Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

17 Januari 2010 : Berita Harian

Kutipan Terkumpul MIG 2009 RM20j

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

TAHUN 2009 mencatat kejayaan membanggakan buat MIG Production Sdn Bhd yang diterajui David Teo apabila filem keluaran syarikat berkenaan berjaya memungut 40 peratus daripada pungutan keseluruhan filem tempatan yang ditayangkan sepanjang tahun lalu. Daripada kira-kira RM50 juta pungutan dilakukan kira-kira 26 judul filem tempatan sepanjang 12 bulan tahun terbabit, filem MIG berjaya mengumpul sekitar RM20 juta, dengan diketuai filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang memungut RM6.3 juta. Filem lain daripada syarikat itu yang menarik perhatian penonton ialah Jangan Tegur, Syurga Cinta, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys dan Santau.

Menurut David, 2009 tentu sekali tahun paling cemerlang buat syarikat berkenaan selepas kira-kira sedekad membabitkan diri dalam perniagaan filem. "Bukan sekadar berjaya memungut kutipan yang cukup baik, sebaliknya MIG juga berjaya memenuhi sasaran menghasilkan sepuluh judul sepanjang tahun lalu. Sebahagiannya sudah pun menemui penonton di panggung, manakala sebahagian lagi akan membuka tirai tayangan sedikit masa lagi," katanya. Antara filem terbitan syarikat itu yang bersiap sedia menemui peminat di pawagam ialah filem komedi Adnan Sempit, yang mula ditayangkan pada 14 Januari, filem aksi V3: Samseng Jalanan (11 Mac) dan beberapa filem lagi sedang menunggu tarikh tayangan seperti Zoo dan Semerah Cinta Stiletto. Beberapa lagi filem dari syarikat terbabit baru saja tamat penggambaran termasuk Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Mantra, Senario Asam Garam dan Aku Masih Dara.

Ditemui pada majlis doa selamat filem terbarunya, Cuti-Cuti Cinta, di Subang Jaya baru-baru ini, David berkata, kejayaan yang dicapai pada tahun lalu diharap dapat diatasi pada tahun ini. Setidak-tidaknya pencapaian cemerlang berkenaan dapat diulangi menerusi beberapa judul yang dibariskan untuk tayangan sepanjang 2010.
Tegas David, segala pencapaian yang dicipta MIG tidak akan menjadi nyata tanpa sokongan kuat daripada pekerja serta penggiat seni yang berkhidmat bersama syarikat berkenaan. "Selepas sedekad terbabit dalam dunia perfileman, banyak sekali suka duka yang kami terpaksa lalui. Bagi kami, ia lebih kepada pengalaman bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Kini, barulah semua orang dapat menikmati hasil penat-lelah yang ditaburkan selama ini," ujar David.

Tahun ini pula, katanya, ialah tahun harimau mengikut kalendar Cina. Maknanya, mereka akan lebih bekerja keras bagi mencatat kejayaan lebih baik. "Harimau kami pula berkepak dua, dengan harapan ia boleh melonjak lebih jauh," jelas produser ini. Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, 2010 juga menyaksikan MIG terus memberikan ruang buat pengkarya dan pelakon muda mencipta nama bersama syarikat itu. Bahkan, beberapa judul sudah pun dikenal pasti, untuk diterajui pengkarya muda ini, termasuk Farid Kamil yang sebelum ini mengarahkan V3.

Seandainya sepanjang 2009 MIG berjaya menghasilkan sepuluh filem, pada tahun ini pula David berkata, syarikat itu berhasrat menyiapkan 15 judul, bermula dengan filem Cuti-Cuti Cinta arahan pengarah taruhan David, Ahmad Idham. Filem terbabit yang dikategorikan sebagai komedi romantik membariskan pelakon lama dan baru seperti Farid Kamil, Nora Danish, kumpulan The Fabulous Cats, Zed Zaidi, Kaza, Zaibo, Azizah Mahzan, Delimawati dan ramai lagi.

Filem ke-41 MIG itu antara lain memaparkan sebuah kisah percintaan yang disulam perbezaan pandangan antara golongan berada serta mereka yang tidak berharta. Perbezaan itu diharap menjadi daya penarik kepada penonton untuk ke panggung, seterusnya menikmati cerita yang turut diselit kritikan sosial serta pengajaran. Ditanya mengenai kemampuan MIG menghasilkan judul sebanyak itu dalam masa setahun, David menjelaskan, dia mempunyai keyakinan untuk merealisasikan hasrat terbabit. Lebih daripada itu, dia tidak terasa terganggu dengan kemungkinan berlakunya pengulangan genre mahupun penurunan kualiti.

"Jika satu ketika dulu MIG banyak bergantung harap kepada pengarah yang sama, kini kami mempunyai beberapa nama yang mampu melahirkan pelbagai cerita. Idham sendiri umpamanya, tidak hanya menghasilkan filem seram semata-mata. Dia juga berkeupayaan mengarahkan filem komedi, drama mahupun aksi. "Kami juga mempunyai impian untuk melihat filem terbitan kami meninggalkan kesan ke atas penerbitan filem di Asia Tenggara. Kami seboleh-bolehnya cuba mempertingkatkan mutu setiap judul yang diterbitkan, seperti menggunakan sistem bunyi Dolby Surround untuk hasil yang lebih baik lagi," tegas David.

Profil Berkaitan

 David Teo    Ahmad Idham    Farid Kamil    Nora Danish    Zed Zaidi    Kazaar Saisi    Zaibo    Azizah Mahzan  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD