![]() |
YANA, Putri Mardiana, Ku Faridah dan Rabecca antara bintang drama seram terbaru terbitan MIG. |
MENERUSKAN tradisi menjadikan filem popularnya sebagai drama bersiri, MIG Production Sdn Bhd memilih untuk membawa sebuah lagi filem seram terbitan mereka, Jangan Tegur, yang ditayangkan awal tahun ini ke layar kecil televisyen dengan menggunakan judul Jangan Tegur Lagi.
Diarahkan oleh Ismail Bob Hasim, drama berkenaan akan menghiasi slot Seram TV3 bermula November ini. Diterbitkan sebanyak 13 episod, drama yang dibintangi Eizlan Yusof, Rabecca Nur Al-Islam, Putri Mardiana, Mariani, Danny, Aida Aris, Ku Faridah dan Yana itu memulakan penggambaran pada 7 Oktober.Baru di kerusi pengarah, namun Ismail sebenarnya penggiat filem berpengalaman apabila sering diangkat sebagai penolong pengarah oleh sutradara Ahmad Idham, sejak 1996 lagi. Antara filem yang mengkreditkan namanya sebagai penolong pengarah ialah Remp-It, Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Jangan Pandang Belakang Congkak.
![]() |
Kini, tiba waktunya Ismail membuktikan keupayaan sebagai pengarah pula menerusi percubaan pertama, hasil peluang yang diberikan produser David Teo. Tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan berkenaan, Ismail seterusnya menjanjikan sebuah drama lebih seram menerusi Jangan Tegur Lagi, ilham asal oleh Pierre Andre ketika versi filemnya dihasilkan sebelum ini."Saya ingin menjadikan drama ini lebih seram daripada cerita asalnya. Kita sudah mempunyai platform iaitu filem asal, dan ia pula sebuah judul yang mencatat kejayaan dari segi pungutan tiket (RM3.6 juta). Jadi, menerusi kekuatan yang sudah dimiliki judul terbabit, kami akan cuba menjadikannya lebih menarik dalam bentuk drama bersiri.
![]() |
Rozita Che Wan, Lisa Surihani dan Yana itu. |
"Kita pastinya akan menambah elemen seram menerusi drama sepanjang sejam setiap episod ini. Bukan bermakna lebih banyak hantu akan ditampilkan, sebaliknya elemen itu boleh dipaparkan menerusi aksi pelakonnya, lokasi yang kita pilih serta props yang digunakan. Sudut penataan cahaya juga amat penting dalam menghasilkan rasa takut," ujar Ismail ketika ditemui pada majlis pelancaran drama seram berkenaan di The Mines, baru-baru ini. Katanya, pemilihan hospital kusta yang sudah tidak digunakan di Sungai Buloh, dilihat tindakan tepat bagi menimbulkan mood seram buat penonton. "Di samping itu, gaya rakaman juga memainkan peranan besar dalam menambahkan unsur ini. Saya percaya, penonton hari ini tidak lagi mahu melihat kemunculan terlalu banyak hantu, sebaliknya elemen debaran dalam bentuk lain," tegas pengarah yang menaruh keyakinan kepada kemampuan dua pelakon utamanya bagi menghidupkan lagi drama itu.
Mengaku cabaran yang digalasnya kini tanggungjawab besar yang harus dilaksanakan sebaik mungkin, namun dia tidak mampu menolak tawaran David untuk mengarahkan Jangan tegur Lagi. Katanya, peluang seperti itu bukannya datang setiap hari. "Biarlah saya menghasilkan drama terlebih dulu sebelum melangkah ke dunia filem pula. Menerusi drama, balasan yang dituntut daripada kita hanyalah rating yang baik. Jika kita menghasilkan filem, tentunya produser mengharapkan kutipan tinggi," katanya sambil berkata, seseorang pengarah baru sepertinya akan berasa tertekan jika mereka was-was dalam melaksanakan tugas diberikan.
SEMENTARA itu David menjangkakan, drama seram pertama terbitannya untuk TV3 itu mampu meraih perhatian lebih tiga juta penonton apabila ia disiarkan stesen televisyen nombor satu terbabit. Jika rating sebegitu diperoleh Jangan Tegur Lagi, tentunya ia menyambung persembahan memberangsangkan deretan drama terbitannya sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang musim pertama yang mampu meraih 2.1 juta penonton, Mertua Vs Menantu (2.7 juta), Embun Mutiara (1.8 juta), dan e-toyol.com (1.6 juta). Ditanya drama bersiri paling kurang berjaya terbitannya sehingga kini, David memberitahu siri penyiasatan D10 yang dihasilkan tiga tahun lalu ialah judul paling kurang menyerlah sehingga ke hari ini.
"Saya juga sedikit kecewa dengan kemampuan siri Tiga Janda yang pada mulanya kami anggap mampu mengatasi Mertua Vs Menantu. Nampaknya siri itu hanya berada dalam zon selesa iaitu sekitar 300,000 penonton sedangkan, pelaburan untuk siri ini agak tinggi. "Begitupun, kami belajar daripada pengalaman yang lalu. Kami mungkin salah memilih pelakon untuk menghidupkan siri itu. Pada ketika ia berkisar kepada kehidupan wanita berstatus janda, dua daripada pelakonnya belum pun berkahwin. Mungkin kerana itulah ia agak kurang mendapat perhatian penonton," kata David mengenai siri lakonan Rozita Che Wan, Lisa Surihani dan Yana itu.
MIG Production Sdn. Bhd.
Jangan Pandang Belakang
Jangan Pandang Belakang Congkak
Jangan Tegur
Remp-It
Mariani
Aida Aris
Danny
Eizlan Yusof
Pierre Andre
Rozita Che Wan
Lisa Surihani
David Teo