Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

20 Januari 2010 : Berita Harian

Masih Berbisa

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

ANITA bersama peminat setia.

KONSERT Rahsiamu Rahsiaku Anita Sarawak dan Ismail Haron di Max Pavilion, Singapura, pada 16 Januari lalu tentunya detik yang bukan hanya menjadi kenangan indah buat peminat kedua-dua penghibur veteran itu, bahkan ia juga saat begitu bersejarah buat kedua-dua penyanyi itu sendiri.

Selepas mencipta nama sebagai pasangan duet cukup popular pada era 70-an dan 80-an, konsert anjuran Kampong Glam Cafe dan diterbitkan Mediamorpohosis itu menyatukan kembali kedua-duanya dalam sebuah acara yang menghiburkan hampir 4,000 penonton yang memenuhi dewan. Ia muncul konsert pertama Anita dan Ismail biarpun nama mereka cukup dikenali sebagai pasangan duet yang banyak menghasilkan lagu popular seperti Menunggu Nasi Minyak, Kini Telah Tiba dan Rahsiaku Rahsiamu.

Justeru, tidak hairan apabila ribuan penonton memenuhi dewan persembahan malam itu kerana masing-masing nyata rindukan kemunculan dua bintang pujaan mereka. Peminat yang rata-rata berusia 40 tahun ke atas itu juga amat sedar, mereka tidak akan pulang kehampaan kerana kedua-duanya bagai sudah sinonim dengan persembahan memberangsangkan dan penuh bertenaga. Atas hakikat itu, peminat sedia mengeluarkan duit untuk mendapatkan tiket konsert yang dijual pada harga S$55, S$70, S$90, S$120 dan S$150.

Nyata, Konsert Rahsiaku Rahsiamu berupaya meninggalkan kesan cukup mendalam. Anita dan Ismail mempamerkan persembahan mantap dan bertenaga, walaupun masing-masing sudah pun berusia 57 dan 63 tahun. Usia bukan halangan untuk mereka menari, menyanyi dan beraksi dengan baik di pentas. Anita pada malam itu umpama seorang artis remaja yang cukup lincah. Kemunculannya penuh bersemangat saat menyanyikan lagu secara duet mahupun berseorangan.

Dia memulakan konsert dengan rangkaian lagu rancak iaitu Ular, Akhirnya Kini Pasti dan Seksis. Kemudian, Anita berkongsi ceritanya ketika merakamkan album duet bersama Ismail dengan penonton. Dia mendedahkan, betapa mereka tidak berkesempatan untuk mengadakan konsert bersama, biarpun banyak menyanyikan lagu popular secara berdua. Begitu juga betapa dia dan Ismail tidak banyak menghabiskan masa bersama-sama selain di bilik rakaman dan persembahan. Tetapi, penganjuran konsert itu membolehkan mereka berdua kembali berhubungan. Baginya, Ismail sentiasa seorang abang yang cukup dihormatinya.

Tidak dilupakan, Anita menyelitkan acara wajib iaitu mengusik peminat. Kali ini, dia turun ke bawah pentas untuk beramah-mesra dengan dua peminat lelaki serta berkongsi jenaka mengenai perkahwinan mereka bersama hadirin yang lain. Kebijaksanaan Anita mencuit hati menerusi komunikasinya yang ringkas dan selamba, nyata menghidupkan suasana. Pendek kata, segmen solonya kelihatan begitu hidup dan segar. Kebijaksanaan beginilah yang harus dipelajari artis muda kita demi menjadi penghibur yang berjaya. Bukan saja lincah di pentas, malah Anita pintar mengawal suasana konsert.

Lagu lain yang turut disampaikan penghibur ini bagi segmen solonya ialah Sophisticated Lady, Lodeh Mak Lodeh, Dengar Ini Cerita dan Proud Mary. Ismail mengambil alih pentas dengan mempamerkan kemantapan vokal garau miliknya menerusi beberapa lagu seperti Jangan Marah Lili, Joget Mak Andam, Green Green Grass of Home dan Delilah, yang sering kali dinyanyikan sama oleh penonton. Kehebatan vokal penyanyi ini memang bertepatan dengan jolokan diterima, Tom Jones Singapura.

Bagaimanapun, lagu paling ditunggu-tunggu ramai pada malam itu tentunya Ilham Pujangga. Bagai terdiam seketika dewan di Max Pavilion apabila suara penuh tenaga Ismail bergema menyampaikan lagu ‘keramat’ yang cukup puitis dengan lirik patriotiknya. Tidak banyak yang dibualkan Ismail, jika hendak dibandingkan dengan Anita. Pergerakannya juga agak terhad, selain mencuit hati peminat dengan beberapa gelekan. Akui penyanyi veteran ini, dia tidak selincah Anita yang memang terkenal dengan kecergasan. Begitupun, Ismail utuh dengan kekuatan vokal jantannya.

Apabila mereka muncul dalam segmen ketiga, secara duet, suasana persembahan bertukar rentak. Saat ini, Anita banyak memimpin persembahan, tetapi tidak pernah melupakan kehadiran Ismail di sisinya. Ketika itu juga, Anita dan Ismail menonjolkan permainan karakter bagi menghidupkan persembahan. Ada ketika Anita beraksi sebagai kanak-kanak, manakala Ismail sebagai lelaki lebih tua tatkala mengalunkan lagu Joget Pak Mat Kahwin Lagi. Ada masa pula mereka beraksi sebagai pasangan suami isteri, sebagaimana dapat disaksikan menerusi lagu Kesah Dol Dan Minah.

Pasangan ini turut menghiburkan peminat mereka dengan lagu Menunggu Nasi Minyak, Tiada Jodoh, Gabus Tarbus, Kini Telah Tiba, Rahsiaku Rahsiamu, Mustafa dan Bad Moon Rising. Agak menarik apabila mereka juga memilih untuk menyanyikan lagu dalam dialek Bawean, La Obe. Kata Anita, dia berusaha menjiwai lagu itu dengan sebaiknya walaupun dia sendiri tidak fasih menggunakan dialek berkenaan. Persembahan dua penghibur ini diiringi tujuh pemuzik dan tiga penyanyi latar, dengan muziknya dipimpin Indra Shahrir.

Terharu sokongan peminat

ANITA dan Ismail terharu konsert Rahsiaku Rahsiamu mendapat sambutan hangat.

SEMENTARA itu, ketika ditemui selepas konsert berakhir, Anita dan Ismail melahirkan rasa terharu mereka apabila konsert berkenaan mendapat sambutan begitu baik daripada peminat. "Kak Nita dimaklumkan, sampai saat-saat akhir pun masih ada peminat yang berbaris untuk membeli tiket. Sokongan ini sungguh mengharukan kami berdua. Insya-Allah, konsert ini bukanlah yang pertama dan terakhir untuk buat kami," kata Anita.

Kedua-duanya juga tidak lupa memuji antara satu sama lain. Ismail umpamanya memuji Anita yang dianggapnya sebagai penghibur terbaik di Asia. Akuinya, pada usianya sekarang, dia tidak lagi mempunyai tenaga yang banyak, sebagaimana ditunjukkan Anita. Begitupun, pengalamannya menyanyi di kelab selama lebih tiga dekad banyak membantunya menghidupkan suasana. Celah Anita, Ismail sendiri begitu bertenaga, apatah lagi apabila penonton memberikan tindak balas yang baik sepanjang persembahan. "Peminatlah yang sebenarnya meletakkan kami pada kedudukan kami hari ini," katanya yang tidak melupakan jasa peminat sehingga mereka mampu kekal sebagai penghibur selama lebih empat dekad.

Idea penganjuran konsert berkenaan ditimbulkan Kampong Glam Cafe kira-kira enam bulan lalu. Sejak itu, persediaan dilakukan dengan sebaiknya dengan latihan persembahan sendiri dilakukan sebanyak tiga kali, bermula 14 Januari. "Maknanya, bukan sekali saja kami mengadakan konsert, bahkan beberapa kali," gurau Anita yang berlatih selama enam hingga lapan jam bersama pemuzik dan penyanyi latar setiap kali latihan diadakan, menjelang konsert sebenar. Diminta menceritakan bagaimana dia dan Ismail mula digabungkan sekitar 1972, Anita berkata, ketika itu masing-masing bernaung di bawah label EMI dan syarikat rakaman berkenaan yang mencetuskan idea untuk mereka merakamkan lagu secara duet.

"Ketika itu, masing-masing sudah pun mempunyai album solo sendiri. Apabila EMI mencadangkan supaya kami merakam lagu duet, kami terima saja. Begitupun, kami tidak banyak menghabiskan masa bersama-sama, selain daripada di studio rakaman dan ketika mengadakan persembahan. Sebanyak 24 lagu duet sempat dirakam sekitar tahun 1970-an," kata Anita yang tidak merakamkan lagu secara duet bersama penyanyi lain selain Ismail dan Sudirman. Penerbit konsert, Nusaibah Abdul Rahim memberitahu, konsert berkenaan turut dirakam untuk siaran televisyen. Bagaimanapun, tarikh dan saluran yang akan menyiarkannya belum dapat diputuskan.

Profil Berkaitan

 Anita Sarawak  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD