![]() |
SEKRETARIAT FFM22 bersama sebahagian calon top 5 bagi anugerah FFM22 pada majlis pengumuman di Finas, baru-baru ini. |
JIKA tahun lalu filem Anak Halal arahan Osman Ali mendominasi senarai Top 5 Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM) dengan 12 pencalonan, bagi edisi ke-22 pula karya terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime menerima pencalonan terbanyak dalam 11 kategori.
Pada majlis pengumuman calon top 5, Jumaat lalu di Finas, Talentime menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik juga bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Mahesh J Kishor), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Adibah Noor), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Mohd Shafie Naswip) dan Pelakon Harapan Wanita (Jaclyn Victor).
Kejayaan menembusi 11 kategori dilihat sebagai petanda awal karya pengarah yang meninggal dunia pada 25 Julai lalu itu berkemungkinan diangkat sebagai Filem Terbaik pada upacara yang bakal berlangsung 8 Ogos nanti di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Bagaimanapun sebarang kemungkinan boleh berlaku seperti yang terjadi kepada Anak Halal tahun lalu yang dicanang boleh menggondol Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada FFM 21, bagaimanapun kecundang di tangan Mamat Khalid oleh filem Kala Malam Bulan Mengambang.
Jika tidak memenangi Filem Terbaik sekali pun, ramai menjangkakan Talentime akan menang besar pada malam itu nanti kerana kekuatan jalan cerita, lakonan mantap pelakonnya serta kemampuan pengarah itu memaparkan masyarakat berbilang bangsa dalam filemnya sesuai dengan konsep Satu Malaysia. Berkemungkinan juga ada yang akan mempertikaikan kenapa baru sekarang karyanya mendapat perhatian seperti sekarang sedangkan semasa hayat Allahyarham, karyanya sering dikritik.
Bagaimanapun, Talentime hanya mendahului Setem yang baru saja dimainkan di pawagam 30 Julai lalu dengan satu kategori saja. Filem arahan Kabir Bhatia itu berjaya menembusi 10 kategori tetapi pengarahnya tidak dapat bersaing untuk kategori Pengarah Terbaik kerana bukan warga Malaysia.
![]() |
JACLYN, Mahesh dan Pamela Chong teraju utama Talentime. |
Kategori yang berjaya ditembusi filem itu ialah Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Poster Terbaik, Penataan Seni Terbaik serta Pelakon Lelaki Terbaik (Rashidi Ishak), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Vanidah Imran) dan juga Pelakon Harapan Lelaki (Isma Yusoff).
MENGEKOR rapat dua filem ini ialah filem arahan Afdlin Shauki, Papadom dengan sembilan pencalonan. Filem yang membabitkan Afdlin sendiri sebagai pelakon utamanya itu masih belum ditayangkan di pawagam dan hanya akan menemui penonton pada 8 Oktober depan. Justeru, kejayaan dicalonkan di dalam sembilan kategori dilihat Afdlin sebagai satu strategi promosi untuk filem terbaru arahannya mengenai kisah kekeluargaan yang turut dibintangi Liyana Jasmay.
Afdlin ketika dihubungi bersyukur kerana filemnya yang masih belum lagi ditayangkan berjaya menambat hati juri profesional dan diletakkan di samping pengarah berkaliber lain terutama karya pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad.
![]() |
LIYANA JASMAY, Nabila Huda dan Scha turut menjadi calon top 5. |
Bagaimanapun ini bukanlah pertama kali karya Afdlin dinilai setinggi ini kerana dia pernah menempuhnya tiga tahun lalu iaitu pada FFM 19 apabila menerima tujuh pencalonan untuk dua filem arahannya, Baik Punya Cilok dan Buli Balik sekali gus yang terbanyak pada tahun berkenaan.
"Alhamdulilah syukur dan terkejut saya serta kru produksi filem ini apabila Papadom menerima sebanyak sembilan pencalonan. Saya tak sangka filem ini berjaya memikat juri sehingga dicalonkan untuk beberapa kategori utama dan saya amat berbesar hati kerana filem ini diletakkan sebaris dengan filem hebat lain terutama Talentime.
"Walaupun sebelum ini filem saya pernah dicalonkan tetapi pencalonan yang diterima tidak sebanyak kali ini. Saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi tetapi saya menganggap pencalonan ini sebagai satu permulaan yang baik untuk filem saya yang bakal menemui penonton pada Oktober nanti. Saya anggap pencalonan ini sebagai promosi awal untuk Papadom sebelum ia ditayangkan nanti," katanya ketika dihubungi.
Papadom mengisahkan seorang suami yang ingin menebus kesilapannya mengabaikan isteri tercinta kerana tugas terpaksa membesarkan anaknya sendirian setelah kematian isterinya itu dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki), Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay), Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Que Haidar) dan Penataan Seni Terbaik.
SEMENTARA itu, pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pula memperlihatkan pelakon muda mendominasi kategori berkenaan. Lima pelakon wanita muda yang dicalonkan ialah Nabila Huda (Bohsia), Nadia Mustafar (Jangan Tegur), Liyana Jasmay (Papadom), Sharifah Amani (Sayang U Can Dance) dan Heliza Heliza Helmi (Syurga Cinta) sekali gus menimbulkan pertikaian apabila nama Ida Nerina yang memberikan lakonan mantap sebagai Serina Misterina dalam filem Los dan Faun begitu juga dengan Sukania Venugopal dalam Talentime tidak dicalonkan.
Nabila Huda yang ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 baru-baru ini terharu apabila namanya dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik tahun ini selepas dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem Akhirat, tahun lalu. Pelakon yang memegang watak seorang bohsia bernama Tasha dalam filem arahan Syamsul Yusof itu berbaloi apabila bakatnya menerima pengiktirafan walaupun ketika filem itu menemui penonton, dia terpaksa menahan telinga dengan kutukan orang ramai disebabkan keberaniannya tampil berkemban dalam filem itu.
Anak kepada penyanyi Amy Search yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu dilihat memiliki peluang yang cerah untuk dinobatkan sebagai pelakon terbaik, bagaimanapun Nabila enggan meletakkan harapan yang tinggi. "Saya tidak minta lebih namun tetap bersyukur dengan pencalonan ini. Saya tidak sangka lakonan dalam Bohsia memberi impak yang besar, terus terang tidak semua orang boleh membawakan watak Tasha. Watak itu mungkin kelihatan mudah tetapi sebenarnya tidak senang nak dibawakan lebih-lebih lagi terpaksa menahan kutukan orang.
"Saya terlalu terkejut dengan pencalonan ini, bagaimanapun pada waktu yang sama berbaloi segala susah payah saya sejak usia 15 tahun bergelumang dalam dunia lakonan apabila diiktiraf setinggi ini. Namun saya tak meletakkan harapan tinggi kerana semua pesaing saya bagus-bagus belaka," katanya.
Bagi pelakon genit Liyana Jasmay, usia tidak menjadi ukuran kewajaran untuk dicalonkan dalam kategori terbaik sebaliknya ia perlu dinilai dari bakat seseorang pelakon itu. Walaupun kebanyakan nama yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik masih muda, Liyana berpendapat ia tidak seharusnya dipertikaikan jika mereka memang layak menerimanya.
"Tidak kira berapa umur seseorang pelakon itu sekali pun asalkan juri merasakan mereka berbakat, saya rasa tidak salah sekiranya mereka diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dengan kebolehan dimiliki mereka. Saya gembira kerana dicalonkan dalam kategori ini, saya ingin tunjukkan kepada Abang Afdlin Shauki bahawa kejayaan ini adalah kejayaan dia sebenarnya. Filem Papadom arahannya bagus dari segi garapan dan jalan ceritanya yang sedih.
"Saya tidak kisah menang atau kalah pada malam itu nanti. Siapa saja yang menang, saya tumpang gembira kerana bagi saya ini satu persaingan yang sihat. Kami perlu menyokong antara satu sama lain untuk menyemarakkan lagi industri lakonan," katanya. Pada sidang media itu sebanyak 24 daripada 25 kategori iaitu 14 bagi kategori Anugerah Perdana dan 11 kategori Anugerah Cipta dipertandingkan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian, Nancie Foo, sementara satu lagi kategori iaitu Filem Terbaik hanya akan diumumkan pada malam anugerah itu nanti.
Osman Ali
Anak Halal
Talentime
Yasmin Ahmad
Mamat Khalid
Kala Malam Bulan Mengambang
Kabir Bhatia
Setem
Vanidah Imran
Papadom
Afdlin Shauki
Liyana Jasmay
Baik Punya Cilok
Buli Balik
Que Haidar
Nabila
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Jangan Tegur
Nadia Mustafar
Sharifah Amani
Syurga Cinta
Heliza Helmi
Ida Nerina
Los dan Faun
Syamsul Yusof