![]() |
DARI kiri; Rene Richardson, Rahmah Rahmat, Salleh Kamil dan Shariff Dol dalam adegan filem Jefri Zain: Gerak Kilat. |
LIMA filem arahan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan tiga lagi daripada Hussain Hanif adalah antara filem Melayu klasik yang kini sedang ditayangkan di Muzium Kesenian Moden Kebangsaan Georges Pompidou di Paris, Perancis untuk tempoh selama empat bulan bermula Disember lalu.
Filem itu ialah Penarek Becha yang diarahkan oleh P Ramlee pada tahun 1955, Sumpah Orang Minyak (1958), Labu Labi (1962), Seniman Bujang Lapok (1965) dan Gelora (1970). Manakala filem arahan Hussain Hanif pula ialah termasuk yang dianggap sebagai 'masterpiece' dalam teknik pengarahan oleh sutradara Melayu iaitu Hang Jebat yang diarahkan pada 1961 selain Cinta Kasih Sayang (1965) dan Jiran Sekampung (1965). Filem Melayu klasik lain ialah Cucu Datuk Merah arahan M Amin pada tahun 1963, Mat Tiga Suku daripada Mat Sentul (1964) dan Jeffri Zain: Gerak Kilat yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong pada tahun 1965. Bagi filem Melayu era moden atau zaman selepas studio yang turut ditayangkan di Muzium ini ialah Perempuan, Isteri Dan ... arahan U-Wei Saari, Kala Malam Bulan Mengambang daripada Mamat Khalid, Seman (Mansor Puteh), Karaoke (Chris Chong Chan Fui), Punggok Rindukan Bulan (Azharr Rudin) serta filem-filem arahan Yasmin Ahmad iaitu Sepet, Gubra dan Mukhsin.
Selain filem cereka, lebih 30 filem pendek dan eksperimen daripada pengarah muda Malaysia dan Singapura turut ditayangkan di muzium ini. Menurut kenyataan daripada laman web muzium itu, perkembangan filem Malaysia dan Singapura masih kurang diberi perhatian berbanding dengan Korea, Thailand, malahan Filipina. Sebaliknya, Malaysia dan Singapura pada suatu adalah antara pusat perkembangan filem paling aktif sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara. Sehubungan itu, muzium ini yang juga dikenali sebagai Pusat Kebudayaan dan Kesenian Moden Eropah memilih dan menayangkan filem-filem tertentu mengikut tahun bagi menggambarkan aliran perkembangan dunia perfileman di Malaysia dan Singapura dari tahun 50-an hingga sekarang.
Ini memberi peluang kepada peminat filem atau pengunjung muzium ini memahami corak arahan, kandungan dan persembahan filem-filem yang dihasilkan oleh pengarah dari rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia. Paling menarik setiap filem ini juga memaparkan kepelbagaian budaya dan kaum di Malaysia yang unik tetapi kompleks untuk difahami oleh masyarakat luar. Sementara itu, bagi Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21, Mamat Khalid berkata, pemilihan filem Kala Malam Bulan Mengambang adalah satu pengiktirafan kepada dunia filem Melayu dan juga kepada dirinya sebagai pengarah. Katanya, adalah diharapkan lebih ramai lagi pengarah filem dari Malaysia, terutama pengarah filem arus perdana mendapat pengiktirafan dan penghargaan di peringkat antarabangsa.
"Walaupun ada filem indie, tetapi bagi saya ia dalam kategori lain. Ia tidak mewakili suara pengarah filem arus perdana. Lagipun, bagi saya penyertaan filem indie dalam mana-mana festival filem luar negara bukanlah lagi sesuatu yang biasa. Mereka sudah biasa sangat (ke festival luar negara). "Berbeza dengan filem cereka arus perdana yang mana penganjur selalunya akan buat pemilihan berdasarkan ciri-ciri dan keistimewaan tertentu. Pada penganjur, mereka melihat filem arus perdana kita ini sebagai suara dan budaya tempatan. Filem cereka atau filem arus perdana lebih jelas dalam menurunkan budaya dan nilai artistik kerana ia memberikan membawa perspektif tempatan," katanya. Penganjur memilih filem Melayu era klasik iaitu awal tahun 50-an hingga zaman sekarang untuk memberikan gambaran kepada proses perkembangan industri filem tempatan.
Tambahnya lagi, apa yang penting ialah pemilihan filem seperti Kala Malam Bulan Mengambang untuk ditayangkan di muzium kesenian terkenal itu menunjukkan dunia luar mengiktiraf hasil kerja pengarah filem Malaysia. "Sebagai pengarah filem inilah yang kita mahu. Kita mahu pengarah filem Malaysia diiktiraf bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi dunia," katanya. Mengenai pemilihan filem arahan P Ramlee, Jamil Sulong dan Hussain Haniff pula, Mamat menjelaskan mereka memang antara pengarah filem tersohor tanah air dengan membawa pendekatan tersendiri dalam karya masing-masing.
"Misalnya, filem Hang Jebat arahan Hussain Haniff. Pada zamannya, dia mengarahkan filem secara menongkah arus. Ketika pengarah lain lebih cenderung dengan teknik arahan daripada pengarah filem Hollywood, Hussain pula mengarahkan filem Hang Jebat memang ke Timur apabila mengambil kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh pengarah terkenal Jepun pada waktu itu, Akira Kurosawa," jelasnya. Hussain juga yang banyak terbabit dengan kerja di belakang tabir sebagai penata seni dan props selain penyunting, dianggap sebagai pengarah filem Melayu yang berani menggunakan teknik radikal dan agresif dalam gaya arahannya.
Sementara itu, Amir Muhammad pula melahirkan rasa bangga apabila dua filemnya, The Big Durian dan Malaysians God turut terpilih dan ditayangkan di pusat kebudayaan dan kesenian terkemuka itu. Katanya, Muzium Pompidou menggunakan tema karya dari Singapura dan Malaysia kerana faktor sejarah iaitu sejarah dan perkembangan filem Melayu klasik berasal dari negara seberang Tambak Johor.
INFO: Muzium Pompidou
Tan Sri P. Ramlee
M. Amin
Mamat Khalid
Mansur Puteh
Yasmin Ahmad
Azharr Rudin
Dato' Haji Jamil Sulong
Amir Muhammad
Sumpah Orang Minyak
Labu dan Labi
Seniman Bujang Lapok
Gelora
Hang Jebat
Cinta Kasih Sayang
Cucu Datuk Merah
Perempuan,isteri dan.....?
Kala Malam Bulan Mengambang
Sepet
Gubra
Mukhsin
Artikel Terkini