KEMBARA Hip hingga ke Kuala Kangsar, Perak demi mencari kesahihan cerita kononnya pelakon berbakat besar Ummi Nazeera, 19, adalah anak ahli perniagaan yang dimaksudkan dikasari Remy Ishak minggu lalu. Ceritanya, sehari selepas kejadian terbabit, Remy diserang sekumpulan tujuh lelaki di Istana Budaya. Difahamkan serangan itu berpunca daripada kejadian yang menimpa Ummi. Hip juga dimaklumkan rentetan kedua peristiwa itu, masing-masing dikatakan sudah membuat laporan polis.
Remy yang ketika ini sedang sibuk dengan pementasan teater muzikal Natrah sudah membuat kenyataan mewakili dirinya. Sebaiknya, Ummi juga berhak berkongsi perasaan terhadap apa yang terjadi. Atas bantuan dan keizinan sutradara Mamat Khalid, Ummi akhirnya berjaya ditemu bual. Itu pun selepas hampir seharian menanti, Ummi yang kebetulan terbabit dengan penggambaran filem Hantu Mak Limah Balik Rumah arahan pengarah itu terbitan Tayangan Unggul. Selepas dipujuk pengurusnya yang mesra dengan panggilan Abang Lan, Hip memberi ruang untuk pelakon comel itu bersuara. Bagaimanapun, pada mulanya Ummi enggan mengeruhkan lagi keadaan berhubung permasalahan itu. Redup matanya seperti menyembunyikan sesuatu yang tidak terluah. Gerak bibirnya seakan tersekat menyimpan satu rahsia besar. Secara jelasnya juga dalam kenyataan Remy sebelum ini tidak menyatakan nama Ummi secara terang-terangan.
Namun, sudah ramai yang menebak bahawa yang dimaksudkan jejaka kacak dan sedang popular gara-gara drama Nur Kasih itu adalah Ummi. Puas dipujuk akhirnya Ummi bersedia memberi kenyataan sambil berharap isu ini tidak akan terus berpanjangan. Dalam hal ini, kata Ummi tiada siapa yang salah atau betul. Malah tidak timbul alasan dia cuba melarikan diri daripada media. “Memang berlaku salah faham membabitkan saya dan dia (Remy). Semuanya berlaku secara tak terduga dan ia sama sekali tidak dirancang. Saya sedar ramai pihak media yang ingin mendapat ulasan lanjut berhubung perkara ini. Cuma nak dijadikan cerita, telefon bimbit saya rosak. “Saya minta maaf jika ada buat salah dan menyusahkan mana-mana pihak. Saya seboleh-bolehnya saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Harap ia tidak akan terus diperdebatkan dan saya mahu ia selesai secara baik. Selebihnya saya tak mahu komen,” kata Ummi sambil mengharapkan pengertian ramai.
JIKA temu bual membabitkan Remy turut ditemani Maya Karin, hal yang sama juga terjadi kepada Ummi kerana Awie sudi memberi sokongan moral di belakangnya. Awie sendiri yang memberi nasihat kepada Ummi supaya tidak terus ‘bersembunyi’ dan berselindung kerana pada akhirnya hal ini akan diketahui juga. Nampaknya motivasi yang diberi Awie sedikit sebanyak membuka mata Ummi untuk terus bijak menangani setiap masalah dengan bijak. Barangkali selepas Remy yang pernah digosipkan melalui cinta lokasi dengan Ummi, Awie pula yang menjadi peneman setianya di lokasi filem terbaru Mamat Khalid itu. Tapi awas, Awie sudah bergelar suami orang. Seloroh Ummi di awal bicara, aktor berbadan sasa itu banyak memberi sokongan moral kepadanya. Paling penting mereka perlu mewujudkan keserasian demi tuntutan watak Cik Nin dan Hussein yang menjadi pasangan kekasih.
“Atas ‘desakan’ Abang Mamat, saya sendiri yang menegur dia (Awie) untuk memulakan bicara sekali gus mahu memastikan watak kami terus berkembang dengan baik. Dia pun sangat menyokong dan saya senang bekerja dengannya termasuk dengan kru lain. Dia seorang abang yang sangat baik. “Selepas filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie dan Hikayat Merong Mahawangsa, saya buat pertama kalinya dapat bekerjasama dengan Abang Mamat. Tawaran berlakon filem ini saya terima sebelum undangan berlakon drama Spa Qistina. Kerana pertembungan tarikh, akhirnya saya terpaksa melepaskan watak Maya dalam drama itu. “Saya mendapat tahu, Tiz Zaqyah akan merealisasikan watak itu. Saya keluar dengan baik kerana produksi drama itu, Global Station memahami situasi saya. Insya-Allah selepas tamat penggambaran filem ini, saya akan serius memikirkan soal untuk melanjutkan pengajian,” katanya tulus.
MENURUT Ummi, dia akan mempercepatkan proses menyambung belajar dalam bidang perniagaan di luar negara. Ketika ini, Ummi belum tahu di mana lokasi pilihannya. Katanya lagi, dia akan berhenti berlakon selama dua tahun demi memberi tumpuan kepada soal akademik terbabit. “Keputusan nak sambung belajar ini tiada kaitan dengan masalah yang saya lalui sekarang. Hakikatnya, saya pernah mengeluarkan kenyataan untuk sambung belajar sejak awal tahun lagi. Pemilihan bidang itu juga atas pilihan sendiri dan bukan kerana permintaan keluarga,” katanya ringkas yang pada mulanya mahu memilih pengajian bidang lakonan.
SEMENTARA itu, Awie yang lebih dulu makan garam sedia berkongsi pengalamannya dengan Ummi. Tidak seperti Ummi yang masih setahun jagung, Awie juga pernah berdepan dengan kemelut kehidupan dan kontroversi apabila kisah peribadi mula dipaparkan buat tatapan segenap masyarakat. Malah, dia yang cukup sinonim dengan kumpulan rock Wings itu juga sedar menjadi figura awam memang senantiasa diperhatikan dalam pelbagai aspek baik negatif mahupun positif. Apa yang terjadi kepada Ummi barangkali hanya suku saja rencah pengalaman yang pernah dilalui Awie. “Dia (Ummi) antara bakat baru yang ada masa depan yang cerah itu pun jika tidak membabitkan kisah negatif yang boleh mencalar namanya. Dia juga masih muda dan jauh lagi perjalanan. Dia wajar di beri peluang untuk ke depan.
“Sebagai orang yang lebih senior daripadanya, Ummi perlu menghadapi kenyataan dan relaks. Tarik nafas panjang dan cakap benda yang benar. Ini kerana kalau semakin berdiam diri, sesuatu masalah tidak akan terhenti. Tak perlu berselindung dan mengaibkan orang lain. “Sebaiknya, kalau ada masalah, hanya memohon maaf dan jangan terus memanjangkan cerita. Lambat laun, masyarakat akan tahu kebenarannya juga. Berdiam juga tak akan melarikan kita daripada kenyataan hidup. Kalau sudah bersuara bererti sudah selesai bahagiannya,” kata Awie sambil memberitahu Mamat Khalid yang terlebih dulu menyuruhnya untuk menegur Ummi, namun pada akhirnya Ummi yang memulakannya.
Remy Ishak
Ummi Nazeera
Mamat Khalid
Maya Karin
Awie
Lu Pikirlah Sendiri de Movie
Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Artikel Terkini