dan seniwati yang hadir memeriahkan majlis tersebut adalah Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Mustapha Maarof , Datuk Aziz Satar, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Datin Umi Kalthum, Datin Rosnani Jamil dan Mariani. Majlis ramah mesra itu turut diserikan dengan sesi dialog yang mana setiap daripada mereka menceritakan rahsia serta pengalaman sewaktu mula-mula bergelar pelakon.
Menyambung bicara, Mohd. Mahyidin berkata, sesi retreat juga mencadangkan serta menyokong agar penggiat filem diberikan ruang yang lebih untuk menjalin kerjasama dengan produksi luar. Seperkara lain, jelasnya, beberapa pelaksanaan dalam Skim Wajib Tayang juga perlu dikaji semula. "Sesebuah filem itu akan ditayangkan di pawagam untuk tempoh dua minggu yang termaktub di dalam 'wajib tayang'. "PFM mencadangkan agar jangka waktu itu dipanjangkan," katanya. Sementara itu, Mohd. Mahyidin menjelaskan bahawa jumlah kutipan filem-filem tempatan pada tahun ini dijangka mencecah angka lebih RM50 juta. Ujarnya, jumlah itu dilihat meningkat berbanding RM43 juta pada tahun lalu.
Peningkatan itu, jelasnya, sedikit sebanyak disumbangkan kepada peningkatan jumlah filem yang dihasilkan pada tahun ini iaitu sebanyak 26 buah filem. "Tahun depan iaitu 2010, kita jangkakan jumlah kutipan itu akan terus meningkat. "Ini kerana, akan ada lagi beberapa pawagam baru yang bakal dibuka. Berdasarkan rekod, ada enam lagi pawagam baru akan dibuka pada tahun depan. "Sekarang ini, terdapat 98 buah pawagam dan sekitar Mac nanti, jumlah itu akan melebihi 100 buah pawagam. Pertambahan tersebut akan menambahkan jumlah skrin kepada 500 buah dan lebih 100,000 kerusi untuk tontonan,'' katanya.
Dalam pada itu, di majlis penyampaian duti hiburan tersebut, sebanyak lapan penerbit tempatan menerima pulangan semula Galakan Kewangan berjumlah RM2.4 juta. Penerbit terbabit adalah MIG Production Sdn. Bhd. dengan kutipan duti hiburan sebanyak RM1.03 juta diikuti Primeworks Studios Sdn. Bhd. (RM719,181.02), Skop Productions Sdn. Bhd . (RM53,669.86), KRU Studios Sdn. Bhd. (RM97,932.02), Les Copaque Production Sdn. Bhd. (RM181,362.16), Galaksi Seni Sdn. Bhd. (RM215,391.22), Vision Works (M) Sdn. Bhd. (RM25,789.46) dan Da Huang Pictures Sdn. Bhd. (RM4,191.48). MIG Production menerima duti tersebut melalui sembilan filem antaranya Congkak, I'm Not Single, Syurga Cinta, Jangan Tegur dan Senario The Movie - Episode 1.
Manakala Primeworks Studios dengan filem Budak Kelantan, Sifu & Tonga, Antoo Fighter, Susuk, Talentime, Sepi, Rasukan Ablasa, Kami serta Dunia Baru The Movie . Produksi lain adalah Skop Productions (Bohsia), Kru Studios (Cicakman 2 : Planet Hitam, Jin Notti), Da Huang Pictures (Punggok Rindukan Bulan, Flower In The Pocket ), Les Copaque (Geng), Galaksi Seni (Momok The Movie) dan Vision Works (Los Dan Faun). "Tahun ini, jumlah keseluruhan penyerahan duti hiburan adalah melebihi RM10 juta berbanding tahun lepas iaitu RM9 juta. "Skim Wajib Tayang membolehkan filem tempatan yang ditayangkan menerusi Syarat Wajib Tayang Finas layak menerima 25 peratus hasil kutipan di pawagam,'' tambahnya.
Mohd Mahyidin Mustakim
Jins Shamsudin
Dato' Mustapha Maarof
Datuk Aziz Sattar
Sarimah
Dato' Maria Menado
Datin Hajah Umi Khaltum
Datin Hajah Rosnani Jamil
MIG Production Sdn. Bhd.
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Skop Production Sdn. Bhd.
KRU Studios Sdn. Bhd.
Les' Copaque Production Sdn. Bhd.
Vision Works (M) Sdn Bhd
Da Huang Pictures Sdn Bhd
Congkak
I'm Not Single
Jangan Tegur
Senario The Movie: Episode 1
Budak Kelantan
Sifu & Tongga
Antoo Fighter
Susuk
Talentime
Sepi
Rasukan Ablasa
Dunia Baru The Movie
Cicakman 2: Planet Hitam
Jin Notti
Punggok Rindukan Bulan
Flower In The Pocket
Geng: Pengembaraan Bermula
Momok The Movie
Los dan Faun
Artikel Terkini