Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

13 September 2009 : Harian Metro

Mardiana Ganti Zarina

Oleh Elrafaei Sapi

Zarina yang dicungkil bakatnya sebelum ini menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), membuat keputusan untuk berundur selepas 10 hari latihan dijalankan di Istana Budaya.

Apa yang menjadi persoalan, dia hanya menghantar keputusan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim kepada pengurus Dina, Ayie pada 27 Ogos lalu. Dina yang dicungkil bakatnya melalui program Malaysian Idol, turut menjayakan pementasan ini.Pengarah Urusan, Global Network Entertainment merangkap Penerbit Eksekutif teater berkenaan, Zaharuddin Abdul Wahab atau Den Wahab berkata, dia sudah banyak kali menghubungi Zarina termasuk menghantar SMS untuk berbincang perkara itu lebih lanjut. Bagaimanapun, katanya, Zarina tidak memberi sebarang reaksi hingga menyulitkan pihak produksi.

“Ketiadaan Zarina dalam teater ini tidak menjejaskan apapun pada perjalanan latihan mahupun pementasan nanti. Cuma, saya kesal dengan sikap dia yang tidak profesional untuk duduk berbincang apa-apa tindakan yang diambil. “Sebelum ini, kita beri peluang pada dia untuk terbabit dalam pementasan pertama dulu kerana kesanggupannya memberi komitmen pada teater ini. Malah, dia juga hadir pada satu perbincangan bersama Esplanade sebelum ini.

“Walaupun sikapnya menyusahkan produksi dan pelakon lain yang terbabit, saya sendiri tidak berdepan masalah mencari pelakon pengganti dengan cepat. Ketika mencari pelakon pengganti yang sesuai, Juhara Ayob mencadangkan nama Mardiana Alwi. “Nyata, ketika uji bakat, Mardiana mempunyai bakat berlakon, menari dan vokal dengan baik. Dia sememangnya sesuai memainkan watak utama Ika bergandingan bersama pelakon baru, Kamal Adli menggantikan Zulhuzaimy Marzuki,” katanya.

Mardiana yang juga graduan Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menyertai latihan teater ini sejak 4 September lalu. Pemilihan Kamal pula dibuat atas kepercayaan pada bakatnya selepas Zulhuzaimy menarik diri kerana ada komitmen lain.Dalam pada itu, watak Mimie yang sebelum ini dijayakan pelakon Dynas turut digantikan dengan penyanyi kumpulan The Fabulous Cats, Wangi Julianda Indra Meida (Wangi). Kata Den, pemilihan Wangi dibuat atas permintaan pihak Esplanade sebagai penganjur bersama mahu mencari pelakon yang mempunyai kekuatan vokal.

“Pemilihan setiap pelakon dibuat menerusi perbincangan bersama pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Farish Ramli atau Cat Farish serta Abdul Mutalib Nahar (Adib) sebagai jurulatih vokal. Biarpun Dynas digugurkan, pelakon itu bersikap positif dan masih mahu beri sokongan dengan hadir pada pementasan itu di Singapura nanti. “Pementasan kali ini lebih mencabar kerana 36 lagu yang digunakan akan dinyanyikan secara langsung menggunakan khidmat 11 pemuzik dari Istana Budaya. Sebelum ini, persembahan lagu dibuat secara rakaman dan dicampur dengan sebahagian vokal pelakon.

“Pihak Esplanade yang menjadi penaja lokasi turut membantu menyediakan 20 penari. Pastinya, saya berasa teruja dan berbangga untuk mementaskan teater ini nanti, apatah lagi ia menjadi teater moden tempatan pertama yang dipentaskan di sana. “Saya tidak sangka pihak Esplanade berminat dan bersungguh-sungguh untuk mengajak teater ini dipentaskan semula. Saya jangka ia mengambil masa dua tahun untuk dibawa ke sana.

“Sejak dua minggu lalu, jualan tiket mencecah 60 peratus. Apa yang saya harapkan, agar ramai penonton sama ada di Malaysia atau Singapura mengambil peluang hadir untuk menyaksikan pementasan ini. “Hari ini (semalam), wakil pihak Esplanade bersama beberapa wartawan dari Singapura hadir untuk menyaksikan latihan dan ia memberi promosi untuk teater ini. Saya percaya penarikan diri Zarina mempunyai hikmah dan ia juga secara tidak langsung membantu memberikan promosi pada teater ini,” katanya.

Profil Berkaitan

 Zarina Zainoordin (AF2)    Zul Huzaimy     Dynas Mokhtar    Ahmad Idham    Cat Farish  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD